Thursday, August 20, 2009

Renung dan fikirkan.

" Sesuatu yang diimpikan tidak selalunya menjadi kenyataan tetapi apa yang tidak di duga berlaku tiba-tiba, biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam, tetapi usah kita ketawa memanjang kerana kegembiraan, yang belum pasti selamanya "
Hanya mereka yang berani menghadapi kegagalan besar yang akan mencapai kejayaan besar. Hidup kita ini, sama ada ia satu pengembaraan atau tidak bermakna langsung.

Tuesday, August 18, 2009

Stres di pejabat...

Stres di pejabat adalah sesuatu yang lazim. Semua orang mengalami stress di tempat kerja. Setiap orang mengatasinya dengan cara berbeza. Sememangnya amalan yang tidak sihat untuk membiarkan stress menguasai. Jika anda rasa begitu dibebani kerja dan anda rasa kerja itu sudah mengambil alih hidup, anda harus mengawalnya. Ambil 5 ke 10 minit, lupakan hal kerja dan belai diri. Jangan terperangkap dalam apa-apa permainan yang anda mainkan. Anda memang perlu teruskan kerja.

Berikut tip yang boleh anda lakukan ;

♫ Gunakan teknik kawal stres seperti teknik pernafasan dalam. Ambil masa untuk relaks, tarik nafas panjang dan biarkan stres dibasuh perlahan-lahan.

♫ Senaman ringan secara berkala. Senaman akan mengalirkan endorfin dan menjadikan anda lebih gembira dan sihat. Sekali gus anda boleh atasi rasa negatif dan marah.

♫ Nilai dan beri tumpuan pada sesuatu situasi. Perhatikan sama ada anda boleh cari jalan untuk kurangkan stres. Agihkan kerja kepada orang lain. Minta bantuan.

♫ Cari masa untuk diri sendiri. Jika anda bekerja saja, anda kan kehilangan sebahagian diri anda. Ambil masa rehat dan lakukan sesuatu yang menyeronokkan. Anda akan dapat lebih tenaga apabila kembali bekerja.

♫ Jadilah realistik. Lakukan apa yang anda boleh sahaja. Jika anda bawa balik kerja ke rumah setiap hari, itu sebenarnya melampau. Kerja itu hanya sebahagian diri anda. Selebihnya untuk perkara lain. Kawal hidup anda. Anda perlu seimbang antara kerja dan kehidupan peribadi.

♫ Bercakap dengan orang lain. Berkomunikasi dengan rakan sekerja dan orang lain dalam hidup. Bercakap dapat kurangkan stres, malah kadangkala orang lain boleh menawarkan penyelesaian yang anda tidak terfikir.

♫ Tangani rakan sekerja yang kaki buli dan yang bersikap negatif. Anda tentu tidak mahu tindakan orang lain bakal menambah stres yang tidak perlu dalam hidup anda.

♫ Periksa jadual mingguan. Kenal pasti aktiviti yang akan beri anda kegembiraan dan aktiviti yang menyebabkan anda stres. Keluarkan aktiviti yang akan buat anda stres, musnahkan apa yang tidak perlu dari hidup.

♫ Pisahkan antara tugasan harian dengan aktiviti peribadi. Ini untuk pastikan bahawa anda tidak cuba menyelesaikan semuanya dalam senarai yang tidak habis.

♫ Ambil masa untuk diri sendiri setiap hari. Peruntukkan walaupun hanya 10 minit setiap hari untuk relaks dan sendirian, tarik nafas panjang dan meditasi bagi bantu diri bertenang. Solat adalah waktu bertenang dan rehat yang terbaik bagi orang Islam, jadi jangan tinggal solat (kecuali ketika anda uzur syarie).

♫ Luahkan pada teman dan orang tersayang untuk sokongan pada waktu stres. Minta mereka bantu, jadi anda dapat meringankan beban. Kadangkala dengan minta tolong dapat membantu ringankan stres.

♫ Kenal pasti tahap persahabatan dan perhubungan dengan orang lain dalam hidup anda. Fikrkan megenai apa yang secara peribadi anda perlukan daripada perhubungan itu untuk jadikan anda lebih tenang. Dekati orang yang berkenaan dengan keyakinan, supaya anda dapat atasi masalah yang berlegar antara anda dengan dia.

♫ Lakukan senaman berkala, makan sihat dan cukup tidur. Tidak kisahlah apa yang bakal anda lalui, ikutilah diet sihat dan tidur tenang akan bantu anda pulih semula dan kurangkan stres.

♫ Lalui hari dengan sikap positif. Positif adalah kunci untuk membangunkan kejayaan pelan penawar stres, tidak kira apa punca yang anda hadapi.

► NOTA : Ingat, hidup bukan hanya mengenai kerja. Ambil masa untuk buat apa yang anda suka. Dengar radio atau ikutikelas agama jika anda suka. Masa bergembira bermakna kuranglah stres anda. Jangan takut untuk katakan 'tidak'. Uruskan masalah anda dan jaga diri. Jangan ketepikan orang tersayang apabila stres kerana ini masa anda perlukan mereka sebenarnya.

Monday, August 17, 2009

Tips efisen kerja berpasukan.

Setiap orang punya cara gaya masing-masing ketika melaksanakan kerja. Bagaimanapun apabila kita bekerja berpasukan, kita akan temui pelbagai kemahiran berbeza pada setiap individu. Mungkin ada yang kelihatan lembap, mungkin ada yang kelihatan agresif, mungkin juga ada yang tekun tidak mempedulikan orang lain.Pelbagai ragam ini kadangkala boleh jadi pelengkap pada kejayaan pasukan anda. Mungkin anda boleh mengamalkan tip berikut untuk menjadikan kerja berpasukan lebih baik.

1. Hormat pandangan rakan sepasukan. Dengar pandangan mereka. Tidak kira sama ada anda pekerja baru atau lama,tua atau muda, anda dan mereka adalah manusia yang saling memerlukan satu sama lain.

2. Fahami personaliti rakan sepasukan masing-masing- karakter, sikap,minat, kecenderungan dan lain-lain. Pemahaman ini dapat membantu anda untuk mengenal pasti membantu anda memerlukan bantuan mereka. Jangan memandai-mandai hendak mengubah personaliti mereka kerana itu kemungkinan boleh membawa pada konflik.

3. Kenal pasti kekuatan dan kelemahan anggota pasukan. Anda memerlukan anggota pasukan yang boleh menjana idea tetapi tidak perlulah semua orang memberi idea. Itu hanya akan menyebabkan timbul pertelingkahan apabila semua orang hendak tunjuk pandai! Kekuatan dan kelemahan pada masa yang sama akan melengkapkan satu sama lain.

4. Interaktif dan saling memberi respons pada satu sama lain. Jangan mementingkan diri sendiri.Jangan tanamkan mentaliti, “yang penting kerja aku siap, kerja orang lain, peduli apa aku!”.

5. Jangan berpuak-puak dalam pasukan sendiri. Hal ini selalu berlaku dalam pasukan yang besar. Sikap berpuak-puak boleh menjejaskan keharmonian pasukan. Oleh itu, elak dan jauhkan diri sebelum berlarutan.

6. Lebih afdal bagi pasukan memohon petunjuk Allah ketika melakukan apa-apa urusan melalui solat jemaah atau solat hajat. Ingat suatu perkara, kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan.

Berikut beberapa faedah yang bakal kita peroleh jika bekerja secara berpasukan :

۝ Bekerja berpasukan dapat membaiki semangat dan motivasi dalam kumpulan. Dengan cara ini, mereka saling menegur dan membaiki kelemahan satu sama lain. Rakan-rakan sepasukan boleh menjadi cermin pada diri rakan yang lain.

۝ Mengurangkan beban kerja. Bekerja secara berpasukan bermakna mengurangkan bebanan yang harus ditanggung seorang diri. Anggota pasukan saling berkongsi susah senang.

۝ Meningkatkan produktiviti.

۝ Beroleh kepuasan bekerja dengan lebih baik.

۝ Lebih mengakrabkan silaturrahim satu sama lain.

۝ Lebih mudah menguruskan masalah jika semua orang bekerjasama.

۞ Sebagai muslimah bekerjaya, tentunya anda mahu kehidupan yang serba terurus, ada banyak idea, punya bakat kepimpinan secara semulajadi, bijak menganalisis, teliti bekerja dan mampu mencium masalah yang melanda. Hakikatnya kita tidak akan menjadi semua yang kita mahukan.

Saturday, August 15, 2009

Program Randau bersama PIBG di SK Kpg Tanam, Dalat.

Selalunya sesi permuafakatan akan diadakan di sekolah, tapi tahun ini SMKD telah mengambil kata sepakat untuk 'keluar daerah' memberi penerangan dan penjelasan tentang pegurusan dan pentadbiran di SMKD, agar ibu bapa lebih maklum. Justeru itu, harapan pihak pengurusan SMKD, agar pihak ibu bapa dapat memberi kerjasama yang erat dan padu demi anak-anak. Sebab itu tema dipilih iaitu " Satu hati demi anak-anak". Moga usaha yang sedikit ini akan memberikan impak yang besar kepada SMKD. Insya Allah.
( Gembiranya, menunggu kehadiran Ibu bapa pelajar ...)
( Sesi pendaftaran kehadiran......)
( Cikgu Azeora sibuk melayan 'Tetamu'........ )
( Sesi 'Kongsi Maklum pihak pengurusan sekolah...)
( Kongsi Maklum tentang HEM )
( Di antara ibu bapa yang hadir semasa sesi Randau )
( Terima kasih Cikgu Kamal, Guru Besar Sk Kpg Tanam atas keizinan menggunakan SK Kpg Tanam untuk Sesi 'Randau' dengan ibu bapa..)
.......Program Randau telah diadakan pada 8 Ogos 2009 ( Sabtu ).

Duit Suami @ duit isteri.....?

Hakikatnya hari ini,memang sukar untuk melihat wanita tidak bekerja. Hatta duduk di rumah sekalipun,mereka tetap bijak mencari lubang untuk menjana pendapatan.

Fenomena wanita bekerja telah mencetuskan suatu keadaan yang berlainan pula dalam rumah tangga. Pengurusan kewangan kini lebih banyak dikuasai wanita sehingga dalam keadaan tertentu, duit isteri lebih banyak dihabiskan berbanding suami. Benarkah begitu? Mungkin ada kalangan lelaki yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini.

Saling Bantu-membantu dalam rumah tangga memang budaya mulia.Khadijah Khuwailid, isteri Rasullah sudah membuktikannya. Dalam masyarakat moden hari ini, ramai isteri turut melakukannya sama ada secara sedar atau tidak. Semuanya demi menjamin kesejahteraan rumah tangga.

Tetapi dalam Islam, bagaimanakah pengurusan kewangan yang sebenarnya? Apatah lagi dalam keadaan hari ini yang segala-galanya menuntut wang, maka wujudkah perubahan dari segi siapa yang patut berbelanja lebih?

Pengurusan kewangan keluarga yang baik adalah;

☼ Akaun bersama antara suami dan isteri:- untuk urusan yang sama-sama dipersetujui suami isteri seperti membayar rumah, kereta dan pendidikan anak. Suami isteri boleh mewujudkan satu tabung yang mereka kongsi bersama untuk tujuan ini.

☼ Akaun suami dan akaun isteri :- masing-masing memiliki akaun sendiri untuk tujuan peribadi. Antaranya untuk disumbangkan pada ibu bapa masing-masing, Bantu persekolahan adik-adik,menjayakan hobi sendiri, selain sumbangan terhadap masyarakat seperti zakat dan sedekah agar tambah berkat.

Bagaimana pengagihan kewangan suami isteri?. Dalam kitab Imam Shafie, suami perlu menyediakan keperluan wajib iaitu;

Menyediakan tempat tinggal yang selesa.

Menyediakan makan minum yang asasi untuk keperluan fizikal.

Menyediakan kenderaan selesa. Jika tidak mampu, suami sediakan tambang yang mencukupi untuk kenderaan awam.

Menyediakan pakaian.

Menyediakan keperluan diri isteri seperti mekap, berus gigi dan sebagainya. ( Sementara itu, aspek lain hanya keperluan tambahan dan tidak wajib seperti membawa keluarga melancong).

♂ Jenaka kaum lelaki hari ini, untung berkahwin kerana wanita sekarang kebanyakannya bekerja dan ada pendapatan sendiri. Jadi dengan sendiri, beban kewangan tidak terletak sepenuhnya pada suami.