Kalau nak sentuh soal jiran tetangga, sememangnya banyak perkara yang boleh disentuh; tentang jiran tetangga yang suka tabur fitnah, suka menunjuk-nunjuk, tak suka bergaul dengan orang lain, dan macam-macam lagi. Walau bagaimanapun, selagi anda hidup di dalam masyarakat, anda tidak dapat lari daripada dikelilingi oleh manusia-manusia yang dinamakan 'jiran'. Oleh yang demikian, suka atau tidak, ada terpaksa berdepan dengan 1001 kerenah jiran-jiran anda.
Sikap prihatin dan ambil berat adalah sesuatu yang sangat bagus untuk diamalkan di dalam masyarakat kejiranan. Pantang ada jiran yang berada di dalam kesusahan, merekalah orang pertama yang tiba di depan pintu. Walau bagaimanapun, harus diingat, mengambil berat bukan bermakna anda menjaga tepi kain orang!. Ada batasan di dalam perkara yang melibatkan hal-hal orang lain. Walau pun mungkin hubungan anda dan jiran sudah seperti saudara sendiri, tak bermakna anda boleh bebas untuk mengambil tahu tentang perihal mereka sekeluarga. Pendek kata, anda perlu tahu adab-adab hidup berjiran.
Anda diangga orang yang paling rapat dengan jiran tetangga. Oleh itu, tak ada gunanya anda menjadikan jiran-jiran anda sebagai musuh? Andai ada sesuatu perkara yang tidak diingini terjadi, nak atau tidak, merekalah orang pertama yang akan anda minta pertolongan. Jadi, bayangkan kalau selama ini anda berlagak sombong? Tentu jiran-jiran pun tak nak menolong anda kan?.
Sebagai jiran, anda perlu tahu akan adab dan batasan peranan seorang jiran. Jangan sampai perkara 'dalam kain' jiran pun anda nak ambil tahu. Mungkin anda ingat itu tandanya anda prihatin sedangkan sebaliknya anda hanya memburukkan perhubungan dengan jiran anda saja. Ingat, jiran-jiran punya privasi, sama seperti anda. Kalau anda tak suka orang busy body tentang anda, jadi anda pun jangan busy body pasal mereka.
Selain itu, mungkin ramai yang terlepas pandang akan hal ini. Walau serapat mana pun hubungan anda dengan jiran, jangan asyik 24 jam tercegat di depan rumah mereka saja!. Berada sepanjang hari di rumah jiran memang perkara yang tak manis dilakukan. Jika nak berbual pun, cari saat dan waktu yang tepat.
Usah menyibuk!. Sekiranya ada tetamu datang ke rumah jiran anda, tidak perlulah anda sibuk menjeling dan menjenguk. Ini tidak, ada yang sengaja bertandang ke rumah jiran pada ketika itu pula. Kononnya nak turut sama berkenalan dengan tetamu yang datang. Tak elok macam tu. Pernahkah anda terfikir bahawa mungkin tetamu itu dan jiran anda sendiri tidak selesa dengan keadaan sebegitu?.
No comments:
Post a Comment