Thursday, April 30, 2009

Isteri Ketua Menteri Sarawak

**Petikan berita BERNAMA ( pada 29 April 2009 - Rabu )

KUCHING: Puan Sri Laila Taib, isteri Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud meninggal dunia pada 3.45 petang ini akibat kanser di kediaman mereka, Demak Jaya di sini. Laila, 68, meninggalkan suami, empat orang anak, termasuk Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman, dan 15 cucu.

Mengesahkan berita itu, setiausaha akhbar Taib, Amin Sahmat berkata, upacara pengkebumian akan diadakan di perkuburan Islam Demak di sini pagi esok. Antara kenamaan yang berkunjung awal memberi penghormatan terakhir di Demak Jaya petang ini ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sedang melakukan lawatan rasmi dua hari ke Sarawak, dan isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Laila, kelahiran Poland, dan Taib, berkahwin di Adelaide, Australia pada 13 Januari 1959 ketika Taib sedang mengikuti pengajian untuk ijazah undang-undang. Laila tiba di Sarawak pada 1962. Nama remajanya ialah Lejla Chaleck. Sebagai menghargai jasa dan bakti Laila, semasa sambutan ulang tahun ke 50 perkahwinan mereka di sini 13 Januari lepas, Taib berkata, Laila adalah tunggak kekuatan dan sumber inspirasinya. "Saya akui bahawa bukan mudah untuk seseorang wanita menjadi isteri kepada orang politik. "Laila telah memainkan peranan utama hingga menyebabkan saya mampu mengemudi kehidupan saya," kata beliau.

Seorang penulis tempatan, Christina Mamora, yang ditauliahkan menulis biografi Laila "A Story of Love and Compassion" yang akan diterbitkan, menyifatkan Laila sebagai seorang yang "baik hati dan mengambil berat tentang orang lain". "Setelah meluangkan banyak masa menginterbiu beliau (Laila) dalam kira-kira setahun lalu, saya cukup sedih mengingati betapa beliau begitu baik dan menyokong saya, khususnya dalam usaha untuk mendokumentasi kisahkisah mengenai wanita, bila saya dapat tahu beliau sakit," katanya kepada Bernama di sini.

Sebagai mengiktiraf penglibatan aktif beliau dalam kerjakerja kemasyarakatan, termasuk sebagai presiden Badan Amal dan Tenaga Sarawak (SABATI), beliau dianugerahi Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang, yang membawa gelaran "Datuk Amar" pada 1988. Beliau adalah juga naib presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) (Pengerusi Jawatankuasa Wanita). Penubuhan Tabung Amal Kanser Laila Taib adalah satu daripada beberapa bukti tentang minatnya untuk membantu pesakit yang memerlukan dan menentukan aktiviti penyelidikan dapat dijalankan demi faedah rakyat.

*** Salam takziah buat Allahyarhamah. Marilah kita berdoa bersama-sama, moga roh beliau dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama orang yang beriman. Amin.......

Gaya Kepimpinan

Sebenarnya tiada satupun Gaya kepimpinan yang lebih baik. Terdapat tiga jenis kepimpinan yang biasa diamalkan sebagai stail pengurusan, iaitu Kepimpinan Autokratik, Demokratik, dan Laissez-faire.

Soal kepemimpinan dalam sesebuah organisasi sering diperkatakan apabila ianya menampakkan kecacatan ataupun kemajuan. Ini terbukti peranan pucuk pimpinan bagi sesebuah organisasi amat penting, kerana ia melibatkan krediabiliti pemimpin dan perlakuan aktiviti dalam organisasi. Kepemimpinan dalam sesebuah organisasi memerlukan Konsep Perkongsian Penyaluran Budaya Pengurusan secara dua hala. Ringkasnya, kepemimpinan adalah proses merancang, mengorganisasi, memimpin dan mengawal daya usaha anggota-anggota organisasi dan menggunakan sumber-sumber lain organisasi bagi mencapai matlamat-matlamat organisasi yang ditetapkan.

Apakah yang menjadikan seseorang pemimpin itu efektif?
Kebanyakan orang, apabila ditanya soalan ini, barangkali akan menjawab bahawa para pemimpin yang efektif mempunyai sifat-sifat atau kualiti tertentu yang diperlukan,contohnya, karisma, pandangan jauh, keyakinan, dan kehebatan. Apabila kita mengenangkan para pemimpin yang mengagumkan seperti Napolean, Lincoln,Washington, Roosevelt dan lain-lain lagi, kita mengaku bahawa sifat-sifat itu adalah bakat semula jadi mereka dan amat diperlukan bagi apa yang mereka lakukan .Sesungguhpun penyelidikan belum lagi dapat menghasilkan suatu sifat yang dipunyai oleh para pemimpin yang efektif, namun sesuatu yang jelas ialah bahawa para pemimpin memainkan peranan yang kritis dalam membantu organisasimencapai matlamat-matlamatnya. Sekiranya dapat dikenalpasti kualiti-kualiti yang dikaitkan dengan kepimpinan, maka keupayaan untuk memilih para pemimpin yang efektif akan bertambah. Sekiranya dapat dikenalpasti perilaku dan teknik kepimpinan yang efektif, sudah tentulah kita berupaya mempelajari dan mengajar perilaku dan teknik itu, dengan demikian meningkatkan keberkesanan peribadi dan organisasi. Faktor-faktor Keberkesanan Kepimpinan Pendekatan-pendekatan sifat dan perilaku menunjukkan bahawa kepimpinan yang efektif bergantung kepada pembolehubah, seperti kebudayaan organisasi, keadaan tugas-tugas dan aktiviti-aktiviti kerja, dan nilai serta pengalaman pemimpin. Tiada satu pun sifat itu dikira umum untuk kesemua pemimpin yang efektif, tiada satugaya dikira paling efektif dalam kesemua situasi. Faktor-faktor yang mempengaruhi keberkesanan pemimpin termasuklah keperibadian, pengalaman lalu, dan jangkaan pemimpin, jangkaan dan perilaku orang atasan, sifat, jangkaan, dan perilaku para subordinat, keperluan tugas,kebudayaan dan polisi organisasi, dan jangkaan serta perilaku rakan-rakan setaraf. Faktor-faktor ini juga mempengaruhi pemimpin kemudiannya. Proses pengaruh adalah timbal-balik antara para pemimpin dan para anggota kumpulan , mempengaruhi antara satu sama lain dan mempengaruhi juga keberkesanan organisasi secara keseluruhannya:

1.1 Keperibadian, Pengalaman Lalu, dan Jangkaan Pemimpin:-

Nilai, latar belakang dan pengalaman pemimpin akan mempengaruhi gaya pilihannya. Seseorang pemimpin yang pernah berjaya melakukan penyeliaan sedikit, menghargai keperluan-keperluan pencapaian hasrat diri para subordinatnya mungkin menggunakan gaya kepimpinan berorientasikan pekerja. Sebaliknya seseorang pemimpin yang tidak mempercayai para subordinatnya atau yang sememangnya suka menguruskan semua aktiviti kerja secara langsung mungkin menggunakan peranan yang lebih bersifat autoriti. Keperibadian atau pengalaman lalu seseorang pemimpin membantu dalam membentuk gaya kepimpinannya tidak bererti bahawa gaya itu tidak boleh diubah. Jangkaan seseorang pengurus juga merupakan satu komponen lagi. Situasi selalunya berlaku sebagaimana yang kita jangkakan (dirujuk sebagai telahan tercapai sendiri). Malah para pemimpin baru yang diberitahu bahawa para subordinat mereka adalah prestasi rendah telah bertindak dengan cara lebih berautoritatif berbanding dengan para pemimpin baru yang diberitahu bahawa para subordinat mereka adalah berprestasi tinggi. Jangkaan para pemimpin tentang gaya apakah yang akan diperlukan supaya para subordinat bekerja dengan efektif mempengaruhi gaya pilihan mereka.

1.2 Jangkaan dan Perilaku Ketua :-

Gaya kepimpinan yang dipersetujui oleh ketua amat penting dalam menentukan orientasi yang akan dipilih. Jika seorang ketua yang menyukai gaya berorientasikan tugas ("Kamu benar-benar dapat menguasai keadaan,tahniah") mungkin menyebabkan pengurus menggunakan gaya jenis berkenaan. Sekiranya ketua menyukai gaya berorientasikan pekerja ("Kamu benar-benar dapat memahami para subordinat kamu, Saya rasa ini suatu perkara penting yang sepatutnya dilakukan oleh seseorang pengurus"), menggalakkan pengurus menggunakan orientasi yang lebih bertumpukan pekerja.

1.3 Ciri-ciri dan Perilaku Subordinat :-

Para subordinat memainkan peranan yang kritis dalam mempengaruhi gaya kepimpinan pemimpin, kerana mereka yang akan dipengaruhi oleh gaya itu. Malah gerak balas para subordinat terhadap kepimpinan pemimpin menentukan bagaimana efektifnya pemimpin itu. Ciri-ciri para subordinat mempengaruhi gaya kepimpinan pemimpin dalam beberapa cara. Pertama; kemahiran dan latihan para subordinat mempengaruhi gaya pilihan pemimpin. Para subordinat yang berkebolehan tinggi biasanya kurang memerlukan pendekatan arahan. Kedua; sikap subordinat juga faktor yang berpengaruh. Sesetengah mereka mungkin lebih menyukai pemimpin yang berautoriti, manakala yang lain mungkin lebih suka diberikan tanggungjawab yang sepenuhnya bagi kerja mereka sendiri.

1.4 Keperluan Tugas :-

Keadaan tanggungjawab kerja para subordinat juga akan mempengaruhi jenis gaya kepimpinan yang digunakan oleh seseorang pemimpin.Kerja-kerja yang memerlukan arahan-arahan secara jitu, berkehendakkan gaya berorientasi tugas berbanding dengan kerja-kerja yang mana tatacara-tatacara operasinya sebahagian besarnya boleh diserahkan kepada anggotanya secara individu.

1.5 Kebudayaan dan Polisi Organisasi :-

Kebudayaan sesebuah organisasi boleh membentuk perilaku pemimpin dan jangkaan para subordinat. Polisi-polisi tertera organisasi juga mempengaruhi gaya kepimpinan seseorang pemimpin. Sebagai contoh; dalam organisasi-organisasi, iklim dan polisi-polisi menggalakkan kepertanggungjawapan secara ketat bagi perbelanjaan dan hasil, para pemimpin biasanya menyelia dan mengawal subordinat mereka dengan rapi.

1.6 Jangkaan dan Perilaku Rakan-rakan Sejawat :-

Rakan-rakan sejawat pemimpin juga merupakan kelompok rujukan yang penting. Pemimpin menjalinkan persahabatan dengan rakan-rakan sejawat mereka di dalam organisasi, dan pendapat rakan-rakan sejawat ini penting buat mereka.

Sekadar Renungan:

" Kepemimpinan yang berjiwa besar,

berbicara tentang idea, gagasan dan wawasan,

Kepemimpinan yang berjiwa sederhana, berbicara tentang pelbagai peristiwa demi peristiwa. Kepemimpinan yang berjiwa kecil, berbicara tentang orang lain dengan sejuta karenahnya.

Kepemimpinan yang berjiwa lebih kecil,
berbicara tentang dirinya sendiri.
( ........fungsi sebenar kepemimpinan adalah untuk menghasilkan lebih banyak pemimpin, bukannya lebih banyak pengikut.) - Ralph Nader-

Wednesday, April 29, 2009

Permainan Tibau

*** saya pernah berjanji untuk memaparkan gambar macamana bermain 'Tibau.
Cara bermain:
Bermula dengan seorang pemain, kemudian pemain ke 2 akan melompat ke atas pemain pertama tadi, begitulah seterus pemain ke 3, 4, 5, sehingga Tibau tak boleh berayun lagi.

Umai...

( Umai )
( Sagu )
Umai merupakan makanan tradisi kaum Melanau. Terdapat dua jenis umai iaitu 'Umai campur' dan 'umai jeb' ( Umai cecah ) .Umai diperbuat daripada ikan mentah dan dicampur dengan beberapa bahan yang segar. Ikan yang paling popular untuk dibuat umai ialah ikan 'Pirang' ( Ikan ini banyak tulang yang halus ) sesuai untuk membuat ' umai campur'. Manakala ikan parang sesuai untuk membuat 'umai jeb' ( dicecah dengan ramuan : kicap, limau kasturi, bawang telur dan cili ).
Jika anda datang ke Mukah, jangan lupa untuk menikmati makanan tradisi Kaum Melanau iaitu 'Umai'. Jika tidak merasainya, tidak lengkaplah kunjungan pengembaraan kita. Umai sungguh sedap dan amat berkhasiat kerana kualiti makanan tersebut tidak terjejas sedikitpun sebab tidak dimasak ( seakan 'sushi', makanan tradisi Jepun ), cuma bahan atau ramuannya berbeza.
Bahan-bahan untuk membuat umai:
Ikan mentah ( ikan 'Pirang' , dipotong nipis )
Bawang Telur atau bawang besar ( dihiris nipis )
Cili segar ( dihiris nipis )
Limau Kasturi ( boleh guna asam payak )
Sedikit belacan ( jika suka ) - boleh ditumbuk dengan sedikit belacan
Halia ( dihiris halus )
Sedikit garam
Sedikit perisa ( Aji no moto ) - ikut suka
Cara membuatnya:
Cara membuatnya senang je, campurkan sekali bahan-bahan di atas dalam sebuah mangkuk. Kaul dan ramas ramuan sehingga sebati kemudian rasa ( ikut cita rasa masing-masing ). Dah sebati bolehlah dihidang. Boleh dimakan bersama ulam-ulaman seperti daun salad dan sagu.
*** pasti sampai menjilat jari.....anda boleh mencuba resipi di atas.

Tuesday, April 28, 2009

Tanda Kasih ..........

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Di dalam 'mesyuarat tingkap', sering kedengaran hal berkaitan dengan kasih sayang. Ramai isteri meluahkan rasa terkilan terhadap pasangan mereka. Menurut mereka, suami tidak pandai mengungkapkan kasih sayang apatah lagi setelah bertahun-tahun melayari bahtera bersama. Suami lalai mempamerkan kasih sayang terhadap isteri. Pada mereka isteri sudah mengerti dan faham perasaan cinta yang ada. Jadi tidak perlulah diucapkan atau diluahkan lagi. Seharusnya suami lebih peka dalam hal ini. Cinta dan kasih sayang harus dipamerkan atau diluahkan. Paling tidak pun ia perlu digambarkan melalui tindakan. Apakah maknanya segunung cinta dan kasih sayang yang ada dihati tapi tidak diketahui oleh pasangan.
Sang isteri pasti akan berasa jauh hati dan rasa tidak dihargai oleh suami orang yang di sayang. Tiada lagi ucapan ' I LOve You ', begitu juga tiada ciuman atau pelukan buat isteri seperti yang selalu dilakukan di awal perkahwinan dipraktikkan.
Berikut beberapa tip mudah namun berkesan dalam menyatakan betapa kasih pada isteri;
# Hubungi isteri :
Buangkan sikap ego anda, mulakan menelefon isteri di tempat kerjanya. Cukup sekadar seminit dua untuk bertanya khabar walaupun bertemu sebelum keluar bekerja. Isteri akan merasakan bahawa suami mengambil berat perihal dirinya. Lebih elok jika turut mengungkapkan perkataan ' I Luv U ' padanya.
# Rajin membantu :
Kerja rumah isteri pastinya bertambah ringan dan boleh diselesaikan dalam masa yang cepat. Jadi apa kata suami bersikap ringan tulang membantu isteri mengurus hal di rumah. Malah menjadi suatu kelebihan apabila suami sudi memasak dan menyediakan hidangan terutamanya di hujung minggu.
# Sambut Tarikh penting :
Amat penting buat seorang isteri. Oleh itu suami harus menghormatinya. Ini kerana isteri memang cukup mengambil berat akan tarikh-tarikh penting ini. Misalnya tarik lahir atau ulang tahun perkahwinan. Jangan pandang remeh tentang soal ini. Jika suami lupa akan tarikh penting, isteri akan merajuk dan jauh hati. Bukan hadiah yang diminta, cukup sekadar berikan ucapan sebagai tanda dihargai dan diingati. Tetapi apa salahnya sesekali membuat kejutan dengan memberikannya hadiah atau mengajak makan malam berdua sahaja tanpa di temani oleh anak-anak. Pergilah 'honeymoon' sekali sekala untuk mengeratkan lagi hubungan kasih sayang.
# Sentiasa berhubung bila berjauhan
Dengan kemudahan teknologi yang serba canggih terkini pelbagai cara boleh kita lakukan untuk menghubungi isteri. Sama ada menghantar kad ucapan atau gambar melalui e-mel atau telefon bimbit. Oleh itu, apabila berjauhan pastikan anda sentiasa menghubunginya. Betapa bahagia hati seorang isteri bila suami selalu menghubungi mereka, apatah lagi disaat berjauhan, tanda kerinduan suami. Bagaimanapun boleh juga membuat kejutan dengan menghantar bunga biarpun bukan pada hari istimewanya.
# Pimpin tangan :
Tunjukkan sifat penyayang anda dengan sentiasa memimpin tangannya dengan erat ketika keluar bersama, berilah perhatian lebih sedikit pada dirinya berbanding orang lain. Kalau boleh pegang bahunya dan pastikan keselamatan dirinya terjaga di tempat awam. Layan dirinya bak permaisuri dengan bertanya apa yang dia mahu beli ataupun teringin untuk dinikmati.
# Dengar pandangannya :
Wanita mahu perhatian dan kasih sayang terutamanya dari insan yang disayangi. Oleh sebab itu sebagai suami anda harus menunjukkan sifat keprihatinan dan kasih sayang yang tidak ternilai kepada mereka. Sentiasalah mendengar pendapat atau pandangannya dan berilah pandangan bersesuaian yang tidak menyinggung hati. Dengar juga luahan atau cerita mereka, walaupun anda mengganggap ia perkara remeh-temeh. Itu sebenarnya tanda keprihatinan seorang suami.
# Bersihkan diri :
Semua isteri akan berasa senang hati bila melihat suami mereka berada dalam keadaan kemas dan bersih sentiasa. Begitu juga sebaliknya. Oleh itu jika anda mengasihi isteri pastikan anda tampil bersih dihadapannya.
Melihat keadaan anda yangb berserabut, hati isteri juga turut berserabut sebenarnya. Selain itu pastikan diri anda dalam keadaan kemas dan wangi sebelumtidur. Sebenarnya inilah juga cara untuk merangsang isteri melakukan hubungan intim.
# Tindakan spontan :
Peluk dan dakaplah isteri bila ada kesempatan. Tindakan spontan ini pasti akan membahagiakan hati isteri. Contohnya mendakap isteri dari belakang ketika isteri sedang memasak. Selain itu sekali sekala berikan kejutan pada isteri. Beri sesuatu yang diingini dan memasak hidangan kesukaan isteri, pastinya tidak akan dilupakan olehnya.
# Berikan ciuman :
Berikan ciuman dan pelukan sebelum keluar bekerja setiap pagi. Pasti akan memberi semangat untuk anda dan isteri menjalan tugasan di pejabat. Dapat menambahkan rasa kasih sayang antara suami dan isteri.
*** sesekali apa salahnya mun laki kita menyidai baju dan melipat baju...rindokkan....

Tingkatkan Konsentrasi Di tempat kerja

Konsentrasi adalah penumpuan terhadap sesuatu perkara dalam situasi tertentu. Oleh kerana tidak dapat membiasakan diri untuk fokus dalam satu perkara, ia akan menyebabkan kesulitan untuk memberi tumpuan. Faktornya pula boleh disebabkan oleh diri sendiri ataupun faktor luaran.
Kesukaran untuk memberi tumpuan merupakan masalah yang sering kali dihadapi oleh ramai pekerja. Hanya disebabkan kurang konsentrasi, tugas yang boleh disiapkan dalam tempoh waktu yang singkat terpaksa diselesaikan dalam beberapa jam atau mungkin memakan hari. Daya konsentrasi ketika bekerja dapat ditingkatkan. Paling penting, mempunyai semangat dan mahu berusaha untuk menyiapkan kerja.
Memberi tumpuan yang sepenuhnya tentu akan memberi hasil yang lebih baik dari segi kualiti dan kepantasan anda bekerja. Hasilnya, jumlah kerja yang berjaya disiapkan juga lebih banyak.
Siapkan DAHULU :
Sebelum memulakan satu tugasan ambil beberapa langkah sebagai persiapan agar konsentrasi kerja anda tidak terganggu;
1. Susun dan tentukan 'deadline' semua tugas.
2. Buat senarai berdasarkan keutamaan, baik dari segi kepentingan dan juga masa yang diperuntukkan untuk menyiapkan tugasan.
3. Kenali diri anda ketika bekerja. Jika anda lebih bersemangat bekerja pada waktu pagi, sebaiknya datang ke pejabat lebih awal.
4. Kesihatan anda juga perlu diberi perhatian. Pastikan anda mengambil sarapan terlebih dahulu sebelum melakukan kerja.
5. Atur tempat kerja anda. Bersihakan meja dan elakkan daripada berselerak. meja yang kemas akan menjadikan anda lebih bersemangat melakukan tugas.
6. Selesaikan tugas-tugas luar pejabat seperti membayar bil dan membeli hadiah di luar waktu pejabat.
* semoga tip di atas boleh dijadikan panduan untuk meningkatkan konsentrasi agar kita dapat menjalankan tugas kita dengan penuh tanggungjawab.

Monday, April 27, 2009

Panorama Pesta Kaul

** Di antara Panorama : Aktiviti, permainan, pameran, gerai dan makanan yang
dipamerkan semasa Pesta Kaul 2009 yang telah berlangsung dari 22 hingga 26 April yang lepas.
( Bagi yang tak berkesempatan untuk merasai suasana Pesta Kaul boleh tengok
gambar-gambar di atas )

Tip Pengurusan kelas

Kini sekolah dilanda masalah disiplin, buli, gangsterisme, merokok dan lain-lain. Bebanan mencari jalan menghuraikan semua masalah itu sekali lagi diletakkan pada bahu guru. Di samping itu, berdepan dengan masalah pelajar yang mempunyai pelbagai karenah dan mempunyai pelbagai aras kecerdasan sehingga mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik kelas ( 40 lebih orang pelajar dalam satu kelas ).
Mengurus dan mengawal tingkah laku pelajar yang ramai di bilik darjah adalah sukar dalam apa-apa jua situasi. Guru tentu akan berasa sangat kecewa dan sedih apabila sesetengah pelajar tidak berminat untuk belajar dan ponteng daripada menghadiri pangajaran di bilik darjah. Berikut di antara tip-tip yang boleh para guru cuba untuk mengurus dan mengekang tingkah laku pelajar, seterusnya untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif dan tenang di dalam bilik darjah:-
*** Tunggu sehingga senyap
*** Sentiasa tenang
*** Elakkan konflik
*** Tahu bila perlu fleksible
*** Menetapkan sempadan
*** Tetapkan matlamat pelajar
*** Alihkan masalah
*** Gunakan akal bukan emosi apabila bertindak
*** Renungan tajam
*** Kawal intonasi suara
*** Ulang, ulang, dan ulang
*** Kaedah pengajaran yang konsisten
*** Mengurus suasana bilik darjah
*** Kawalan tingkah laku
*** Mulakan dengan "saya"
*** Teguran efektif
*** Tingkah laku yang positif.
Jika para guru dapat mencapai suasana yang tenang dan seronok dalam pengajaran, pasti akan mendapat respons tingkah laku yang positif daripada pelajar-pelajar. Selamat mencuba .... semoga berjaya Yakin boleh .... ( saya pernah kongsi maklumat ini dalam blog seorang teman ......amat penting untuk guru novis)

Electric dan kalimantang

Orang madah, orang Melayu ngambik perkataan ELEKTRIK dari perkataan Inggeris yang juak ELECTRIC. Tetapi yang sebenarnya, ELECTRIC ya diambik dari perkataan Melayu campur Inggeris. Ceritanya… . macam tok. Pada suatu masa dolok selepas setahun Thomas Edison mencipta lampu, saintis sik pernah terfikir nak mberik nama kuasa yang menyebabkan lampu idup. Jadi, entah macam nie semasa lampu mula-mula hendak diperkenalkan di Tanah Melayu, ada seorang Melayu yang bernama Kulup Kalimantang mati-mati sik percayak ngan hasil ciptaan Thomas Edison ya. Semasa demonstrasi diadakan oleh Thomas di Tanah Melayu untuk memperkenalkan lampu ya, Kulup Kalimantang pun berkata dengan kuat.“Ele..trick aje tu… ele..trick aje… ele trick!”. ( Maksudnya tipulah)Thomas Edison fikir Kulup berkata macam ya kerana mengatakan lampu menyala disebabkan oleh kuasa “ele..trick” . Jadi digunakanlah perkataan “ELE..TRICK” yang dieja ELECTRIC mengikut ejaan orang putih. Sebagai mengingati jasa Kulup Kalimantang menamakan kuasa ELECTRIC ya tek, maka diciptalah sejenis lampu panjang yang dinamakan lampu kalimantang.

Ujian.........

Pada hakikatnya kehidupan manusia di dunia adalah cabaran dasn ujian, maknanya kehidupan manusia di dunia ini memang untuk menghadapi ujian dan cabaran. Tiada manusia yang tidak diuji dengan tekanan sama ada di rumah, pejabat atau keluarga, tekanan tetap ada malah tekanan dianggap sebagai lumrah dalam perjuangan dan hidup manusia.
Ujian dan cabaran ini membezakan siapakah di antara mereka yang mempunyai amalan baik dan buruk. Firman Allah dalam surah Al-Mulk, ayat 2 bermaksud: " Dialah yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalannya dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun". Ujian Allah tidak terhad kepada manusia biasa malah para Nabi dan Rasul pun menerima ujian, malah mereka diuji dengan ujian yang lebih hebat daripada manusia biasa. Nabi Ibrahim umpamanya, diuji dengan dicampak ke dalam api, tetapi Nabi Ibrahim tetap yakin serta berserah diri kepada Allah, api yang panas itu Allah jadikan sejuk dan sejahtera untuknya.
Dalam kehidupan masa kin, kita diuji dengan kepelbagaian fahaman dalam agama, harta, pangkat, kuasa, keturunan dan sebagainya. Kini kita mengenalinya sebagai sifat individualistik, materialistik, fahaman liberal, pragmatik dan sebagainya. Dalam kehidupan nyata, ujian yang kita hadapi berbentuk pekerjaan, pangkat, kuasa, kedudukan, gelaran, harta benda, anak pinak, rumah, kereta, makanan, hiburan, keseronokan dan lain-lain. Semuanya adalah ujian. Jika kita berjaya menghadapi ujian ini, segalanya akan menjadi nikmat dan rahmat tetapi sebaliknya jika kita gagal, ia akan menjadi bencana dan bala.
Ingatlah bahawa ujian selalu seiring dengan perjuangan. Oleh itu, ia tetap memerlukan bekalan iman, sabar dan istiqamah. Ujian dijadikan Allah untuk mengukur tahap keimanan seseorang itu kepada Allah dan seluruh ajaranNya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan atau hanya setakat di mulut sahaja. Justeru itu, kita dilarang mengeluh kerana mengeluh akan melemahkan semangat dan menerbitkan keciwa serta putus asa. Firman Allah bermaksud : " Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan ". { surah al-Insyirah:6}.
Yang penting, sering sematkan dalam hati, tanpa masalah atau ujian, tidak akan lahir kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kejayaan dalam hidup. Justeru itu, dekati diri kepada Allah dan mohonlah kebaikan daripadaNya.

Friday, April 24, 2009

RENUNGAN : Hawa Nafsu

Hawa nafsu merujuk pada sesuatu yang diingin oleh jiwa iaitu kecenderungan kepada syahwat dan maksiat. Disebabkan itu, hawa nafsu disebutkan dalam Al-Quran diikuti dengan kalimah celaan.
Apabila hati dikuasai hawa nafsu, akan membawa seseorang pada kebatilan, meninggalkan kebenaran dan memusuhi pendukungnya. Orang yang tunduk kepada hawa nafsu mudah terheret ke dalam kancah perselisihan.
Firman Allah bermaksud : " Dan apabila datang kepada mereka Al-Kitab ( Al-Quran ) dari sisi Allah yang membenarkan apa yang ada pada mereka sedang mereka sebleum ini biasa memohon kedatangan Nabi untuk mendapatkan kemenangan ke atas orang-orang kafir, maka apabila datang kepada mereka apa yang telah mereka ketahui, mereka mengingkarinya. Maka laknat Allahlah ke atas orang yang ingkar itu". ( Surah al-Baqarah : 89 )
Hawa nafsu gemarkan kemasyuran dan mahu mengatasi orang lain. Kata az-Zuhri, " Kami tidak melihat sifat zuhud dalam sesuatu perkara lebih sedikit daripada zuhud pada pangkat. Kami melihat seorang lelaki zuhud pada makanan, minuman dan harta, tetapi apabila ditawarkan pangkat, dia bersungguh-sungguh padanya dan melampaui batas.
( Mohonlah kepadaNya agar kita dijauhi daripada gangguan syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan kita. Dan bersihlah hati kita dari pengaruh hawa nafsu dengan zikrullah )

C..I..N..T..A..........

(....mbiak kecilpun tauk lambang tuk........)

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Semua orang pasti pernah merasakan CINTA. Ada yang bercinta sebelum berkahwin, ada pula yang bercinta selepas kahwin, malah ada yang kahwin tapi tak pernah bercinta ( padu urg tualah ya). Namun cinta tidak boleh dipaksa. Ia kan datang dengan sendiri. Memang benar tidak semua yang kita impikan akan kita capai dan terlaksana. Semuanya ketentuan Tuhan. Hakikatnya, jodoh dan maut itukan ditangan Tuhan. Kita kena redha. Walau bagaimanapun dalam soal jodoh ni, kita kena berusaha juga untuk mencari yang terbaik untuk kita. Bukan hanya berserah pada nasib dan takdir.

Buat teman yang sedang jatuh cinta.....semoga sejahtera kerana cinta itu indah. Buat teman yang sedang terluka kerana cinta....hidup itu bagaikan roda yang terus berputar, satu saat akan berada di bawah dan hidup terasa begitu sulit, tetapi keadaan itu tidak untuk selamanya. Bersabarlah dan berdoalah kerana cinta yang lain akan datang dan menghampiri anda.

Buat teman yang tidak percaya akan cinta....buka hati jangan menutup mata akan keindahannya yang ada di dunia maka cinta membuat hidupmu menjadi bahagia. Buat teman yang mendambakan cinta....bersabarlah....kerana cinta yang indah tidak terjadi dalam sekelip mata. Tuhan sedang mempersiapkan segala yang terbaik bagi anda.

Buat teman yang mempermainkan cinta...sesuatu yang begitu murni dan tulus bukanlah untuk dipermainkan. Cinta bukan suatu kehampaan. Berhentilah mempermainkan cinta dan mulai merasakan kebahagiaan yang seutuhnya. ( Mun cinta diberi dan diterima dengan setulus hati dan sepenuh keikhlasan pasti kita akan merasa betapa indahnya cinta, macam dunia tuk kita yang punya....)

( Saya pernah kongsi pandangan ini dalam blog seorang teman...)

### Bagaimana pendapat anda tentang C..I..N..T..A ? Boleh kongsi......

Selamat untuk semua......

Kisah seorang perompak........

Seorang penjenayah tua yang menyorok di pinggir kampung sedang sakit tenat. Dia sedang berbaring di atas katil usangnya. Tiba-tiba....kedengaran satu ketukan kuat di pintu rumahnya. "Siapa di luar tu?", jerit orang tua itu dengan ketakutan.
"Saya Malaikat Maut"
"Oh syukurlah", saya ingat anggota polis yang datang, "Silalah masuk"

Thursday, April 23, 2009

Ikhlaskah kita dalam bekerja?....

Mencari rezaki adalah satu tuntutan hidup walau di mana sahaja kita bekerja atau apa sahaja pekerjaan kita, yang mana kita dahulukan : gaji atau keseronokan?. Ikhlaskah kita dalam melakukan kerja demi memenuhi tuntutan dan kos hidup yang semakin mendesak.
Dalam setiap bidang pekerjaan ada pro dan kontranya. Dalam setiap organisasi ada politiknya dan pada setiap rakan sekerja ada baik dan buruknya. Terpulang pada kita bekerja dengan hati yang ikhlas dan jujur serta memandang ia sebagai ibadah, kita akan merasa keseronokan yang datang bersamanya.
Apabila menyentuh soal gaji, tiada siapa boleh menyangkal kepentingannya. Lebih-lebih lagi dalam dunia materialistik hari ini yang segalanya memerlukan ringgit dan sen. Namun, jika hanya gaji yang dipentingkan dan dikejarkan, kita sendiri yang akan keciwa akhirnya. Kita harus tanamkan di dalam diri jika bekerja dengan ikhlas dan jujur, ganjarannya tetap ada buat kita.
Dalam kita sibuk bekerja dan mengejar rutin harian, jangan pula kita lupa akan kesihatan dan kesejahteraan dalam hidup. Buangkan rasa marah, kerana ia hanya memudaratkan kesihatan. Tanamkan sikap positif dalam menghadapi masalah. Lakukan senaman untuk melegakan perasaan. Jaga pemakanan untuk tubuh sihat dari dalaman. Berehatlah secukupnya, agar tenaga yang dikeluarkan dapat diganti semula. Pentingkan kebersihan diri supaya tubuh segar sentiasa sepanjang masa. Ketawalah sepuasnya agar hidup lebih ceria.
Walau apapun dugaan semasa bekerja atau cabaran di dalam kehidupan peribadi, jangan sekali-kali kita lupakan bahawa masalah boleh di atasi asal sahaja kita tabah dan redha menghadapinya.
(Allah tidak akan menguji kita dengan perkara-perkara yang tidak mampu kita hadapi, jadi redhalah)

TIBAU

Inilah rupanya ' TIBAU ' salah satu permainan tradisional kaum Melanau ( Malay no ). Cara bermain nanti le ye....tungguuu....... ( belum ada gambar lagi nanti saya 'tangkap gambar' untuk tatapan anda macamana bermain tibau ) Kalau nak cuba mailah pada 25 April nanti.

KENALI LELAKI :

Ramai wanita tidak tahu sepenuhnya tentang lelaki. Oleh itu, sering melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh lelaki sehingga menyebabkan kesedihan berlaku ( tarik muka 10 le 2). Bukan hanya wanita yang ingin tahu tentang lelaki, malah yang lelaki juga ingin tahu tentang lelaki bukan.... Berikut di antara jenis-jenis lelaki yang pasti kita ingin tahu( Ya ke?) baca jelah ya di antaranya:-

* Jenis madu sepah dibuang:

Lelaki kategori ini adalah seorang lelaki yang mementingkan kebersihan, kerana dia tidak boleh hidup dalam keadaan yang bersepah-sepah. Oleh itu, bila madu dah habis....dia akan membuat pembersihan dan benda-benda yang bersepah akan dibuang.

* Jenis bagi betis nak paha:

Lelaki jenis ini mempunyai selera makan yang tinggi, mungkin juga seorang yang buruk lantak. Jadi, sesiapa yang mempunyai pasangan seperti ini, hendaklah sentiasa memastikan ada lebihan makanan setiap kali menjamu selera.

* Jenis manis mulut di bibir :

Lelaki jenis ini pula adalah seorang yang hisap rokok secara curi-curi, atau lebih tepat lagi hisap rokok tanpa pengetahuan pasangannya. Lelaki ini sentiasa menutup ' bau ' rokok dengan makan gula-gula. Disebabkan itu mulut serta bibir dia manis.

* Jenis lembut gigi dari lidah :

Lelaki jenis ini seorang yang suka menggosok gigi sampai giginya kelihatan putih bersinar-sinar. Harus diingat, giginya yang putih berseri itu adalah senjata utama yang akan digunakan untuk meng'ayat' perempuan kerana hanya dengan senyuman yang membariskan giginya yang putih itu dapat melembutkan hati perempuan tanpa menggunakan kata-kata.

* Jenis tikam dari belakang :

Lelaki jenis tikam dari belakang? Ada ke lelaki kategori jenis atau macam ni ? Anda rasa ? Saya tinggalkan kepada anda untuk memikirnya . Jadi Lu fikirlah sendiri ye....

Wednesday, April 22, 2009

PESTA KAUL MUKAH 2009...

(Anyaman yang dinamakan " Serahang ", salah satu peralatan yang perlu untuk pemujaan pantai pada zaman dulu )
( salah satu gerai yang dibina oleh kampung yang menyertai pertandingan gerai tercantik)
Pesta Kaul memang sinonim dengan Bandar Mukah sejak dahulu lagi. Pesta ini akan diadakan pada 25 hingga 27 April 2009. Dulu, pesta kaul diadakan di setiap daerah yang ada majoriti kaum Melanau. Tujuannya untuk memohon kepada 'penunggu laut' agar mendapat rezeki yang banyak dari laut dan berterima kasih atas rezeki yang telah diperolehi.
Kini...mungkin disebabkan banyak perubahan yang berlaku, pesta kaul diadakan hanya pesta keramaian dan pelancongan untuk memperkenalkan Mukah kepada pelancong. Pelbagai permainan dan aktiviti yang menarik telah dirancang dan akan diadakan sempena pesta kaul ini. Pengunjung atau pelancong boleh menyaksikan dan merasa sendiri pelbagai jenis makanan tradisional Melanau, permainan dan kebudayaan kaum Melanau.
Pengunjung juga boleh merasa sendiri permainan yang memang popular ketika pesta kaul berlangsung iaitu permainan yang dinamakan "TIBAU" (seperti permaian buaian gergasi yang dimainkan oleh kanak-kanak di taman permainan). Tibau mempunyai ketinggian 30 meter hingga 40 meter dan boleh dimainkan oleh 5 hingga 10 orang untuk satu-satu permainan. Bagi pembaca yang belum pernah melihat sendiri pesta kaul ini bolehlah datang bermai-ramai ke Mukah sempena Pesta Kaul Mukah 2009 nanti.
Kak peseluk mapun Mukah ok...........

JIKA ANAK KITA..........

Saya tertarik dengan rangkap nasihat yang saya baca dalam sebuah majalah popular bertajuk " Jika Anak Kita". Jadi saya kongsikan di sini untuk tatapan dan renungan bersama. Kita maklum dalam dunia tanpa sempadan ini, terlalu banyak cabaran yang telah dan akan dihadapi oleh ibu bapa dalam membesarkan anak-anak mereka. Sebagai ibu bapa atau sesiapa pun yang dikatakan 'dewasa' perlu memberi peluang kepada setiap anak untuk dibesarkan dalam suasana yang terbaik agar anak-anak kita menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Insya Allah.. Amin.

Berikut rangkap nasihat yang boleh kita kaji, hayati dan amalkan yang elok dan elakkan yang tidak elok :-

Jika Anak Kita.......

Jika anak kita hidup dalam kesabaran, dia belajar jadi penyabar.

Jika anak hidup dalam penerimaan, dia belajar menyayangi.

Jika anak hidup dalam pujian, dia belajar menghargai.

Jika anak hidup dalam galakan, dia belajar menjadi yakin.

Jika anak hidup dalam persetujuan, dia belajar menyayangi diri.

Jika anak hidup dalam pengiktirafan, dia belajar membina matlamat hidup.

Jika anak hidup dengan ilmu, dia belajar memahami persekitarannya.

Jika anak hidup dengan kemahiran, dia belajar berdikari.

Jika anak hidup dengan kata-kata yang baik, dia belajar berfikir dengan baik.

Jika anak hidup dengan adab, dia belajar bersopan santun.

Jika anak hidup dengan kebersihan, dia belajar membina maruah dirinya.

Jika anak hidup dengan kesihatan, dia belajar menbina jati dirinya.

Jika anak hidup dengan kebersihan, dia belajar peka dengan bahaya penyakit.

Jika anak hidup dengan Al-Quran, dia belajar mengenali Tuhan.

Jika anak hidup dengan doa, dia belajar apa erti hidup sebenarnya.

Jika anak hidup dengan kejayaan, dia belajar apa erti kebenaran.

Jika anak hidup dengan keselamatan, dia yakin pada diri dan orang yang lain.

Jika anak hidup dalam kemesraan, dia belajar dunia ini tempat memberangsangkan.

Jika anak faham Al-Quran dan doa, dia faham apa itu akhirat.

TETAPI........

Tetapi jika anak hidup dalam kritikan, dia belajar menyalahkan orang lain.

Jika anak hidup dalam kekerasan, dia belajar melawan.

Jika anak hidup dalam kata-kata sumpahan, dia belajar jadi pengecut.

Jika anak hidup dalam iri hati, dia akan belajar salahkan orang lain.

Jika anak hidup dalam menderita, dia akan belajar senang putus asa.

Jika anak hidup dengan hukuman, dia akan belajar rasa benci dan dendam.

Jika anak hidup dengan penghinaan, dia akan membina maruah diri yang rendah.

Jika anak hidup dengan sumpahan, dia akan mengikut sumpahan itu.

Jika anak hidup dengan airmata, dia akan belajar menyeksa orang lain.

* Jadi mulakan hari anada dengan senyuman. Akhirkan hari dengan senyuman. Mulakan hari dengan doa. Akhirkan hari dengan doa.

* 4 perkara yang boleh kita lakukan apabila membuka mulut, iaitu:-

@ Lafazkan rasa kasih sayang

@ Tingkatkan silaturrahim

@ Sampaikan ilmu baru

@ Dan lafazkan kesyukuran

***Sekadar renungan..............

5 Langkah Mendapat Tidur Berkualiti

Badan kita juga perlu rehat untuk mengembalikan tenaga yang hilang setelah sepanjang hari bekerja. Jika badan kita letih, kita tidak akan mampu untuk berfikir dengan baik dan konsentrasi kita lemah. Pakar mengatakan bahawa tidur yang lena boleh diperolehi jika hanya seseorang individu hanya memperbaiki sebahagian perilaku. Tip berikut perlu dilakukan secara konsisten selam enam minggu untuk meningkatkan kualiti tidur:- > Tidur secara rutin: Cubalah tidur dan bangun pada waktu yang sama pada setiap hari. Ini bermakna, anda tidak boleh bangun lewat walaupun pada hari cuti / hujung minggu. Jika anda sukar tidur awal, jangan paksa diri. Cuba lakukan aktiviti yang tenang seperti mendengar muzik atau membaca. Apabila terasa mengantuk, barulah masuk ke bilik tidur. > Berpakaian selesa untuk tidur: Kenakan baju tidur yang selesa. Ini kerana suhu badan akan menurun ketika mula tidur, tetapi akan kembali meningkat ditengah malam dan kembali menurun menjelang masa bangun tidur. Oleh itu, pilihlah baju yang sesuai. > Tukar bantal: Jika bantal yang digunakan tidak selesa, pastikan anda menukar bantal yang baru. > Lakukan peregangan dua jam sebelum tidur: Senaman regangan membantu untuk merehatkan otot dan sendi. Tubuh badan yang santai, akan berehat secara optimum pada malam hari. > Hindari minum berkafein sebelum tidur: Kafein berfungsi merangsang otak. Oleh itu, ia akan menyukarkan anda untuk melelapkan mata. Sebaiknya, elakkan pengambilan minuman berkafein dalam tempoh 4 - 6 jam sebelum tidur. Tidur Malam 8 Jam: Istirehat yang cukup cenderung membuat tubuh lebih bersiap sedia menghadapi pelbagai tekanan. Keadaan ini disebabkan ketika tidur tubuh membentuk sel-sel baru menghasilkan hormon dalam kadar seimbang sehingga fungsi tubuh kembali segar dan cergas ketika memulakan kegiatan keesokan paginya. Selamat mencuba.....z...z....z... ( sumber majalah Nur )

Tuesday, April 21, 2009

10 cara raih KEJAYAAN.

Setiap insan mempunyai tujuan dan impian dalam hidup. Namun tidak semua tujuan dan impian berjaya dikecapi tanpa didukung faktor. Berikut adalah 10 cara yang boleh diikuti untuk meraih kejayaan:-
# Harus berpijak di bumi nyata :
Jika harapan terlalu tinggi hingga sukar dicapai, harus berfikir semula. Tetapkan sasaran tetapi biar lebih realistik.
# Bersabar :
Kita harus berusaha walaupun ia memakan masa yang lama. Jangan samakan setiap keinginan 'mee segera". Jangan terburu-buru menyerah jika impian masih belum tercapai. Mungkin sampai waktunya. Oleh itu haruslah meneruskan usaha agar tercapai segala impian.
# Tekad :
Dalam usaha kita mencapai impian umpama bermain saham. Semakin besar taruhan, semakin besar kemungkinan untuk meraih keuntungan. Oleh itu, kita harus menjadi seorang yang nekad atau positif. Sekiranya kita yakin dengan impian kita, teruskan dan pastikan kita matang dengan setiap keputusan yang dibuat.
# Keutamaan :
Kita mempunyai segudang harapan, namun tidak semuanya dapat kita capai. Oleh itu, susun semua impian mengikut keutamaan dan berusaha untuk mencapainya.
# Kejar Deadline :
Tetapkan jangka masa untuk mencapai sasaran hingga ianya tercapai. Lakukan dengan penuh motivasi.
# Sokongan :
Dapatkan sokongan daripada orang kita sayang atau mereka yang dekat dengan kita. Sokongan dan dorongan daripada mereka pastikan menyuntik semangat untuk kita lebih berusaha dan lebih bermotivasi.
# Hubungan:
Wujudkan hubungan yang mesra dengan rakan sekerja. Tanamkan sikap bekerjasama dalam pasukan. Semakin ramai rakan, semakin banyak pintu bantuan akan terbuka ( mungkin dari segi idea ).
# Fokus :
Fokus dalam usaha untuk meraih kejayaan amat penting. Fokus dengan tujuan, walaupun berhadapan dengan pelbagai masalah atau kesulitan. Fikirkan kebaikannya sahaja.
# Tetap bersemangat:
Suntik dan nyalakan semangat anda agar sentiasa membara dan teruskan usaha sehingga berjaya mencapai tujuan dan impian.
# Tawakkal :
Bertawakkal dan berdoalah memohon kepadaNya. Setiap usaha yang dilakukan dengan sepenuh hati perlu diiringi doa seterusnya bertawakkal agar usaha akan membuahkan hasil.
Kita perlu ikhlas dalam setiap tindakan kita dan lakukan dengan bersungguh-sungguh, pasti kita akan mencapai tujuan dan impian kita. Nilai sesebuah tindakan adalah kita melakukan kesilapan, kesilapan menunjukkan kepada kita apa yang kita perlu pelajari.
( Life is 10 % what you make it and 90 % how you take it - Irwing Berlin - )

Hati.......

Kita seringkali mendengar nasihat berikut daripada orang yang menyayangi kita " Ikut hati mati, ikut rasa binasa". Ini menunjukkan hati mempunyai pengaruh yang amat besar dalam hidup kita. Walaupun tampak kecil tapi ia umpama raja atau pemimpin yang mengatur rakyatnya sehingga mampu menguasai fikiran dan tindakan kita. Hati diibaratkan sebagai tuan, dan jasad adalah hambanya. Hati walaupun kecil adalah asas yang mengatur dan menggerakkan semua kegiatan. Seandainya hati baik, maka akan baiklah kelakuan seseorang itu. Sebaliknya, jika hati buruk, maka buruklah peribadi seseorang itu. Daripada Abu Hurairah katanya, Rasullah bersabda yang bermaksud:- "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan hartamu, tetapi Allah melihat kepada hati dan amalmu." ( Riwayat Muslim ) Hati menurut ilmu perubatan adalah darah hitam yang beku, mempunyai bentuk tersendiri yang letaknya di sebelah kiri dada. Imam Al-Ghazali mengatakan hati menurut pandangan ilmu tasawuf adalah unsur halus yang bersifat metafizika yang berada dalam bentuk hati yang bersifat jasmani. Katanya : ' Saya hairan dengan manusia yang sangat mengutamakan kebersihan dan keindahan tubuh, sedangkan hatinya tidak mereka bersihkan daripada kotoran batin dan maksiat, padahal Allah hanya memandang hati mereka seperti firmanNya ( dalam surah Asy-Shams, ayat 7 hingga 10 ). "Hati adalah nilaian Allah yang paling utama dalam setiap amalan yang kita lakukan"

CORETAN SULUNG........

Alhamdulillah...tercapat hasrat saya untuk mewujudkan blog sendiri. Bukan apa, jeles tengok orang lain ada blog. Ini merupakan coretan sulung saya. Sebenarnya sebelum ini saya memang bercita-cita untuk mempunyai blog sendiri. Di samping dapat berkongsi idea, maklumat dan info, dapat memotivasikan diri saya untuk lebih rajin untuk mencari dan menambahkan ilmu di dada yang sememangnya amat cetek. Dengan kata lain memotivasikan saya untuk lebih rajin membaca. Hanya dengan membaca sahaja kita dapat menambahkan ilmu dan pengetahuan. Pengetahuan adalah penawar kepada segala ketakutan. Percaya dan yakinlah, kita berfikir, kerana kita mempunyai kuasa, kita mempunyai kebijaksanaan. Yang penting jangan malu untuk meluahkan apa yang kita tidak malu untuk fikirkan. Malah punca setiap tindakan ialah fikiran..... ( Sekadar renungan )