Wednesday, January 27, 2010

Cabar Diri Untuk Berjaya.




Kejayaan bolehlah ditakrifkan sebagai pencapaian seseorang menepati matlamat atau sasaran yang telah ditetap olehnya. Oleh itu, kejayaan adalah suatu bentuk yang subjektif dan relatif dengan individu itu sendiri. Namun, kejayaan bukanlah suatu misteri yang tidak terungkap. Malah sekirannya seseorang itu telah melakukan sesuatu perkara maka orang lain pasti mampu melakukannya juga. Tetapi janganlah pula sekadar selesa dengan pencapaian yang biasa hingga tiada apa yang boleh dibanggakan oleh kita atau yang boleh diceritakan kepada anak cucu kita nanti. Berusahalah untuk mencapai kecemerlangan.

Apabila kita tiba ke matlamat yang telah ditetapkan kita mula rasa selesa. Setelah beberapa ketika kita rasa tiada apa lagi yang mencabar di tahap tersebut. Kalau kita terus berada dalam zon selesa itu maka lambat laun kita akan gagal kerana orang lain sudah semakin maju. Oleh itu, perlu bagi kita setelah mencapai satu sasaran, kemudiannya mencabar diri untuk maju ke tahap yang seterusnya pula. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk cabar diri bagi terus maju dalam kehidupan.

#   Letakkan sasaran yang tinggi:-
Apabila satu matlamat dicapai maka teruslah menetapkan matlamat baru yang lebih tinggi lagi. Cabar diri untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai sasaran itu. Kalau satu hari kita berjaya merealisasikannya, maka mula letakkan sasaran baru untuk jadi yang terbaik. Sasaran yang tinggi ini sentiasa membuatkan kita memandang ke depan. Hasilnya, tanpa kita sedari kita semakin hari semakin maju dalam bidang yang kita ceburi.

#   Cemburu dengan kejayaan orang lain :-
Lihat mereka yang lebih berjaya dari kita. Kalau orang lain boleh kita juga boleh. Untuk maju kita mesti cemburu dengan kejayaan orang lain dan cabar diri kita untuk berusaha lebih dari orang lain. Kalau kita tidak tahu bagaimana mahu melakukannya maka belajarlah dari mereka yang telah berjaya. Buka mulut dan bertanya. Jangan sekadar berdiam diri kerana tiada apa yang berlaku kalau kita tidak bertindak. Bacalah kisah-kisah kejayaan orang lain. Sikap cemburu dengan kejayaan orang lain ini mestilah ditanam untuk membentuk suatu persaingan yang sihat bukannya cemburu yang membawa kepada sifat dengki dan irihati yang membuatkan kita mengambvil langkah-langkah buruk menjatuhkan saingan kita.

#   Elakkan dari sikap cepat puashati:-
Sikap cepat  berpuashati adalah penyakit yang menghalang diri kita untuk terus berjaya. Sikap puashati ini akan membuatkan kita berhenti untuk berusaha dan mencipta kejayaan yang lebih besar lagi. Kenapa tidak kita ambil contoh orang yang lebih berjaya dari kita? Bandinglah dengan mereka yang lebih berjaya. Usah lagi berpuashati dengan pencapaian kita kerana setiap kali kita berjaya maka kita pasti boleh pergi lebih jauh.

#   Tingkatkan ' Standard ' anda :-
Untuk berjaya kita kena cabar diri untuk tingkatkan 'standard' kita. Misalnya, kita berkata pada diri kita bahawa tidak 'standard'lah asyik bawa kereta Jepun aje, 5 tahun dari sekarang aku mesti nak bawa kereta Jerman pula. Tidak 'srtandard'lah untuk berumah teres sahaja, 5 tahun dari sekarang aku mesti nak ada rumah banglo pula.

Tujuannya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk takbur tetapi untuk membuatkan kita mahu berusaha lebih gigih lagi demi memenuhi tuntutan hidup kita yang mengikut 'standard' baru itu. Perlu diingatkan bahawa kita hanya boleh hidup dalam 'standar' yang lebih tinggi hanya setelah kita berjaya merealisasikan pendapatan yang mampu menampung 'standard' tersebut. Jangan pula menjadi orang yang papa asal bergaya.

No comments:

Post a Comment