Friday, January 29, 2010

Keyakinan Diri....


Sifat rendah diri dan kurang yakin pada diri sendiri senang wujud dalam diri kita.  Sikap negatif yang boleh mengundang keburukan ini perlu dielak dalam usaha kita untuk mencapai kecemerlangan terutama dalam pelajaran.  Membina keyakinan dalam diri sebenarnya bukanlah mudah.  Pelbagai pengaruh dalam diri seseorang sedikit sebanyak menghalang mereka membentuk keyakinan diri.  Bagaimanapun, ia tidak bermaksud masalah berkenaan tidak boleh di atasi.  Tanamkan sikap positif dan cuba kenal pasti apa sebenarnya maksud keyakinan diri itu.

Bertenang adalah perkara paling penting untuk menampilkan diri anda sebagai seorang yang berkeyakinan.  Sikap ini perlu ditanam terutama ketika menghadapi masalah atau mahu membuat keputusan tertentu.  Memperlihatkan sikap menggelabah atau kelam-kabut akan membuatkan anda lebih tertekan menghadapi situasi ini.  Jangan biarkan emosi menguasai diri kerana ia boleh membuatkan anda lebih tertekan dan marah.

Selain bertenang ketika menghadapi saat keliru untuk membuat keputusan, anda perlu mengamalkan sikap tolak ansur atau toleransi untuk menghadapi kekeliruan itu.  Jika anda dapat menghadapinya, tidak mustahil anda dapat memiliki keyakinan dalam apa saja keadaan.

Apa saja yang kita lakukan dilaksanakan oleh otak yang bertugas selepas mendapat alasan kita.  Sehubungan itu, sekiranya anda gagal dalam sesuatu tugas, ia  kesilapan anda kerana otak hanya melakukan apa yang anda arahkan.   Sekiranya anda menyusun setiap tugas dengan sempurna, maka otak akan bekerja dengan lebih baik.  Oleh itu, anda perlu bayangkan segala yang positif mengenai apa yang anda akan lakukan.  Jika anda membayangkan anda akan gagal, maka tidak mustahil anda akan gagal.  Jika anda membayangkan keyakinan diri dengan kuat dan lebih tenang, ia sudah cukup kuat untuk mendorong diri anda menjadi lebih yakin.

YAKIN BOLEH!!!............

Renungan.


" Usaha itu tangga Kejayaan "

Thursday, January 28, 2010

Apa itu CINTA...





Cinta itu perasaan jiwa semula jadi. Ia adalah fitrah yang menjadi salah satu sifat manusia. Ia wujud bila hati tertarik kepada yang dicintainya itu penuh emosi dan gembira kerana itu. Dalam memenuhi keperluan untuk puas dalam cinta, manusia menghadapi krisis nilai, insan yang mula jatuh cinta akan bersungguh untuk mencapai kepuasan dalam cinta itu. Ada yang menjadi buta dan kabur nilai akibat bercinta. Tapi bagi yang bijaksana mereka mendambakan cara yang sesuai dan mulia untuk memenuhi keperluan cintanya itu. Insan sebegini ingin hidup yang bersih dan penuh takwa.

Sifat Cinta :
Cinta itu suci, mahal dan tinggi tarafnya. Sifat cinta itu sempurna. Jika tidak, cinta akan cacat. Itulah cinta sebenar cinta.

Cinta Wujud Sejak Dilahirkan:
Rasa cinta sedia wujud di dalam jiwa manusia sejak manusia itu lahir ke dunia. Cuma manusia akan melalui tahap-tahap kelahiran cinta bermula dari cinta kepada belaian ibu, membawa kepada cinta kepada kekasih dan akhirnya setelah puas mencari cinta suci, maka akan cinta kepada Tuhan . WujudNya cinta itu tidak dapat dilihat tapi dapat dirasa dan cinta sebenar cinta itu suci murni serta putih bersih.

Cinta Bersedia :
Bila sampai masanya di setiap tahap-tahap cinta, maka Tuhan menjadikan manusia itu  bersedia menerima cinta itu. Pada mulanya jiwa itu bersedia menerima cinta, lantas sedia pula untuk berkongsi rasa kewujudan dengan dikasihi. Sedia untuk mengikat setia serta saling memahami. Sedia untuk dipertanggungjawabkan kerana cinta. Sedia untuk menyerah diri pada yang dicintai.

Cinta Itu Indah:
Walaupun kewujudan cinta tidak biasa dilihat, tetapi cinta itu indah dan cantik. Cantiknya itu tulin dan tidak ia bertopeng. Bukan saja ia cantik malah suci murni, bercahaya gemerlap dan putih bersih.

Cinta Itu Mengharap Balasan :
Cinta antara manusia itu berkehendak kepada jodoh atau pasangan, dari diri yang punya persamaan, dari diri yang asalnya satu. Bila dapat yang dicari, bermakna cinta itu menganggap telah bertemu yang paling sesuai dan secucuk dengan jiwanya, untuk bersatu kembali. Kehendak itu timbal balik sifatnya kerana manusia dalam bercinta tidak hanya menerima tapi juga memberi.
         
Cinta itu Menakluki :
Sifat cinta itu ingin menguasai. Dia mahu yang dikasihinya itu hanya khusus untuk dirinya. Dia tidak mahu ianya dikongsi dengan orang lain. Sifat ini menuntut hak untuk mencintai dan dicintai. Tapi, dalam pada ingin menakluki, ia juga ingin ditakluki sepenuhnya.

Cinta Itu Mengetahui :
Pada asasnya sebenarnya cinta itu mengetahui. Orang yang bercinta tahu siapa yang patut dicintainya. Cinta tidak perlu bertanya. Manusia boleh jatuh cinta tanpa membaca ilmiah atau novel tentang cinta. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Tapi, cinta cuma tahu bercinta. Ia tidak tahu akan peraturan cinta jika tiada diberikan panduan.


Cinta Itu Hidup :
Cinta adalah ibarat manusia, boleh berputik, lalu mekar serta boleh layu dan gugur. Cinta itu punya deria dan perasaan. Cinta mendengar cinta, berkata cinta, melihat cinta. Cinta ada segala-galanya. Sayang, benci cemburu, gembira, sedih, tenag, tertekan, ketawa dan menangis. Cinta itu hidup sampai satu ketika ia akan menemui mati. Tapi ramai orang berharap agar cinta itu kekal selagi dia masih hidup dan tetap hidup walaupun telah mati.

Cinta Itu Suci :
Sebagaimana yang banyak dikatakan orang, cinta itu suci. Sucinya cinta bukan bermakna ia tidak mengharap balasan. Cinta mengharap balasan cinta. Sucinya cinta bermakna ia tidak bernoda dan tidak pula berdosa itulah sifat asal cinta, ia suci bagaikan anak yang baru lahir. Mereka yang kenal erti cinta akan cuba mengekalkan cinta itu sesuci mungkin. Mengekalkan cinta suci bermakna menjauhkan ia dari godaan nafsu yang tidak ada batasan. Kerana nafsulah cinta suci jadi bernoda dan berdosa.

Cinta Itu Mempersona :
Cinta itu bukan saja indah, tapi mempersonakan. Ia bukan kerana cinta itu nakal sifatnya tapi kerana ia suci dan bersih. Ia adalah sebagaimana anda melihat pada anak kecil yang comel dan bersih. Dia senyum pada anda dan merapati anda. Anda terpesona kerana bukan saja ianya comel, tapi kerana dia adalah insan yang tidak berdosa. Kerana sifat cinta yang mempersonakan ini selalunya manusia itu berbuat silap bila bercinta.

Apa saja yang dilakukan oleh kekasihnya…mempersonakannya dan nampak cantik serta betul walaupun itu adalah satu dosa dan akan menodai cinta itu sendiri. Itulah juga yang menyebabkan orang yang bercinta itu walaupun seorang yang bijaksana, akan menjadi bodoh kerana persona cinta. Akal itu mampu dikalahkan oleh nafsu. Nafsu itu tidak biasa dikalahkan melainkan jika anda sentiasa ingat kepada Tuhan Maha Pencipta.

Apakah Itu Bukti Cinta?:
Cinta perlukan bukti. Ramai orang percaya bahawa bukti cinta itu ialah mengorbankan atau menyerahkan apa saja yang kekasih mahukan. Mereka percaya jika itu tidak berlaku, maka cinta itu tidak tinggi nilainya.
Sebenarnya anggapan itu tidak tepat.  Jika anda beri semua yang dia mahu, apakah yang tinggal pada anda?. Benarkah dia cinta pada anda bila dia mahukan pengorbanan anda?. Cinta sejati tidak memusnahkan atau merosakkan diri kekasih yang dicintai. Malah ia menjaga agar kekasih tetap suci dan selamat sebagaimana sucinya cinta itu sendiri.

Wednesday, January 27, 2010

Cabar Diri Untuk Berjaya.




Kejayaan bolehlah ditakrifkan sebagai pencapaian seseorang menepati matlamat atau sasaran yang telah ditetap olehnya. Oleh itu, kejayaan adalah suatu bentuk yang subjektif dan relatif dengan individu itu sendiri. Namun, kejayaan bukanlah suatu misteri yang tidak terungkap. Malah sekirannya seseorang itu telah melakukan sesuatu perkara maka orang lain pasti mampu melakukannya juga. Tetapi janganlah pula sekadar selesa dengan pencapaian yang biasa hingga tiada apa yang boleh dibanggakan oleh kita atau yang boleh diceritakan kepada anak cucu kita nanti. Berusahalah untuk mencapai kecemerlangan.

Apabila kita tiba ke matlamat yang telah ditetapkan kita mula rasa selesa. Setelah beberapa ketika kita rasa tiada apa lagi yang mencabar di tahap tersebut. Kalau kita terus berada dalam zon selesa itu maka lambat laun kita akan gagal kerana orang lain sudah semakin maju. Oleh itu, perlu bagi kita setelah mencapai satu sasaran, kemudiannya mencabar diri untuk maju ke tahap yang seterusnya pula. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk cabar diri bagi terus maju dalam kehidupan.

#   Letakkan sasaran yang tinggi:-
Apabila satu matlamat dicapai maka teruslah menetapkan matlamat baru yang lebih tinggi lagi. Cabar diri untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai sasaran itu. Kalau satu hari kita berjaya merealisasikannya, maka mula letakkan sasaran baru untuk jadi yang terbaik. Sasaran yang tinggi ini sentiasa membuatkan kita memandang ke depan. Hasilnya, tanpa kita sedari kita semakin hari semakin maju dalam bidang yang kita ceburi.

#   Cemburu dengan kejayaan orang lain :-
Lihat mereka yang lebih berjaya dari kita. Kalau orang lain boleh kita juga boleh. Untuk maju kita mesti cemburu dengan kejayaan orang lain dan cabar diri kita untuk berusaha lebih dari orang lain. Kalau kita tidak tahu bagaimana mahu melakukannya maka belajarlah dari mereka yang telah berjaya. Buka mulut dan bertanya. Jangan sekadar berdiam diri kerana tiada apa yang berlaku kalau kita tidak bertindak. Bacalah kisah-kisah kejayaan orang lain. Sikap cemburu dengan kejayaan orang lain ini mestilah ditanam untuk membentuk suatu persaingan yang sihat bukannya cemburu yang membawa kepada sifat dengki dan irihati yang membuatkan kita mengambvil langkah-langkah buruk menjatuhkan saingan kita.

#   Elakkan dari sikap cepat puashati:-
Sikap cepat  berpuashati adalah penyakit yang menghalang diri kita untuk terus berjaya. Sikap puashati ini akan membuatkan kita berhenti untuk berusaha dan mencipta kejayaan yang lebih besar lagi. Kenapa tidak kita ambil contoh orang yang lebih berjaya dari kita? Bandinglah dengan mereka yang lebih berjaya. Usah lagi berpuashati dengan pencapaian kita kerana setiap kali kita berjaya maka kita pasti boleh pergi lebih jauh.

#   Tingkatkan ' Standard ' anda :-
Untuk berjaya kita kena cabar diri untuk tingkatkan 'standard' kita. Misalnya, kita berkata pada diri kita bahawa tidak 'standard'lah asyik bawa kereta Jepun aje, 5 tahun dari sekarang aku mesti nak bawa kereta Jerman pula. Tidak 'srtandard'lah untuk berumah teres sahaja, 5 tahun dari sekarang aku mesti nak ada rumah banglo pula.

Tujuannya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk takbur tetapi untuk membuatkan kita mahu berusaha lebih gigih lagi demi memenuhi tuntutan hidup kita yang mengikut 'standard' baru itu. Perlu diingatkan bahawa kita hanya boleh hidup dalam 'standar' yang lebih tinggi hanya setelah kita berjaya merealisasikan pendapatan yang mampu menampung 'standard' tersebut. Jangan pula menjadi orang yang papa asal bergaya.

Tuesday, January 26, 2010

" Recharge".




Mungkin ada yang merasakan dalam usia 40++ sudah terlewat untuk membuat sebarang perubahan ataupun perancangan dalam hidup. Jangan begitu, tiada istilah terlewat dalam hidup ini. Yang penting anda ada kemahuan melakukannya.

Antara langkah yang boleh dilakukan agar kehidupan menjadi lebih baik atau melakukan sesuatu yang baru dalam hidup anda. Langkah yang boleh anda lakukan :-

*   Anda perlu duduk dan fikirkan mengenai kehidupan baru yang bagaimana anda mahukan. Catatkan di atas kertas.

*   Fikirkan dan rancang bagaimanan untuk mencapainya. Jangan fikirkan atau bimbang mengenai kegagalan. Ingat!...ada banyak peluang terbuka di depan mata. Buka mata hati dan lihat keliling anda.

*   Jangan mahukan perubahan besar berlaku serentak dan mendadak. Biar sedikit / kecil tetepi berterusan. Setelah berjaya, jangan berhenti, tetapi terus berusaha. Mungkin anda juga boleh berkongsi kejayaan itu dengan orang lain agar ia dapat menjadi inspirasi untuk mereka menggapai impian mereka pula.

Khasiat Betik.





Buah betik baik untuk jangtung.  Mungkin selama iini, ramai dalam kalangan kita yang tahu buah ini memang berkhasiat. Betik mengandungi banyak enzim yang berguna untuk pencernaan tubuh. Dalam usia lanjut, masalah pencernaan sering kali terjadi dan pengambilan buah ini sedikit sebanyak dapat melawaskan sistem pencernaan. Namun tahukah anda bahawa betik juga mengandungi potassium (kalium) yang merupakan nutrisi jantung. Potongan betik yang berukuran sederhana mengandugi kadar potassium 781 mg dibandingkan pisang bersaiz sederhana yang hanya 371 mg. Oleh itu, jangan lupa untuk masukkan buah betik di dalam diet seharian anda!........

Saturday, January 23, 2010

Renungan.



Selamat hujung minggu. Moga berbahagia dan ceria.

Sultan Johor Mangkat.




JOHOR BAHARU, 22 Jan (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, mangkat pada Jumaat malam selepas memerintah Johor hampir tiga dekad. Baginda mangkat pada pukul 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri di sini selepas dimasukkan ke hospital itu hari ini kerana gering. Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

"Semoga dicucuri rahmat yang berlebih-lebihan ke atas roh Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail,"

Friday, January 22, 2010

dOAkU.



Untuk semua umat Islam di seluruh Malaysia dan dunia amnya. Makbulkan doaku Ya Allah... jauhilah kami semua daripada godaan syaitan dan kesesatan. Pandukan kami ke jalan yang lurus, jalan yang Engkau redhai.... Panjangkan umur kami, murahkan rezeki kami dan matikan kami dalam Iman dan Islam. Amin....

Info : Islam, Iman dan Ihsan.




Sekadar percaya akan wujudnya Allah, belum cukup untuk menjadikan seseorang Islam yang sebenar, karena kepercayaan akan wujudnya Allah bukan merupakan suatu prestasi. Lagi pula, kepercayaan ini sudah ada dengan sendirinya tertanam di dalam hati sanubari setiap manusia sejak lahir. Walaupun, kadang-kadang kepercayaan ini seolah-olah tertutup dan tidak digambarkan, namun dalam keadaan tertentu ia muncul dengan tiba-tiba. Misalnya, di dalam keadaan gembira, orang sering melupakan Allah, bahkan sebahagian orang dengan sombong berani mengatakan: “tidak ada Tuhan”, namun dalam keadaan yang kritis, ketika sedang diancam bahaya maut, atau sedang berlayar di tengah lautan yang dilanda badai dan taufan orang ini dengan khusyu’nya lantas berdoa memohon keselamatan kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Sebagai orang Islam, ramai yang memahami mengenai Rukun Islam dan Rukun Iman, namun sering lupa perbuatan ihsan. Ihsan ini secara tidak langsung memperkukuhkan akidah kita terhadap hubungan dengan Allah SWT, manusia serta hamba Allah yang lain. Sebagai umat Islam kita sentiasa sedar dan yakin bahawa ada 'kuasa besar' yang sentiasa memerhati kita.

Ramai yang melaksanakan segala ajaran dalam Rukun Islam dan Iman tetapi lupa dengan tanggungjawab mereka mengenai ihsan.  Ini termasuk hubungan dengan keluarga, saudara-mara, sahabat dan jiran. Adakalanya kita lupa bab hubungan ini sehingga perbuatan kita ini tidak disukai oleh Allah. Oleh itu, untuk menjadi umat Islam sejati, kita perlu melaksanakan ketiga-tiga pokok ajaran Islam ini agar kehidupan kita sentiasa mendapat rahmat dan sejahtera di dunia dan di akhirat.


Dalam ertikata lain, janganlah kita ingat bahawa dengan hanya melaksanakan Rukun Islam dan Iman tanpa mempedulikan Ihsan, kita sudah menjalankan tugas sebagai hamba yang taat kepada penciptanya. Perbaiki hubungan kita dengan manusia lain. Oleh kerana terlupa dengan ihsan, kita dimurkai Allah SWT atau mungkin tidak disenangi sepanjang masa.

Sama-samalah kita muhasabah diri.

Thursday, January 21, 2010

Syukur.




Renung dan fahamilah seni kata lagu Kumpulan Nasyid Raihan di bawah, mudah-mudahan kita menjadi orang yang sentiasa bersyukur.

Ucaplah Alhamdulillah
Syukur kita kepada Allah
Selawat ke atas Nabi Muhammad 
Ya Rasullah

Tanda syukur itulah taat
Setiap tempat setiap waktu
Syukur itu dapat dilihat
Pada sikap dan tingkah laku
Marilah bersama kita bersyukur
Kepada Allah kita bersyukur

Syukur itu sifat mulia
Hindar dari tamak haloba
Rasa cukup apa yang ada
Hati tenang hidup sejahtera
Marilah amalkan rasa bersyukur
Hidup bahagia aman dan makmur

Syukur Alhamdulillah
Syukur itu banyak caranya
Taat beribadah tekun berusaha
Saling membantu berkasih sayang
Murah senyuman hulur sedekah
Marilah kita beramal bersama
Rasa bersyukur kita suburkan

Alhamdulillah, kerana masih dapat menghirup udara dan menikmati kehidupan sehingga hari tok. Kamek sebenarnya masih trauma dengan peristiwa yang berlaku pada subuh 20 Januari lepas. Mungkin kamek masih bernasib bait, bukan kamek yang cedera cuma cermin kereta dan 'cermin tepi' ajak yang pecah. Kita bukan main lagik ikut peraturan jalan raya, tapi orang lain. Nak cepat, orang lain menjadi 'mangsa'.  Jadi kepada semua 'berhati-hati di jalan raya ' dan 'pandu cermat jiwa selamat.

Cantik dan gagah.




Cantiknya Lelaki:
Ketahuilah lelaki yang cantik adalah;

1.   Lelaki yang mampu mengalirkan air mata untuk ingatan.
2.   Lelaki yang sedia menerima segala teguran.
3.   Lelaki yang memberi madu, setelah menerima racun.
4.   Lelaki yang tenang dan lapang dada.
5.   Lelaki yang baik sangka.
6.   Lelaki yang tidak pernah putus asa.
7.   Lelaki yang bijak menangani segala permasalahan.

Kecantikan lelaki berdiri di atas kemuliaan hati. Seluruh kecantikan yang ada pada Nabi Muhammad S A W adalah kecantikan yang sempurna seorang lelaki.

Gagahnya Wanita:
Perempuan yang gagah adalah.....

1. Perempuan yang tahan menerima sebuah kehilangan.
2.    Perempuan yang tidak takut pada kemiskinan.
3.    Perempuan yang tabah menanggung kerinduan setelah ditinggalkan.
4.    Perempuan yang tidak meminta-minta agar dipenuhi segala keinginan.

Kegagahan seorang wanita pula bukanlah kepada pejal otot badan, tetapi pada kekuatan perasaan.  Kegagahan wanita berdiri di atas teguh iman.  Seluruh kegagahan yang ada pada Saidatina Khadijah, isteri Rasullah S A W adalah kegagahan sempurna bagi seorang wanita.

Monday, January 18, 2010

Muhasabah diri.

Saya tertarik dengan sms daripada seorang teman yang dihantar kepada saya pada 16 Januari yang lepas. Terusik hati saya, terlalu banyak kelemahan diri ini.... Sms beliau '

" Seangkuh dan sehebat manapun kamu, namun ke sejadah jua DAHImu sujud, seindah dan semahal pakaianmu, secarik KAPAN jua membalut tubuhmu, sebesar dan seindah mana RUMAHmu, sekujur badan yang dalam GELITA jua tempat singgahmu, seramai mana kawanmu dan sebanyak mana DUITmu, tetap kamu KESEORANGAN di sana. AMAL IBADAT jadi temanmu, secantik mana temanmu dan secantik mana rupamu, TULANG PUTIH jua yang akan tinggal "

Fikirkanlah sebagai renungan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH S.W.T......hidup hanya seketika, jangan MATI dengan DOSA.

Ketenangan Minda.




1.   Muda dan cantik berkait rapat dengan kesihatan hati.   Dalam sembahyang, anda boleh mencuba merehatkan minda dan hati daripada keserabutan urusan dunia.

2.   Tutup segala pintu dunia saat sembahyang, yang anda fikirkan hanya satu iaitu pulang dan kembali kepada Allah segalanya.

3.   Iman tidak kenal usia pencen.   Selagi kita bernafas ia wajib dijaga.   Begitu juga dengan amalan soleh, tiada kata berhenti untuk beramal kerana kemuliaan.   Manusia bukan terletak pada pangkat dan darjatnya, harta dan perhiasannya atau keturunan dan nasabnya.

OLEH ITU,..................

Pelajarilah cara melawan perasaan negatif kerana perasaan tersebut boleh melemahkan minda dan semangat.  Perasaan atau fikiran negatif ini boleh menjadi terlalu besar dan aktif dalam minda.  Malah ada kalanya ia disertai dengan suara halus berbau ugutan.   Elok anda 'tidak bekerjasama' dengan perasaan tersebut. Lawan dan jangan biarkan ia mengganggu atau mempengaruhi kehidupan anda.

Gunakan kemahiran berfikir dan rasional akal sebelum bertindak.   Juga selesaikan apa yang membelenggu fikiran, bukan berfikir secara keterlaluan.   Minda yang tidak aktif akan melahirkan individu yang lemah dan tidak bermaya.

Wednesday, January 13, 2010

Kejayaan.




" keagungan kejayaan bukannya terletak kepada tidak akan jatuh, tetapi bangun semula setiap kali ia jatuh "
Namun, kejayaan jarang diukur dengan taraf pencapaian seseorang dalam hidupnya..... tetpai dengan halangan-halangan yang di atasinya dalam percubaan ke arah kejayaan.

Tuesday, January 12, 2010

Kalimah " Allah ".




Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik, Herald - The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya sememangnya mencetuskan polemik. Jika tidak ditangani dengan segera dan berhikmah, pasti akan mendatangkan 'huru-hara' dalam negara. Jangan sekali-kali mempolitikkan isu ini, kerana ia boleh mencetuskan keadaan atau suasana yang lebih teruk dan buruk terutama kepada umat Islam. Berfikirlah secara rasional dan penuh hikmah. Pepatah Melayu jelas menyatakan : " Ikut rasa binasa, ikut hati mati ".

Hakim mahkamah berkenaan, Datuk Lau Bee Lan membuat keputusan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam terbitan akhbar berkenaan atas alasan ia berdasarkan hak di dalam perlembagaan. Sedangkan termaktub antara larangan dikeluarkan kerajaan Malaysia menerusi keputusan Kabinet bertarikh 16 Mei 1986 bagi mana-mana agama selain Islam menggunakan empat perkataan iaitu Allah, solat, Baitullah dan Kaabah.

Di Sarawak, penggunaan kalimah 'Allah' oleh agama Kristian sudah agak lama. Namun tidak 'mencetuskan' kontroversi seperti hari ini.  Persoalannya, kenapa perlu ditukar kepada kalimah 'Allah'? Maknanya agama Islam adalah 'agama' yang benar dan lebih baik, sehinggakan penggunaan kalimah 'Allah' diguna pakai (Cuma hati yang menidak). Atau ada agenda di sebaliknya.? Situasi ini menimbulkan kesangsian kerana agama Kristian di negara ini sejak awal lagi tidak pernah menggunakan kalimah Allah sebagai merujuk kepada tuhan mereka.

Konsep tauhid yang dipegang teguh umat Islam pasti tercalar kerana terdapat perbezaan nyata antara Allah yang dipercayai Islam dan Kristian. "Konsep syirik Yahudi dan Kristian jauh berbeza dengan pengertian akidah tauhid. Ini akan mengelirukan umat Islam kerana konsep yang diyakini hanya Allah sahaja "Yang Maha Esa", iaitu  tidak mempunyai anak dan tidak pula diperanakkan.

Dalam al-Quran, tuhan adalah nama am. Sementara Allah adalah nama khas. Dalam syahadah, kita menyebut 'Tiada Tuhan melainkan Allah' dan tidak pula kita menyebut 'Tiada Tuhan melainkan Tuhan'. "Bagi penganut Kristian, mereka tidak ada nama khusus bagi tuhan mereka, lalu mereka beranggapan orang Islam juga sama seperti mereka iaitu tiada nama khusus bagi tuhan. Jadi, jangan pula terperangkap, kerana bimbang nanti kita beranggapan Tuhan tidak mempunyai nama.

Kita harus  peka terhadap isu ini. Ia boleh memberikan kita kesedaran terutama kepada semangat perpaduan umat Islam yang kian luntur. Elok rasanya semua pihak kembali bersatu dan bangkit semula daripada kelemahan lalu. Sebelum ini, umat Islam bertelagah dalam hal politik yang tidak memberikan keuntungan kepada umat sehinggakan lupa kepada soal perpaduan.


Dalam mendepani isu seumpama ini, amat mustahak kita tanamkan akidah Islamiah bermula dari awal. Justeru, ia berbalik kepada faktor penghayatan berkenaan konsep akidah kita sebagai umat Islam iaitu percaya dengan sebenar-benarnya akan keesaan Allah,"

Monday, January 11, 2010

Selamat Hari Jadi.




Khas buat teman yang menyambut Hari Jadi semalam ( 100110- kacak nombornya ). Semoga bahagia, gembira, chat, dan lebih sukses dalam bidang yang diceburi. Terima kasih atas segalanya. 

Renungan.



Kita banyak pilihan, jadi pilihlah yang terbaik.

Friday, January 8, 2010

Hujung minggu.



Guna ruang dan masa lapang untuk bersama keluarga tersayang. Esok sekolah SMKD ada mesyuarat PIBG. Kepada semua guru dan ibu bapa gunakan peluang ini untuk berbincang permasalahan yang timbul dan merancang aktiviti terbaik untuk anak-anak.

Renungan.



Berfikirlah sebelum bertindak..........

Thursday, January 7, 2010

Cara Baharui Motivasi.

Tidak dapat dinafikan, kadangkala kita gagal mengekalkan motivasi sehingga menyebabkan azam sukar direalisasikan. Ramai yang memasang azam tetapi kerana motivasi mudah layu dan mati, maka azam juga turut dilupakan. Motivasi sebenarnya hidup tetapi kita tidak tahu bahawa ia hidup. Ada beberapa langkah untuk perbaharui motivasi iaitu:-

1.   Bersahabat dengan orang yang bermotivasi tinggi atau orang yang sudah berjaya. Seseorang yang hendak berjaya dalam bidang kewartawanan contohnya hendaklah mencari orang yang telah berjaya dalam bidang ini. Peguam muda yang ingin jadi peguam yang terkenal, hendaklah bersahabat rapat dengan peguam yang sudah berjaya. Selain itu, banyakkan berkomunikasi dengan orang yang bermotivasi.

2.   Mempunyai seorang 'role model' yang boleh dijadikan seumpama idola. Bagi seorang adik, mungkin dia boleh menjadikan abang atau kakaknya sebagai idola. Dalam masyarakat atau organisasi, pemimpin atau ketua akan jadi contoh pada anak-anak buahnya.

3.   Sering mengingati azam. Jika setiap tahun, kita memperbaharui cukai jalan (kereta), maka begitulah kita mengingatkan diri sendiri mengenai azam.

4.   Anda memerlukan seseorang untuk mengingatkan anda. Berpesanlah pada kawan-kawan yang baik dan boleh dipercayai, yang boleh beri teguran sekiranya tersasar daripada landasan yang lurus. Ibu bapa mungkin tidak berdaya menegur atau barangkali mereka berada jauh daripada kita. Jadi kita memerlukan kawan-kawan kerana merekalah yang akan menjadi cermin bagi kita.

5.   Motivasi yang terbaik adalah dengan cara muhasabah diri sendiri. Ingatlah diri sendiri. Contohnya, "aku hendak berjaya, hendak kerja kuat, tanpa putus asa." Untuk mencapainya, jangan sesekali kecewa.

6.   Sentiasa mencatat dalam diari. Lakukan senarai kerja yang mahu dilakukan esok. Lakukan perancangan dalam jangka masa panjang, sasaran dan pelan tindakan, kerana cara ini akan menjadi motivasi untuk mencapainya.

Selamat mencuba........................

Tuesday, January 5, 2010

Azam tahun baru..





" Saya berazam hendak kuruskan badan."
" Cakap mengenai azam, sudah tentulah hendak jadi yang lebih baik berbanding tahun  sebelum."
" Azam? Tak payahlah! Setiap tahun berazam tapi tak pernah tercapai."
" Azam saya, hendak baharui azam lama. "

Cakap-cakap mengenai azam begini selalu buat kita tersenyum. Setiap tahun baru, kita memang selalu memasang azam yang postif belaka.  Namun sama ada azam itu praktikal atau tidak, boleh dipenuhi atau tidak, biasanya jarang-jarang diberikan perhatian.

Yang paling kerap berlaku, azam hanya pada awal tahun dan kemudian terbiar begitu sahaja tanpa diusahakan. Budaya 'cakap tak serupa bikin' inilah yang menjadikan segala perancangan tidak menjadi apabila kita tidak bijak merancangkan perancangan yang dibuat.

Azam bukan sekadar di hati tetapi harus diterjemahkan melalui perbuatan, kemudian disusuli doa (solat serta berserah) agar perancangan mendapat restu ilahi. Tetapi sejauh mana pula kita melaksanakan ketiga-tiga aspek ini? sebagai penganut agama Islam, kita tidak perlu menunggu tahun baru untuk berazam baru kerana sememangnya setiap saat, kita dituntut untuk membuat perubahan ke arah yang lebih baik. Tidak usahlah menangguh-nangguh masa untuk membuat kebaikan kerana mati tidak menunggu lagi.

Saya percaya, di luar sana, sudah pasti ramai yang memasang keazaman yang tidak kurang hebat dan melakukan pelbagai cara untuk melaksanakan azam itu.

Selamat menyambut tahun 2010, semoga kita semua dilimpahi rahmat dan petunjuk. Amin.............

Monday, January 4, 2010

Selamat Bertugas kepada Pendidik.



Selamat kembali bertugas kepada semua pendidik di bumi Malaysia. Semoga tahun 2010 ini Kementerian Pendidikan Malaysia mencapai segala visi dan misi, terutamanya PIPP. Kepada semua pendidik, jangan mudah putus asa dalam usaha melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Sememangnya sukar untuk mendidik dan membentuk 'manusia', pelajar bukannya umpama 'tepung', mudah untuk diuli dan dibentuk mengikut acuan yang kita suka. Mereka punyai hati dan perasaan, didiklah mereka umpama anak sendiri. Jika kita mahu anak kita dididik oleh guru lain dengan baik, didiklah anak 'orang' dengan baik. Insya Allah, Allah akan memberikan kita yang terbaik. Yang penting jangan berputus asa dan jemu untuk mendidik mereka. Mereka adalah aset yang penting untuk negara.

Teruskan usaha cikgu demi anak bangsa dan negara yang tercinta.