Tuesday, May 22, 2012

Bangkitlah! Positifkan diri...............

Setiap individu baik remaja, dewasa atau orang tua, sudah semestinya pernah menghadapi masalah dalam hidup. Kata orang hidup tanpa masalah bukan hidup namanya. Berlegar daripada masalah paling kecil, semuanya tetap dinamakan masalah. Cuma masalah  yang dihadapi oleh seseorang itu berbeza. Bagaimana cara untuk mengatasinya juga adalah juga satu masalah. Namun hakikatnya setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Biasanya sebelum masalah itu selesai kita akan berasa sangat tertekan, hampir putus asa kerana tidak tahan menghadapinya. Ingat!...masalah kecil, apabila tidak ditangani dengan baik boleh membawa kepada mudarat yang amat besar.

Setiap hari kita tidak akan terlepas dilanda dengan masalah, sekiranya bukan kita yang bermasalah, orang lain pula yang mendatangkan masalah. Oleh itu, kita perlu bersedia menghadapi permasalahan tersebut dan cuba mencari kaedah untuk mengatasinya. Jika anda berseorangan dalam menghadapi masalah, mari kita renung sejenak apa sebenarnya maksud setiap masalah itu, kaedah untuk mengatasinya serta panduan menghadapi masalah dengan tenang.

Masalah sebenarnya ialah ujian Allah kepada kita untuk mengukur sejauh mana tahap keimanan dan ketakwaan kita terhadap-Nya. Sebab sebagai manusia kita sering terlupa serta lalai dengan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah apabila hidup kita sentiasa dilimpahi kesenangan dan kemewahan. Dengan adanya ujian ini, kita akan kembali mengingati apakah hidup kita selama ini mengikuti peraturan atau landasan yang ditetapkan oleh Allah ataupun jauh menyimpang.

Setiap masalah, kesukaran, kesakitan dan apa jua yang menyeksa jiwa adalah merupakan ujian daripada Allah untuk menguji sejauh mana iman kita. Iman perlu kepada ujian. Ujian atau dugaan yang datang adalah daripada Allah, sama ada ujian itu sebagai 'kafarah' dosa yang kitak lakukan atau untuk mengangkat darjat kita di sisi-Nya. Allah juga tidak menduga hamba-hamba-Nya tanpa mengambil kira kesanggupannya atau keupayaan mereka untuk menghadapinya, ujian dan dugaan yang diturunkan Allah kepada hamba-Nya adalah seiring dengan keupayaan individu itu untuk menyelesaikan masalahnya. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah :286 yang bermaksud: " Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya".

Oleh itu, sekiranya kita berhadapan dengan masalah, cubalah bawa bertenang, bersabar dan setkan dalam minda bahawa kita sedang diuji oleh Allah, orang yang melepasi ujian itu adalah orang yang berjaya dan mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah.
" Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka" (At-Taubah : 111)

5 Cara Terbaik Atasi Masalah ....:
1.   Sandarkan harapan pada Allah.
       * setiap ujian yang datang sebenarnya mempunyai banyak hikmah di sebaliknya. Yakinlah bahawa
          setiap kesusahan yang kita tempuhi pasti akan diganti dengan kesenangan.

2.   Minta pertolongan daripada Allah
      
3.   Jangan sedih dan kecewa
       * yakinlah dengan janji Allah dan jangan cepat putus asa dengan masalah yang dihadapi sebaliknya
          tingkatkan usaha dan kuatkan semangat untuk mengatasinya.

4.   Luahkan masalah tersebut pada teman-teman yang dipercayai
       * walaupun dia mungkin tidak dapat membantu, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat meringankan
          beban yang anda tanggung.

5.   Bandingkan masalah kita dengan masalah orang lain
       * mungkin masalah orang lebih besar daripada kita, perkara ini juga boleh membuatkan kita lebih
          tenang ketika menyelesaikan masalah. Sesungguhnya ujian yang datang itu tandanya Allah sayangkan
          kita. Jadi ambilah masa untuk menilai diri dan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dalam apa
          jua yang kita lakukan. Lakukanlah untuk mencari redha Allah. Fikir dengan positif bahawa setiap
         dugaan datang daripada Allah dan pasti ada hikmah yang tersendiri.