Friday, September 4, 2009

Cantik di hati.


Kecantikan wajah tidak mencerminkan kecantikan hati dan tingkah. Sempena bulan Ramadhan ini berusahalah untuk menambahbaik amalan kita. Justeru itu, bersihkan hati kita dengan amalan-amalan mahmudah. Berikut adalah amalan yang boleh kita amalkan untuk mencantikkan hati:-

۩   Apabila kamu mendengar azan, segeralah bangun bersolat walau bagaimana keadaan kamu sekalipun. 
۩   Bacalah al-Quran atau tataplah ilmu atau pergilah mendengar perkara yang baik atau berzikir. Janganlah sama sekali membuang masa dalam perkara sia-sia. 
۩   Janganlah banyak berdebat dalam apa perkara pun kerana pertengkaran kosong tidak membawa kepada sebarang kebaikan. 
۩   Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.
۩   Jangan banyak bergurau kerana umat yang berjihad sentiasa bersungguh dan serius dalam setiap perkara.
۩   Jangan bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar. 
۩   Jauhi daripada mengumpat peribadi orang, mengecam dan jangan bercakap melainkan perkara yang mendatang kebaikan. 
۩   Berkenalanlah dengan setiap saudara meskipun tidak diminta berbuat demikian kerana asas-asas dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenalan. 
۩   Kewajipan lebih banyak dari waktu, oleh itu bantulah rakanmu untuk memanfaatkan waktunya dan jika saudara berurusan, maka singkatkanlah masa perlaksanaan.

Tazkirah.

 

###    Buat renungan dan amalan bersama.  Jika kita bersungguh-sungguh untuk mencapainya...kemungkinan besar kita akan memperolehinya..

Thursday, September 3, 2009

  



So...jangan lupa senyum, kerana senyum itu sedekah. Tapi jangan senyum sinis...nanti ada yang marah. Batal posa.

Wednesday, September 2, 2009

Puasa.


Hari ini dah 12 hari kita berpuasa. Alhamdulillah, masih diberi kesempatan oleh Allah untuk menjalani ibadah puasa ini dalam keadaan yang sihat. Di samping itu, diberi kesempatan untuk menunaikan solat tarawih.
 
Ramadhan, bulan yang mulia dan ditunggu-tunggu ketibaannya oleh semua umat Islam. Bulan ini, tidak lain tidak bukan hanya untuk menduga  kekuatan iman dan sejauh mana kita bersabar di atas segala ujian yang diberikan. Selain itu ia juga bulan untuk umat Islam menerima pahala, dan ‘hadiah’ daripada Allah untuk mereka yang sentiasa redha.
 
Para  bulan ramadhan, kita diwajibkan berpuasa. Puasa merupakan ubat bagi penyakit mental dan spiritual. Sesiapa yang mempunyai masalah jiwa cubalah menggunakan terapi puasa untuk menstabilkan pemikiran dan perasaan. Di samping itu, puasa juga adalah suatu usaha melemahkan kejahatan di dalam diri yang ditunggangi oleh hawa nafsu yang melampau .
 
Puasa telah menjadi amalan kepercayaan dan adat budaya manusia zaman berzaman, hampir semua tamadun, agama dan tradisi yang diyakini manusia menggunakan amalan puasa bagi mencapai ketenangan jiwa.
 
Dalam Islam, puasa membawa mesej 3T iaitu tunduk, takut dan taat kepada Allah S.W.T. Umat Islam terpaksa akur dengan perintah dan larangNya semata-mata mahu menjadi  hamba yang dikasihi Allah S.W.T. Antara matlamat puasa yang mesti dihayati umat Islam ialah :
 
۞   Berpuasa untuk mencapai sifar dosa. Allah telah berjanji akan menghapuskan segala dosa dan kejahatan yang lalu dengan  berpuasa. Kegembiraan terpancar pada wajah-wajah orang yang berpuasa mengharapkan terhapusnya segala dosa. Kembali bersih dan suci sebagaimana bayi yang baru dilahirkan, memulakan hidup baru ketika Ramadhan tiba.
Sabda Rasulullah s.a.w :
“ Solat lima waktu, solat Jumaat dengan solat Jumaat yang berikutnya, puasa Ramadhan dengan puasa Ramadhan yang berikutnya menjadi penebus dosa-dosa yang dilakukan selagi mana seseorang menghindari dosa besar “. ( Riwayat Imam muslim ).
 
۞   Berpuasa adalah untuk menghidupkan jiwa. Manusia dihidupkan adalah untuk beribadah kepada Allah. Antara jiwa dan ibadah ini tidak boleh diceraikan sampai bila-bila. Jiwa hidup secara aman dan tenang kerana ibadah, bukan kerana duit dan nafsu.
 
Seseorang yang menegakkan rukun Islam mengikut cara dan bimbingan Rasulullah s.aw. tanpa ditokok tambah akan merasai jiwanya bahagia, segar, rasa selamat seolah-olah hidupkembali. Sebaliknya, orang yang bermaksiat walaupun hidup mewah tidak akan berasa tenang disebabkan hatinya dihantui dosa dan ketakutan akibat dosa-dosanya.
 
۞   Dengan berpuasa, kita  akan merasai kelaparan sebagaimana si miskin. Dengan berpuasa tiada perbezaan antara orang kaya dan miskin. Mereka sama-sama berlapar demi mengharapkan keredhaan Allah. Allah menguji setiap insan dengan adil, semuanya diuji untuk menaikkan taraf keimanan mereka di sisi Allah.
 
۞   Berpuasa menjauhkan diri dari neraka. Walaupun tiada seorang pun yang tahu di manakah akan ditempatkan di akhirat nanti. Namun, bagi mereka yang berpuasa, setidak-tidaknya ada satu jaminan yang diberikan Allah untuk diri mereka terhindar dari bahang kepanasan neraka. 
 
Sabda Rasulullah s.a.w:
“ Tidaklah seseorang mengerjakan puasa kerana Allah, melainkan Allah menjauhkan dirinya dari nereka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun kerana puasanya yang sehari itu”. ( Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim )
 
۞   Sempena bulan ramadhan ini, sama-samalah kita membersihkan hati dan jiwa agar menjadi insan lebih mulia dan prihatin. Banyakkanlah doa kepada Allah di Ramadhan ini agar kita diberikan kekuatan untuk menempuhkan apa juga dugaan. Doa mestilahdiiringi dengan usaha. Doa tanpa usaha,mungkin sukar untuk dimakbulkan.

Doaku.


Islam Graphic

Tuesday, September 1, 2009

Bahaya Fitnah...

  
FENOMENA fitnah dan khabar angin sering digunakan dalam menyebarkan maklumat yang tidak benar. Mereka menggunakan kemudahan canggih ini untuk melaga-lagakan sesama manusia sehingga yang bersahabat menjadi musuh, suami isteri bercerai gara-gara e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), surat layang, internet dan seumpamanya.

Islam melarang keras perbuatan fitnah dan menyebar khabar angin dan golongan penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah dengan balasan azab yang amat pedih.
Rasulullah SAW pula bersabda dalam sebuah hadis bermaksud: “Awasilah diri kamu dari berburuk sangka kerana perbuatan itu adalah satu pembohongan besar. Jangan mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikanlah diri kamu semua bersaudara-mara. (Riwayat Bukhori & Muslim)
 Perbuatan bersangka buruk terhadap orang lain sebenarnya timbul daripada perasaan tidak berpuas hati dan dengki khianat atas sebab tertentu. Perbuatan sebegini melambangkan betapa rendahnya moral pelaku yang sanggup menghancurkan maruah orang lain dengan menolak segala pertimbangan dan rasional akal dianugerahkan Allah kerana diri dikuasai nafsu marah dan dengki khianat berpanjangan.
 Petikan tazkirah dari laman web Belia Islam. Saya rasa tazkirah ini sangat sesuai untuk renungan bersama.


"Penyebaran fitnah mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web dan emel membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah. Teknologi yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah. Penyebaran fitnah melalui SMS yang berleluasa memaksa kerajaan menetapkan peraturan semua pemilik kad prabayar didaftarkan."


Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.


Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)


Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.
Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.


Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.


Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar. Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.


Imam Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah. Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’ Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)


Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12). Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.


Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu. Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.


Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu. Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah. Ubat bagi penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.


Dewasa ini pelbagai fitnah yang disebarkan demi kepentingan diri dan fenomena ini amat menyedihkan. Sungguh mendukacitakan di dalam zaman fitnah ini, manusia sudah jauh dari ajaran Islam, sehingga sanggup mencemarkan nama baik sesama saudaranya. Kini telah hilang rasa kasih sayang, telah hilang saling tolong menolong, akibatnya seperti yang kita alami sekarang ini. Sesama Islam bertelanggah dan bercakaran. 
Lihatlah apa yang telah berlaku kepada umat Islam di Palestin , mereka dianiaya, dibunuh, harta benda mereka dimusnahkan, saudara-saudaranya disekelilingnya hanya melihat sahaja, malah minyak yang melimpah ruah di Arab Saudi, tidak dapat dimanfaatkan oleh saudaranya di Palestin, minyak itu disekat oleh Zionis Yahudi. Hal seperi ini mungkin akan kita alami di Negara yang kita kasihi ini, jika kita tidak waspada, dan mengkaji kembali semua fitnah yang disebarkan, dan kembali kepada al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.

....na'uzubillahi minzalik.....


 

Hati dan Amal.



Allah memberi kita otak untuk berfikir, mata untuk melihat,mulut untuk berbicara, dan kaki untuk berjalan. Tetapi kadangkala manusia selalu menyalahgunakannya.
 
Mereka memiliki otak hanya untuk fikiran yang kotor, menggunakan mata hanya untuk maksiat, menggunakan mulut untuk berbicara kotor, dan menggunakan kaki untuk pergi ke arah maksiat pula.
 
Kadangkala manusia tidak pernah bersyukur dengan apa yang telah dimiliki,mereka selalu merasa kekurangan.
 
Allah Yang Maha sempurna telah memberikan kita pelbagai nikmat, dan kita sebagai umatNya harus bersyukur dengan apa yang telah diberikanNya dan mengerjakannya dengan hal-hal yang positif.
 
Mungkin ada baiknya kita hayati hadis ini, daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah bersabda yang bermaksud :”Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan hartamu tetapi Allah melihat kepada hati dan amalmu.”  (Riwayat Muslim).