Saturday, January 22, 2011

Tip Menghadapi Kritikan.

Tidak ada seorang pun yang senang menerima kritikan.  Bagaimana pun hebatnya seseorang, dia pasti tidak terlepas daripada berasa hati apabila dikritik. Pertama, kerana tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini. Justeru, kita semua tidak terlepas daripada membuat kesilapan. Kedua, banyak orang yang senang mengkritik, meskipun mereka tahu bahawa menerima kritikan bukanlah mudah. Memang tidak semua kritikan itu benar. Namun, cara bagaimana anda mendepani kritikan sebenarnya yang dapat mendorong ke aeah peningkatan peribadi anda. Semak perkara berikut :

1.  Tahan diri daripada amarah:
Marah adalah tanda semulajadi yang mengatakan bahawa anda sedang dikritik. Yakinlah setiap orang memang berhak mengutarakan pendapatnya. Biarpun wajah anda merah padam, usahakan agar tidak marah. Apabila anda tidak lulus di langkah ini, maka langkah-langkah berikutnya hampir mustahil berguna bagi anda.

2.  Terima Kritikan dengan sikap terbuka:
Mungkin kritikan itu salah, namun pengkritik menganggapnya berbeza. Bersikap terbuka, apabila perlu ubahlah pandangan si pengkritik. Fahami maksud kritikannya sehingga anda dapat menanganinya secara tepat.

3.  Jangan masukkan kritikan ke dalam hati:
Meski anda bersikap terbuka, bukan bererti anda perlu mengambil hati atas kritikan itu. Mungkin kritikan itu hanya ditujukan pada usaha, produk, kakitangan anda bukan peribadi anda. Ingatlah anda perlu menjaga hubungan jangka panjang. Apabila kritikan ditujukan secara tidak profesional, amati saja ketidakmampuan pengkritik menyampaikan kritikannya.

4.  Mintalah keterangan lebih spesifik.
Fahami bahawa mungkin kritikan itu benar. Jadi cubalah untuk memahami dan meminta keterangan yang lebih spesifik mengenai apa yang dikritik tersebut. Ini bermanfaat bagi anda dan pengkritik agar dapat melihat situasi yang sebenarnya.

5.  Jangan balas kritikan dengan kritikan:
Tugas anda adalah mendepani kritikan agar anda dapat meraih lebih banyak kebaikan dan keuntungan dari kritikan itu. Membalas kritikan dengan kritikan sama dengan menyuakan perdebatan yang tidak perlu. Anda takkan boleh memadamkan api dengan api kerana akhirnya mungkin anda yang terbakar.

6.  Tanya diri sendiri apa yang boleh anda lakukan:
Dengan demikian anda mampu melihat kritikan sebagai kebaikan bagi diri sendiri, sekali gus mendapatkan keuntungan darinya. Senagai contoh, sebuah produk yang baik tentunya lebih banyak menerima kritikan pengguna daripada pujian.

7.  Mintalah pendapat orang lain:
Apabila anda tidak yakin dengan sesuatu kritikan, mintalah pendapat orang yang benar-benar tulus. Pendapat mereka dapat membantu anda menemukan bahagian mana dari kritikan itu yang benar atau keliru.

8.  Biasakan diri anda dengan kritikan:
Membiasakan diri bererti mendepani kritikan dengan tenang dan positif. jangan ragu untuk mengucapkan terima kasih atas kritikannya, meski tidak selalunya benar. Bagaimanapun perhatiannya untuk mengkritik, anda patut dihargai.

Sunday, January 16, 2011

Lepaskan Diri Daripada Kekecewaan.

Cuaca tidak selalunya cerah, ada masanya mendung juga melintasi. Begitu juga dengan pekerjaan, ada hari kerja kita cukup sempurna namun ada juga ketikanya kita gagal memberikan persembahan yang terbaik. Secara sendirinya, timbul rasa kecewa terhadap diri sendiri dan ia akan lebih meningkat apabila mendapat tekanan daripada pihak atasan pula. Namun jangan jadikan kekecewaan ini sebagai alasan berputus  asa. Anggap sahaja ia perkara normal dalam kerjaya dan cuba memperbaiki diri untuk menjadi pekerja yang lebih baik.

Setiap yang terjadi pasti mempunyai punca. Jadi tarik nafas sedalam-dalamnya dan luangkan sedikit masa bagi mengenal pasti bagaimana masalah boleh timbul. Sebelum itu anda harus melapangkan hati dan juga minda agar lebih terbuka menerima kenyataan. Jangan terlalu keras kepala dan ego untuk mengakui kesilapan yang dilakukan. Ambil nota akan kecuaian itu dan cuba elakkan kesilapan sama daripada berulang. Jika lebih kreatif, hasilkan cara lain yang lebih anda yakini agar kesilapan dapat dihindari.

Belajar daripada kesilapan. Ungkapan itu perlu dipraktikkan meskipun tidaklah begitu mudah. Usah terus tenggelam dalam kekecewaan sebaliknya mulakan langkah baru yang lebih positif. Jangan biarkan keyakinan diri anda terhakis dek kekecewaan ini. Fikirkan hari-hari mendatang dan bayangkan secara optimis yang anda mampu melaluinya. Anggap apa jua rintangan sebagai satu ujian untuk menjadikan diri anda seseorang yang lebih baik. Pastikan ada sesuatu yang dapat dipelajari pada ketika ini.

Selain keluarga, teman-teman merupakan tempat kita mengadu nasib. Jadi apabila anda dihantui kekecewaan, luahkanlah kepada mereka. Berbual-bual dan berkongsi rasa dengan mereka pasti dapat mengurangkan kekecewaan yang ditanggung. Kata-kata semangat daripada teman-teman akan membantu anda memulihkan keyakinan diri kepada keadaan asal. Dapatkan juga nasihat daripada mereka yang anda percayai kerana ia boleh menjelaskan lagi tindakan yang perlu anda lakukan. Elakkan diri daripada menyendiri dan kesedihan.Bagi mengatasinya, keluar bersama teman-teman dapat mengisi masa lapang anda.

Pekerjaan ada kalanya membuatkan kita berasa tertekan. Itu belum lagi dikira dengan situasi genting yang terpaksa dilalui. Kita harus bijak mengimbangi dunia kerja dan kesihatan diri. Sebagai langkah menjaga kesihatan diri, lakukan senaman ringan jika berkelapangan. Andai mahu lebih konsisten, peruntukan masa untuk mengunjungi pusat kecergasan berdekatan. Cara lainnya, anda boleh melakukan aktiviti sukan lain seperti berenang, bermain badminton atau apa jua jenis sukan diminati. Amalan positif sebegini bukan sahaja menyihatkan tubuh badan malah menjadikan otak lebih cerdas. Hasilnya anda boleh kembali menunjukkan kehebatan diri setelah mengharungi kekecewaan.

Saturday, January 15, 2011

Kenali Emosi Kanak-kanak : Jenis emosi/perasaan & Implikasinya.......

Gembira:- Membantu kanak-kanak atau remaja berfikir bagaimana melahirkan rasa seronok dan menggalakkan mereka bercakap mengenai sesuatu yang mereka sukai.

Marah :- Membantu mencari jalan bagaimana menghadapi halangan untuk mendapat sesuatu yang dicitakan dan mengenal erti kesabaran, belajar melahirkan perasaan geram dalam bentuk yang bersesuaian dan mencari jalan penyelesaian.

Takut :- Rasa terancam, suatu motivasi ingin memastikan keselamatan diri dari aspek fizikal dan psikologi. Merangsang kanak-kanak melahirkan fikiran dan perasaan takutnya, mencari jaminan mendapat ketenangan dan ketenteraman.

Sedih :- Kehilangan, tidak mendapat  apa yang dikehendaki menjadikan kanak-kanak berusaha lebih mendapat apa yang dicita, mencurah perasaan dan berfikir bagaimana mengatasi rasa sedih.

Geli:- Selalunya dikaitkan dengan makanan, bau dan pandangan, suatu yang semula jadi menjadikan seseorang kanak-kanak berhati-hati agar tidak 'terkena' apa yang beliau geli. Perasaan ini perlu dihormati dan bantu mereka mencari sebab mengapa mereka berperasaan begitu.

Cemas:- Asalkan tidak keterlaluan, sebenarnya ia membantu kanak-kanak berusaha mengambil langkah mengelak diri dari menghadapi masalah, belajar menahan perasaan bimbang dan bertindak proaktif untuk menunjukkan sesuatu yang terbaik.

Malu:- Menjadikan kanak-kanak menyedari kepentingan perilaku yang baik dan mengelak daripada melakukan sesuatu yang dikatakan memalukan.Ini membantu mereka mengawal tingkah laku mereka sendiri.

Rasa bersalah:- Wujud bila kanak-kanak melakukan sesuatu yang dianggap 'keluar' dari 'standard' tingkah laku yang baik. Si kecil akan berusaha untuk tidak dianggap bersalah dengan berakhlak sebaik mungkin dan sekiranya kesalahan tetap atau sudah dilakukan, perasaan ini merangsang kanak-kanak meluahkan perasaan dan menyedari agar berusaha untuk tidak mengulangi pada waktu lain.

Rasa bangga:- Tercetus bila seseorang kanak-kanak terasa dihormati / dihargai oleh orang lain atau bila dia mencapai apa yang diharapkan seperti merangsang mereka meluahkan apa yang membuatkan mereka merasa bangga dan memberi peluang berkongsi rasa bangga, puas dan gembira.

Friday, January 14, 2011

Memahami sikap Lelaki.

Ramai wanita yang mengadu tidak memahami sikap pasangan mereka. Malah kerana perkara ini juga ada perhubungan yang putus. Bagi mengelak perkara begini maka belajarlah memahami sikap  pasangan anda. Fahami perkara-perkara di bawah tentang diri mereka:

Mahu ringkas- Umumnya wanita suka bercakap meleret-leret walau pun apa yang hendak disampaikan itu sesuatu yang sangat mudah. Sebab itulah sering kali terjadi pertengkaran dalam rumah tangga apabila suami tidak memahami apa yang disampaikan oleh isterinya. Lelaki lebih kepada fakta, jadi bercakaplah dalam bahasa yang mudah mereka fahami.

Jangan memaksa - Wanita suka satu jawapan tepat dan mereka mahu tahu kebenarannya. Namun hal ini sangat berbeza dengan lelaki kerana mereka tidak suka dipaksa. Wanita mungkin suka bercakap tetapi lelaki kurang suka mendengarnya.

Perahsia - Lelaki tidak suka berkongsi masalah mereka hadapi dengan lelaki lain dan lebih suka memendam rasa. Bagi mereka, kalau bercerita seperti membuka aib diri sendiri. Biarlah mereka menanganinya dengan cara mereka tersendiri.

Pentingkan kejujuran - Menipu dan ditipu adalah dua perbuatan yang sangat menyakitkan. Lelaki umumnya suka kepada sebuah kejujuran kerana  itu sikap mereka. Oleh itu, bercakaplah secara berteus terang dengan mereka.

Tidak suka dikritik - Mungkin ramai yang seronok mengkritik nsmun lelaki selalunya tidak suka jika diri mereka dikritik. Ia seperti menjatuhkan maruah dirinya.

Saturday, January 1, 2011

Selamat Tahun Baru 2011.





Selamat menyambut Tahun baru 2011. Semoga diberi kekuatan dan keinsafan untuk terus menjalankan tanggungjawab dengan baik dan beramanah, demi Agama, Bangsa dan Negara tercinta. Moga kehadiran tahun 2011 lebih bermakna.