Tuesday, September 29, 2009

Sambutan Hari Kemerdekaan SMKD 09.

Tanggal 16 September 2009, SMKD telah mengadakan Program Sambutan Hari Kemerdekaan sebagai tanda kecintaan kepada Negara Malaysia. Di samping itu, ia merupakan satu usaha untuk menerapkan rasa kecintaan pada negara di kalangan pelajar-pelajar SMKD. Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang tempoh sambutan diadakan, di antaranya Pertandingan Kuiz Kemerdekaan, Koir Kemerdekaan, Sayembara Puisi, dan mengibar jalur gemilang di flat @ rumah guru dan kereta.

Panorama Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat sekolah SMKD:




 

  
 


Kita sebenarnya cukup bertuah tinggal di bumi Malaysia yang aman  dan makmur. Tanggungjawab kita untuk mengekalkan keamanan dan kemerdekaannya. walau bagaimanapun kita tidak seharusnya leka dengan keamanan yang kita kecapi, peristiwa luka masih merah itu pasti berulang sekiranya kita dijajah semula. Penjajahan alaf baru bukannya peperangan, tetapi penjajahan minda. Oleh itu, kita hendaklah berilmu pengetahuan.Dan semangat patriotisme perlu ditanam dalam diri serta serlahkan rasa kecintaan kepada negara. Hargailah erti kemerdekaan, bukan hanya melaungkan kemerdekaan tapi kemerdekaan harus lahir dari jiwa warganegara Malaysia.

" Kemerdekaan sebenarnya ialah kebebasan, harmoni, keamanan dan harapan "

Monday, September 28, 2009

Majlis ' Berlanggar Meja'.

Majlis ' Berlanggar Meja ' di Kampung Igan merupakan tradisi yang telah diwarisi daripada nenek moyang sejak berzaman. Setiap kali tibanya Hari Raya Aidil Fitri, tradisi ' Berlanggar Meja ' pasti dinanti-nanti.  Majlis ' Berlanggar Meja ' hanya akan diadakan pada hari ketiga Raya. Majlis ini akan diadakan secara bergilir-gilir antara kampung. Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah ' Berlanggar Meja '? Majlis ini diadakan dengan tujuan @ bermatlamat untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara penduduk kampung yang terdapat di Kampung Igan, di samping bermaafan. Majlis ini adalah aktiviti kunjung mengunjung dalam kumpulan yang besar dari kampung lain dan diadakan di satu kawasan yang luas.

Pada 23 September 2009 yang lepas, giliran Kampung Tengah Igan ( kampung saya ) mengadakan Majlis ' Berlanggar Meja '. Pada hari tersebut setiap rumah di Kampung Tengah Igan akan menyediakan juadah makanan ( paling sedikit untuk 8 orang tetamu ) untuk dihidangkan kepada tetamu jemputan dari kampung lain. Makanan yang disediakan memang enak-enak belaka seperti ketam masak kicap, umai, masak asam udang galah, ikan terubuk kukus dan lain-lain lagi ( yummy ...). Setiap rumah akan cuba untuk menghidangkan makanan yang sedap dan enak.

Aturcara yang wajib diadakan semasa majlis ini berlangsung ialah bacaan ayat suci Al-Quran, tahlil dan doa untuk ahli keluarga yang sudah meninggal dunia, ucapan pengerusi dan pelbagai persembahan yang dipersembahkan oleh penduduk kampung yang menjadi tuan rumah.

Berikut adalah gambar yang telah dirakam sempena Majlis 'Berlanggar Meja'  yang telah diadakan di Padang Sekolah Lama Kampung Igan;



Mengalu-alukan ketibaan para tetamu dari kampung lain.......

 











Persembahan daripada murid-murid SK Kampung Igan

 
Persembahan 'Karaoke Raya'



Mudah-mudahan Tradisi ' Berlanggar Meja ' ini akan terus diamalkan oleh generasi akan datang. Ia merupakan satu usaha yang murni untuk mengeratkan  lagi silaturrahim antara penduduk di Kampung Igan di samping aktiviti ' Kunjung Mengunjung ' .

Thursday, September 17, 2009

Cuti dan Raya.

  


Seronoknya esok dah mula bercuti raya. Tak sabar rasanya nak raya, tapi sedih nak ditinggalkan oleh ramadhan. Tapi apa yang kita boleh lakukan, terima je le. Malam ni kaum wanitanya mesti meriah menyediakan persiapan untuk raya. Kaum lelaki jangan pandang aje ye, apa salahnya ringankan tangan menolong si isteri kat dapor tu. Tak tolong masak, tolong tengok dan jenguk jadilah. Pasti sejuk hati isterikan.....
Walau bagaimanapun Selamat Bercuti kepada semua warga pendidik dan Selamat Hari Raya kepada semua Warga Malaysia. Berhati-hati semasa memandu k. Take care..

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 2009.


" Ada ketikanya mata silap memandang,
Telinga salah mendengar,
Lidah terlanjur berkata,
Fikiran khilaf mentafsir dan
hati silap menduga.
Mohon maaf atas segala."
 
" Bagi setiap getar hati yang tercalar,
Bagi setiap kata yang mencetus duka,
Ku susun jari sepuluh
Mohon ribuan ampun dan maaf.
Selamat Hari Raya Aidil Fitri diucapkan kepada semua teman-teman yang mengenali diri, juga kepada semua umat Islam di Malaysia. Maaf Zahir Dan Batin.

Tanda-tanda nak MATI...


Buat renungan bersama: Tanda-tandanya seperti berikut.
۞   100 hari : Seluruh badan rasa bergetar.
۞   60 hari : Pusat rasa bergerak.
۞   40 hari : Daun dengan nama orang yang akan mati di Arash akan jatuh dan Malaikat Maut pun datang kepada orang dengan nama tersebut lalu mendampinginya sehingga saat kematiannya. Kadang-kadang orang yang akan mati itu akan merasa dan nampak kehadiran Malaikat Maut tersebut dan akan sering kelihatan seperti sedang runsing.
۞   7 hari : Mengidam makanan.
۞   5 hari : Anak lidah bergerak-bergerak.
۞   3 hari : Bahagian tengah dahi bergerak-bergerak.
۞   2 hari : Seluruh dahi rasa bergerak-bergerak.
۞   1 hari : Terasa bahagian ubun bergerak-gerak di antara waktu Subuh dan Asar.
۞   Saat Akhir : Terasa sejuk dari bahagian pusat hingga ke tulang solbi ( di bahagian belakang badan ).
۞   Bila Malaikat mencabut nyawa : Baginda Rasulullah s.a.w bersabda ; “ Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut . Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat NAZAK orang itu “.
Sambung Rasulullah s.a.w lagi ;
“ kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, Malaikat Jibril a.s. akan mnebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilingnya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayab Jibril a.s.
“ Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibril a.s akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilingnya. Ini adalah kerana terlalu takutnya  apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya”.


…sentiasalah berdoa agar kita dijauhkan dari neraka. Wa nauzubillahi min zalik.

Wednesday, September 16, 2009

Kematian...

Firman Allah yang bermaksud : "Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat ( pula ) mempercepatkannya" ( Surah Al'Araf ayat 34 ).

Semalam saya telah menziarahi sepupu yang kematian isteri. Ketika melihat sebujur tubuh yang telah kaku, hadir perasaan takut dalam diri. Apatah lagi bila membayangkan diri sendiri disaat itu, sedangkan amalan masih sedikit. Aku berdoa ; Ya Allah Ya Tuhanku, engkau panjangkan umurku, murahkan rezekiku dan matikan aku dalam iman dan Islam...amin.."

Bagaimanapun ada ketikanya Allah S.W.T jadikan berbagai-bagai sebab bagi kematian, yang demikian itu ada hikmah disebaliknya. Misalnya sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan menjadi rahmat bagi orang yang beriman dan sabar, malah akan menyedarkan manusia agar mengingati mati. Untuk itu dia akan menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu, membetulkan dan bertaubat daripada dosa dan kesilapan serta membaiki amalan untuk bekalan ke akhirat.

Orang soleh menganggap sakit yang ditimpakan sebagai tanda Allah S.W.t masih menyayangi. Betapa malangnaya jika Allah S.W.T mengambil roh dengan tiba-tiba tanpa sebarang amaran terlebih dahulu, seolah-olah Allah S.w.T sedang murka terhadap diri, sebab itulah Allah S.W.T tidak memberi amaran terlebih dahulu.

Namun hakikatnya bahawa ajal itu ketetapan Allah yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata dalam takdir Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Adalah menjadi hak Allah untuk menentukan kematian seseorang itu sama ada bersebab ataupun tidak. Hal ini membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal sama ada seseorang itu sedang sakit ataupun ketika sihat dan segar bugar.

Tahukah anda bahawa Malaikat maut melihat dan merenung wajah seseorang , iaitu dalam masa 24 jam sebanyak 70 kali. Andainya manusia sedar Malaikat tersebut, nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi oleh sebab Malaikat maut ialah makhluk ghaib, manusia tidak melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa-apa yang dilakukan oleh malaikat maut.

Manusia sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti akan mati. Namun manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhatikan oleh Malaikat maut, kecuali orang-orang yang sentiasa mengingati mati.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Bahawa Malaikat Maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang menernung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak ketawa. Maka berkata Izrail : " Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Ta'ala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa" ( Riwayat Abdullah bin Abbas r.a.).

Tuesday, September 15, 2009

Ramadhan Al-Mubarak..


Dalam sedikit hari lagi, Ramadhan akan menutup tirainya. Masihkah kita berpeluang untuk bersamanya di tahun  depan?. Rasa sedih untuk berpisah dengannya. Kehadirannya membawa banyak nikmat, barakah dan kelebihan pada umat Islam yang celik mata dan hati. Apabila tibanya Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga, dibuka pintu-pintu Ar-Rahman, dibuka pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu. Subhanallah, begitu banyak nikmatnya.

Selain itu mereka yang berpuasa akan memperoleh kebaikan apabila bersegera berbuka puasa, akan memasuki syurga melalui pintu Ar-Rayyan, diampun dosa yang lampau. Manakala pada10 malam yang terakhir terdapatnya Malam Lailatul Qadar. Lailatul Qadar lebih baik daripada 1000 bulan. Bilakah Lailatul Qadar? Ada hadis yang menyatakan Lailatul Qadar akan berlaku pada 7 malam yang terakhir. Ada pula yang menyatakan pada 10 malam yang terakhir. Malah ada hadis yang menyatakan pada 9 malam yang terakhir.

Walau bagaimanapun, ambillah peluang pada 5 hari yang terakhir ini untuk kita menambah baik amalan kita agar kita tergolong dalam golongan yang dirahmati dan berjaya bukan tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi.

Pada bulan Ramadhan ini kita akan menerima dua kegembiran : Sabda Rasullah s.a.w, Dua kegembiraan yang dia bergembira dengan kedua-duanya : apabila dia  berbuka puasa dia bergembira (dengan iftarnya) dan apabila dia berjumpa dengan Allahnya dia bergembira dengan puasanya. ( Riwayat Bukhari dan Muslim ).

Monday, September 14, 2009

Wanita..


  Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, namun Nabi Adam a.s tetap rindukan Siti Hawa. 

Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus. 


Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan dari-Nya. Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada zat Allah yang kekal, disitulah suisnya. 


Akal setipis rambutnya, tebalkan dengan ilmu. Hati serapuh kaca, kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera, hiasilah dengan akhlak. Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak jadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri negara atau 'women gladiator'. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya disitulah kasih sayang Tuhan, kerana rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan lelaki-lelaki waja : negarawan, karyawan, jutawan dan "wan-wan" yang lain. Tidak akan lahir 'superman' tanpa 'superwoman'. 



Friday, September 11, 2009

Kek Raya.

Menjadi kebiasaan, bila menjelang syawal para isteri @ orang rumah mulalah sibuk mencari buku-buku resipi lama. Malah ada yang sanggup membeli beberapa buah majalah yang ada resipi-resipi yang menarik, sedap tak tau lagi... Dah menjadi kebiasaan bila tiba hari raya, kek pasti juadah yang wajib disediakan. Saya sebenarnya taklah minat makan kek ni sebab itu, setiap hari raya saya hanya menyediakan 2 biji kek sahaja. Tapi saya akan membeli lebih untuk kekacang, ikan bilis dan makanan yang diminati oleh kanak-kanak.

Masakan kari juga tidak boleh 'miss', sebab kawan-kawan berbangsa Cina suka sangat makan kari. Di samping itu, menu tetap juga seperti ' kuah satay ', rendang, lemang dan nasi himpit. Tahun lepas saya dah mencuba memasak ' Kek American Midnight', rasanya memang sedap. Rasanya tahun ni nak masak kek ini sekali lagi. Kalau tak caya, cuba le resipi di bawah ;

KEK AMERICAN MIDNIGHT

16 oz mentega
10 biji telur
1 tin nestle cream
2 gelas gula halus
1 sudu teh esen vanila
2 botol browning sugar
1 botol horlick kecil
1 tin seri kaya kecil
2 gelas tepung gandum
1 sudu teh baking powder
1 tin susu manis

Cara membuatnya:

Mentega dan gula dipukul hingga kembang. Masukkan telur satu persatu sampai habis. Masukkan esen vanila dan baking powder. Kemudian masukkan nestle cream, susu pekat, horlick, browning sugar, seri kaya, gaulkan rata. Kukus selama 2 jam.

Seorang teman, Puan Noraini Hj. Amit ( PT SMKD ) telah memberi satu resipi kek kepada saya dan beliau mencadangkan saya mencubanya tahun ini. Insya Allah saya akan mencubanya. Kek diberi nama ' Kek Hitam Manis'...Pasti sedapkan... Jadi.....apa kata kita sama-sama mencubanya tahun ini. Resipinya seperti berikut;

KEK HITAM MANIS

10 biji telur ayam
16 oz mentega
1 tin tinggi seri kaya
3 botol kecil browning sugar
1 1/2 gelas tepung gandum
1 1/2 gelas gula halus
1 sudu teh ovalet
1 tin susu manis
1 tin nestle cream
1 botol kecil horlick

Cara membuatnya:

Mentega dan gula dipukul hingga kembang. Masukkan telur satu persatu. Kemudian masukkan susu, seri kaya, nestle cream, horlick, tepung gandum, ovalet, akhir sekali masukkan browning sugar. Kukuskan selama 4 jam.

Selamat mencuba........senang dan mudah . 

Tazkirah : Mencari keberkatan.

 

Apabila seseorang hanyut dalam dunia keseronokan dan kemewahan, roh mereka sebenarnya berada dalam keadaan tertekan. Bersikap zuhud terhadap dunia akan membawa kepada kesenangan yang akan diberikan oleh Allah s.w.t kepada hamba yang dikehendaki-Nya.
Allah pernah berfirman :
“ Sesungguhnya Kamilah yang mewarisi bumi dan segala makhluk yang ada di atasnya “ –Maryam : 19:40
Seorang penyair mengatakan :
Air, roti dan rasa aman adalah kenikmatan yang amat besar. Jika aku mengatakan nikmat itu sedikit bererti aku telah kufur terhadap nikmat Tuhan.
Penyair lain pula mengatakan :
Taburkanlah kepadaku mutiara dari atas langit Sarandib dan luapkanlah gumpalan emas dari dalam perigi. Sesungguhnya jika aku hidup bukanlah kerana kekayaan. Jika aku mati bukan juga kerana aku perlu dengan kubur. Cita-citaku seteguh tekad seorang raja, jiwaku bebas tang kekafiran. Apabila aku tidak puas dengan umurku, mengapa aku harus menjunjung Zaid dan ‘Amr.
Begitulah sikap orang yang berpegang teguh kepada prinsip, jujur dalam dakwah dan bersunguh-sungguh dalam menyampaikan dakwah mereka.

Thursday, September 10, 2009

Atok dan nenek.


Cemburu rasanya apabila melihat rakan-rakan masih ada atok dan nenek. Bagaimana rasanya dapat kasih sayang daripada atok dan nenek? Saya tidak pernah merasa kasih sayang daripada atok atau nenek. Malah saya langsung tidak mengenali mereka, bagaimana rupa mereka , sikap mereka, adakah atok dan nenek saya baik dan penyayang orangnya?. Atok saya meninggal ketika  saya masih terlalu kecil, manakala nenek saya sebelum saya dilahirkan lagi. Cerita tentang nenek jarang diceritakan tapi atok yang diceritakan adalah seorang imam di kampung saya. Atok banyak bergaul dengan pendakwah dari Negara Indonesia. Malah rumah atoklah tempat persinggahan mereka bila mereka bertamu di kampung. Sehubungan itu juga nama saya telah dinamakan oleh seorang kiyai dari Indonesia. Itulah kenangan yang mereka tinggalkan untuk atok agaknya.

Kepada anda yang masih mempunyai atok dan nenek, sayangi dan jagalah mereka dengan baik. Anda bertuah kerana dapat merasa kasih sayang atok dan nenek. Sempena hari lebaran ini, baliklah menziarahi mereka sementara mereka masih hidup di bumi ini.

.....Kadang2 jeles juak dgn dak anak sbb daknya dpt merasa kasih sayang 2 org atok dan 2 org nenek.

Wednesday, September 9, 2009

Info Hijab.


Pakaian adalah keperluan utama manusia selain makanan dan tempat berteduh/tempat tinggal (rumah). Manusia memerlukan pakaian untuk melindungi dan menutup dirinya. Namun seiring dengan perkembangan kehidupan manusia, pakaian juga digunakan sebagai simbol status, jabatan, ataupun kedudukan seseorang yang memakainya. Perkembangan dan jenis-jenis pakaian tergantung pada adat-istiadat, kebiasaan, dan budaya yang memiliki ciri khas masing-masing.

Hijab atau ħijāb (bahasa Arab: حجاب ) adalah kata dalam bahasa Arab yang bererti penghalang.
Pada beberapa negara berbahasa Arab serta negara-negara Barat, kata "hijab" lebih sering merujuk kepada kerudung yang digunakan oleh wanita muslim (lihat jilbab). Namun dalam keilmuan Islam, hijab lebih tepat merujuk kepada tatacara berpakaian yang amat sesuai dengan tuntunan agama.

Jilbab (Arab: جلباب ) pula adalah pakaian labuh menutupi seluruh badan kecuali tangan, kaki dan wajah yang biasa dikenakan oleh para wanita muslim. Pemakaian  pakaian jenis ini berkait rapat dengan tuntunan syariat Islam untuk menggunakan pakaian yang menutup aurat atau dikenal dengan istilah hijab. Sementara kerudung sendiri di dalam Al Qur'an disebut dengan istilah khumur, sebagaimana terdapat pada surat An Nur ayat 31: "Hendaklah mereka menutupkan khumur (kerudung-nya) ke dadanya."

Nabi s.a.w bersabda : " Iman itu tidak berpakaian, pakaiannya ialah taqwa, perhiasannya ialah malu dan buahnya ialah ilmu "

Tuesday, September 8, 2009

Keliru...

 
  
Pada 25 Jun 2009, dunia hiburan dunia telah kehilangan 'Raja Pop' Dunia iaitu Micheal Jackson.  Kehidupannya  penuh misteri. Malah saya masih keliru apakah sebenarnya anutan Micheal Jackson? Di dada akhbar pernah menyatakan MJ telah memeluk agama Islam dengan nama Mikhail. Tapi persoalannya, kenapa beliau dikebumikan dengan cara Kristian?.
Teringat zaman remaja dulu, MJ merupakan penyanyi antarabangsa yang sangat saya minati. Saya amat minat dengan lagu-lagu beliau yang begitu bertenaga seperti Beat It, Bad, Heal, We are the World, You are not alone yang menyentuh hati. Tariannya yang begitu bertenaga dan kreatif serta mengasyikkan.
Namun masih keliru ......mengenai kematiannya yang masih dalam penyiasatan dan Adakah MJ dibunuh?

Munajatlah.


Munajatlah dan rinduilah maghfirahNya....

Monday, September 7, 2009

Sayembara Puisi Hari Kemerdekaan SMKD.


Tahun ini genap 52 tahun kita merderka. Rentetan dari itu, hari ini telah diadakan Pertandingan Sayembara Puisi Hari Kemerdekaan di SMKD. Pesertanya terdiri daripada pelajar-pelajar SMKD. Ini merupakan salah satu aktiviti yang dirancang untuk mendidik dan menerapkan rasa kecintaan  para pelajar kepada Negara Malaysia yang kita cintai. Bagaimana untuk mengekalkan keamanan dan kemerdekaan negara Malaysia yang kita cintai. Agar pelajar menghargai erti kemerdekaan, bukan  hanya melaungkan kemerdekaan tapi kemerdekaan harus lahir dari jiwa warganegara Malaysia. Di samping menanamkan dalam diri pelajar rasa kecintaan kepada negara.

...Kemerdekaan sebenarnya:  freedom, harmony, peace and hope...