Wednesday, February 24, 2010

Memang Allah sengaja...


Madah di bawah menyentuh hati saya, jadi saya kongsi bersama anda. Fahamilah;

* Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita dapat menjadi penilai yang baik.

* Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita sedar bahawa kita hanyalah makhluk yang sentiasa mengharapkan pertolongan ALLAH.

* Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita dapat KASIH SAYANG YANG TERBAIK,KHAS UNTUK DIRI KITA.

* Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita sedar bahawa ALLAH MAHA PEMURAH & PENYAYANG kerana mengingatkan kita bahawa dia bukanlah pilihan yang hebat untuk kita dan kehidupan kita pada masa depan…

* Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita dapat mengutip pengalaman yang tak semua orang berpeluang untuk mengalaminya.

* Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita jadi MANUSIA YANG HEBAT JIWANYA.

* Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita lebih faham bahawa CINTA YANG TERBAIK HANYA ADA BERSAMA ALLAH.

* Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita LEBIH MENGENALI KEHIDUPAN YANG TAK SELAMANYA KEKAL.

Wahai sahabat yang kecewa, menderita dan sengsara kerana cinta, fahamilah
bahawa kehidupan kita makin sampai ke penghujungnya. Hari esok pun kita
sendiri tak pasti samada menjadi milik kita. Gapailah keredhaan ALLAH
dengan melaksanakan suruhan-NYA, dan meninggalkan laranganNYA. . PERCAYALAH sesungguhnya ALLAH malu untuk menolak permintaan hamba-NYA yang menadah tangan meminta dengan penuh pengharapan HANYA kepada-NYA.. …

Friday, February 19, 2010

Siapa Lebih Jujur...?


Jujur merupakan satu nilai yang baik dalam diri seseorang individu. Malah digalakkan buat manusia untuk bersikap jujur dalam hidup mereka. Namun begitu, tidak semua insan di dunia ini jujur sepenuhnya. Siapa lebih jujur, lelaki atau perempuan? Berikut beberapa pendapat daripada 'teman-teman' berkenaan komen jika dibanding antara wanita dan lelaki, siapakah yang lebih jujur.

Pendapat pertama, wanita lebih jujur jika dibandingkan dengan lelaki. Ini kerana kadangkala sesetengah lelaki itu melakukan banyak benda yang tidak elok dalam kehidupannya. Walaupun begitu, sikap tidak jujur ini bukan menandakan seseorang lelaki itu jahat. Kadangkala keadaan yang memaksa mereka melakukan perkara yang tidak jujur. Jika mereka rasa tertekan, lagi mudahlah mereka untuk tidak jujur. namun begitu, sikap ini tidak berlanjutan dalam hidup seorang lelaki itu tetapi tidak dinafikan ia sentiasa ada.

Pendapat ke-2, Jika diberi peratusannya, wanita lebih jujur daripada lelaki kerana orang lelaki suka sembunyikan perasaan mereka. Malah tidak bercakap benar itu adalah perkara biasa. Secara teorinya, sikap ini mungkin timbul daripada persekitaran ketika lelaki itu membesar. Selalunya sikap tidak jujur lelaki ini akan hilang sebaik sahaja dia balik daripada menunaikan haji di Mekah. Pada ketika ini, si lelaki akan mula untuk cuba bercakap benar. Jika pada wanita pula, ada juga yang tidak jujur tetapi ia jarang berlaku dan susah bagi wanita itu untuk tidak jujur. Segala-galanya bergantung pada niat. Jika dari mula seseorang itu sudah berniat untuk tidak jujur, maka sampai bila-bila pun dia tidak akan jujur.

Pendapat ke-3 pula, Wanita lebih jujur kerana lelaki memang banyak akal. Memang fitrah seorang lelaki begitu. Lagi pun lelaki itu sendiri lebih berani dan banyak akal jika melibatkan perkara-perkara yang tidak elok jika dibandingkan daripada wanita yang lebih pemalu sifatnya. Seorang lelaki itu akan kekal dengan sikap tidak jujurnya selagi tidak kesna kesannya terhadap diri sendiri. Contohnya lelaki tidak jujur adalah jika dia sudah berkeluarga, dia pandai putar belit. Kadangkala dia ada aktiviti luar bersama kawan-kawan tetapi dia kata pada isterinya dia ada kerja lebih masa. Memang tidak elok tetapi itulah sikap sesetengah lelaki.

Demikianlah di antara pendapat oleh 'teman-teman' lelaki saya. Pada saya lelaki dan wanita banyak persamaannya. Semuanya terpulang kepada individu itu sendiri sama ada nak jujur atau tidak. Kita tidak boleh kategorikan siapa yang lebih jujur. Kita perlu juga tengok individu itu sendiri tidak kiralah lelaki mahupun wanita. Jujur atau tidak seseorang itu, kena ambil masa untuk mengenali diri seseorang itu terlebih dahulu. Kalau seseorang itu tidak jujur, kebenarannya akan terbongkar juga akhirnya. Saya tinggalkan kepada anda untuk memikirkannya.

Friday, February 12, 2010

Sukan Tahunan SMKD 2010.

Sukan Tahunan SMKD telah berlangsung selama 3 hari. Sukan Tahunan SMKD baru saja melabuhkan tirainya sebentar tadi. Kemeriahannya masih terasa dan tahun ini nampaknya lebih meriah dan pelajar lebih bersemangat. Semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh pelajar cukup tinggi. Guru di SMKD cukup aktif dan punya komitmen yang begitu tinggi. Tahniah cikgu dan teruskan usaha kita semua.  Tak caya, tengok le...

 
  
 
 

Macam-macam ada....gadis 'Track', Koboi, ala model pun ada. Juru acara tak payah nak cakap, hebat.....diimport khas dari "Oya" dan "Semenanjung". Jangan mare ye........
Terima kasih cikgu, di atas kerjasama anda semua. Tidak lupa, jutaan terima kasih  kepada semua pelajar SMKD. Namun, jangan lupa untuk mengulangkaji pelajaran masa cuti ini, kerana seminggu selepas cuti Tahun Baru Cina ini kita ada peperiksaan 1/2010. 

' Gong Xi Fa Chai ' dan ' Selamat Bercuti '

Renungan.


 " Ilmu yang tak diamalkan umpama pokok yang tidak berbuah "

Thursday, February 11, 2010

Sikap TER.....



Sikap ‘terlalu’  ini sangat berbahaya dalam perhubungan sekiranya tidak dikawal. Ia mungkin dapat  menjejaskan hubungan yang harmonis atau menjadi penyebab pertengkaran yang berulang pada sesebuah hubungan. Oleh itu lebih baik kita menyelidik diri sekiranya kita menghadapi gejala ‘terlalu’ dalam hubungan.  Di antara sikap ‘terlalu’ yang sering dilakukan oleh setiap pasangan:
Terlalu Manja :  Sifat manja wanita sering dikaitkan sebagai suatu daya tarikan tersendiri. Banyak lelaki yang menyukai kemanjaan kekasihnya, kerana ia dapat membangkitkan sifat melindunginya. Namun jangan manja berlebihan. Wanita yang terlalu manja seumpama anak kecil yang mengada-ngada. Paling teruk karenah wanita yang terlalu manja kelihatan buruk di depan umum. Pasti akan memalukan teman lelakinya.
Terlalu Cerewet :  Ada sebahagian wanita kurang menyedari, betapa buruknya wanita yang terlalu cerewet.  Jika seorang ibu cerewet kepada anaknya yang masih kecil mungkin masih dapat dimaafkan. Namun cerewet kepada kekasih amat menyesakkan, meskipun dengan alasan ‘kerana aku sayang padamu’.
Terlalu Tertutup :  Demikian pula dengan sikap terlalu tertutup, hal ini akan menghambat komunikasi. Padahal komunikasi sangat penting bagi menjaga keharmonian setiap hubungan.  Baik lelaki mahupun wanita ingin mengetahui pengalaman, perasaan dan keinginan pasangannya.
Terlalu Sensitif  :  Wanita yang terlalu perasa atau sensitif akan membuat kekasihnya merasa tidak bebas untuk mengungkapkan perasaannya, kerana takut melukai hatinya. Padahal dalam hubungan cinta yang sihat kedua belah pihak seharusnya saling mengungkapkan perasaannya dengan bebas. Kadangkala gurauan juga dapat mengguris perasaan wanita yang terlalu sensitif sehingga pasangannya tiada mood untuk berlawak jenaka bagi menceriakan suasana.
Terlalu Memperlekeh  :  Lelaki tidak menyukai wanita yang tidak menghargainya, apa lagi memperlekehkannya. Wanita perlu bersikap lebih bijak untuk tidak membuat lelaki merasa direndahkan baik oleh sikap mahupun ucapan yang dihamburkan. Bila anda hendak memperbaiki kekasih anda yang terlalu banyak kelemahannya, anda perlulah mendorongnya untuk berubah sedikit demi sedikit dengan cara yang sewajarnya iaitu tidak memperlekehkannya.
Terlalu Menyanjung  :  Kebiasaan memuji dan saling menghargai memang perlu. Selain untuk merapatkan hubungan, ia juga penting untuk meningkatkan rasa percaya diri kekasih anda. Tetapi kalau anda terlalu sering menyogoknya dengan pujian dan sanjungan, anda tidak saja merosak erti sebenar pujian, tetapi juga membuat si dia merasa bosan. Dia juga menganggap anda tidak ikhlas.
Terlalu Menuntut  :  Meskipun lelaki perlu dipacu semangatnya, namun terlalu menuntut bukanlah cara yang baik. Lelaki juga ada had kesabarannya dalam melayan karenah pasangannya yang terlalu menuntut itu dan ini. Lama-kelamaan dia akan jadi bosan dan tidak lagi mahu menurut kehendak pasangannya.
Terlalu Memiliki  :  Tidak ada seorang pun yang betul-betul ingin dimiliki oleh orang lain. Tentu saja dia kekasih anda, namun bukan milik peribadi anda. Jadi biarkan dia juga dimiliki oleh dirinya sendiri, oleh teman-temannya, oleh keluarganya dan oleh orang lain.

Saturday, February 6, 2010

Semarakkan Semangat Kejiranan.



 

 
  
 Kalau nak sentuh soal jiran tetangga, sememangnya banyak perkara yang boleh disentuh; tentang jiran tetangga yang suka tabur fitnah, suka menunjuk-nunjuk, tak suka bergaul dengan orang lain, dan macam-macam lagi.  Walau bagaimanapun, selagi anda hidup di dalam masyarakat, anda tidak dapat lari daripada dikelilingi oleh manusia-manusia yang dinamakan 'jiran'.  Oleh yang demikian, suka atau tidak, ada terpaksa berdepan dengan 1001 kerenah jiran-jiran anda.

Sikap prihatin dan ambil berat adalah sesuatu yang sangat bagus untuk diamalkan di dalam masyarakat kejiranan.  Pantang ada jiran yang berada di dalam kesusahan, merekalah orang pertama yang tiba di depan pintu.  Walau bagaimanapun, harus diingat, mengambil berat bukan bermakna anda menjaga tepi kain orang!. Ada batasan di dalam perkara yang melibatkan hal-hal orang lain. Walau pun mungkin hubungan anda dan jiran sudah seperti saudara sendiri, tak bermakna anda boleh bebas untuk mengambil tahu tentang perihal mereka sekeluarga. Pendek kata, anda perlu tahu adab-adab hidup berjiran.
Anda diangga orang yang paling rapat dengan jiran tetangga. Oleh itu, tak ada gunanya anda menjadikan jiran-jiran anda sebagai musuh? Andai ada sesuatu perkara yang tidak diingini terjadi, nak atau tidak, merekalah orang pertama yang akan anda minta pertolongan. Jadi, bayangkan kalau selama ini anda berlagak sombong? Tentu jiran-jiran pun tak nak menolong anda kan?.

Sebagai jiran, anda perlu tahu akan adab dan batasan peranan seorang jiran. Jangan sampai perkara 'dalam kain' jiran pun anda nak ambil tahu. Mungkin anda ingat itu tandanya anda prihatin sedangkan sebaliknya anda hanya memburukkan perhubungan dengan jiran anda saja. Ingat, jiran-jiran punya privasi, sama seperti anda. Kalau anda tak suka orang busy body tentang anda, jadi anda pun jangan busy body pasal mereka. 

Selain itu, mungkin ramai yang terlepas pandang akan hal ini. Walau serapat mana pun hubungan anda dengan jiran, jangan asyik 24 jam tercegat di depan rumah mereka saja!. Berada sepanjang hari di rumah jiran memang perkara yang tak manis dilakukan. Jika nak berbual pun, cari saat dan waktu yang tepat.

Usah menyibuk!. Sekiranya ada tetamu datang ke rumah jiran anda, tidak perlulah anda sibuk menjeling dan menjenguk. Ini tidak, ada yang sengaja bertandang ke rumah jiran pada ketika itu pula. Kononnya nak turut sama berkenalan dengan tetamu yang datang. Tak elok macam tu. Pernahkah anda terfikir bahawa mungkin tetamu itu dan jiran anda sendiri tidak selesa dengan keadaan sebegitu?.

Friday, February 5, 2010

Membuat Keputusan.




Tip membuat Keputusan :

Tenangkan Fikiran :   Elakkan diri dari merasa tertekan.  Yakinlah bahawa anda telah membuat keputusan yang terbaik.

Kenal pasti masalah sebenar : Setelah fikiran tenang, fikirkan semula perkara yang menjadi masalah sebenar dengan teliti.

Kenal pasti pilihan :  Fikirkan semula pilihan-pilihan yang ada.  Cari dahulu seberapa banyak pilihan yang boleh dibuat.

Kaji baik buruk pilihan :   Setiap pilihan mempunyai kesannya sendiri, baik untuk diri sendiri mahupun untuk orang lain.  Fikirkan sebanyak mungkin kesan yang mungkin timbul jika pilihan itu yang diambil.

Buat pilihan yang terbaik :   Pastikan keputusan yang dipilih benar-benar mampu untuk dilaksanakan agar tidak timbul sebarang kesalan di kemudian hari.

Tegas dengan keputusan :   Tegaslah dengan keputusan anda dan jangan ikut kata orang.

Nilai semula :  Ada baiknya setelah segalanya berlalu, nilai semula apakah kesannya yang akan menimpa anda.

Renungan...


                          Apabila seorang manusia sudah cukup matang untuk menyedari dan membuat kesalahan, dia juga harus cukup matang untuk menyedari dan membuat kebaikan.

Tuesday, February 2, 2010

Buang sikap bosan...


Sewaktu anda sedang melakukan tugasan harian tiba-tiba perasaan bosan menghantui diri.  Apa sahaja yang dilakukan bagaikan ada sahaja yang tidak kena, buat itu salah dan buat ini juga salah.  Mungkin anda bosan melakukan perkara yang sama saban hari atau juga anda perlukan ruang untuk diri anda sendiri.  Bagaimana mahu mengatasi perasaan bosan...?.

Pagi-pagi sewaktu masuk ke pejabat atau tempat kerja, yakinkan kepada diri sendiri bahawa kerjaya yang anda sandang selama ini merupakan pekerjaan yang paling sesuai dengan diri anda.  Perasaan cinta pada apa yang anda lakukan sudah cukup sebati dalam diri.

Tiada orang lain yang tahu tentang diri kita melainkan diri sendiri.  Anda sendiri sudah pasti tahu apa yang anda mahukan dalam hidup.  Misalnya jika anda seorang yang meminati dunia fesyen janganlah pula menjadi seorang juru audit atau pekerjaan yang tidak berkaitan dengan minat anda.  Pasti anda akan pening kepala melihat perkiraan yang membebankan itu.

Mencari sumber inspirasi agar anda terus datang setiap pagi ke pejabat.  Misalnya jika anda suka melihat kehijauan pokok, letakkan pokok kaktus di atas meja pejabat.  Pastikan setiap pagi anda melihatnya dan mengharapkan agar ia hidup subur.

Monday, February 1, 2010

Renungan : Hijrah diri.


Ruang yang paling besar di dunia ini ialah ruang untuk memperbaiki diri sendiri. Orang lain boleh menghalang anda melakukan sesuatu untuk sementara waktu. Tapi diri anda sendiri yang mampu melakukannya untuk selama-lamanya.