Tuesday, June 30, 2009

Zodiak dan Pekerjaan.

Info untuk meringankan minda anda. Bukan kesahihan 100%,tapi ada kebenarannya.Betul atau tidak, cermin diri sendiri.

Pekerja Aries ( 21 Mac – 19 April )

Tidak suka melakukan pekerjaan yang sama sepanjang masa.

Gaji bukan penarik minat utama mereka menceburi sesuatu kerjaya.

Yang penting kepuasan kerja dan prospek kerja yang luas bagi meningkatkan keupayaan diri.

Sukakan pekerjaan yang mencabar keupayaan.

Pekerja Taurus ( 20 April – 20 Mei )

Pekerja yang baik, sangat setia, kuat kerja dan tidak suka ‘kipas mengipas’.

Bekerja mengikut peraturan dan sedaya upaya menyelesaikan masalah.

Sentiasa inginkan bimbingan dan tunjuk ajar daripada orang lain untuk melakukan yang terbaik.

Pekerja Gemini ( 21 Mei – 21 Jun )

Gemar berkongsi idea dengan teman setugas.

Tidak boleh menumpukan perhatian kepada satu kerja sahaja dalam tempoh yang lama.

Suka mengambil tahu soal orang lain.

Mood dan produktiviti mereka sering berubah dan saling berkaitan.

Sesuai dengan pekerjaan yang menjelajah banyak tempat.

Pekerja Cancer ( 22 Jun - 22 Julai )

Pekerjaan adalah untuk mendapatkan wang, penting untuk menjamin kehidupan yang selesa.

Boleh diharap dan sentiasa bersedia membantu di saat diperlukan.

Tidak berlumba untuk mendapatkan kuasa.

Persekitaran kerja mempengaruhi mereka.

Pekerja Leo ( 23 Julai – 22 Ogos )

Ingin diri menjadi perhatian utama dan orang penting di tempat kerja.

Mencari jalan meningkatkan status di mata teman sepejabat.

Tidak suka menerima komen.

Gemar member nasihat.

Pekerja Virgo ( 23 Ogos – 22 September )

Jika kena gayanya , mampu bekerja dengan rajin.

Kejujuran kunci utama mereka dalam bekerja.

Mudah mengkritik sesuatu yang silap pada pandangan mereka.

Sanggup melakukan kajian sebelum sesuatu tugas bagi melengkapkan diri dengan pengetahuan yang diperlukan.

Pekerja Libra ( 23 September – 22 Oktober )

Ramai teman sekerja beranggapan mereka terlalu sensitive dan sukar bekerjasama.

Keupataan berubah-ubah.

Mampu bekerja cemerlang dan hari yang lain bersikap sebaliknya.

Jangan cuba memerintah mereka lebih-lebih.

Pekerja Scorpio (23 Oktober – 21 November)

Mampu berdikari.

Tidak campur adukkan soal kerja dan peribadi.

Tidak takut menyuarakan pendapat sekiranya merasakan ada yang tidak kena.

Melayan orang lain seperti orang lain melayan mereka.

Pekerja Sagitarius (22 November – 21 Disember)

Berkeyakinan, ceria dan bersedia membantu.

Tugas yang diserahkan pasti dilakukan sebaik mungkin.

Pantang diperlekehkan.

Pekerja Capricorn (22 Disember – 19 Januari)

Gembira bila merasakan diri mereka diperlukan untuk menjayakan sebarang kerja.

Sentiasa meningkatkan daya usaha mereka.

Mereka bukanlah seorang yang suka memaksa.

Apabila mengenalpasti matlamat, pasti akan berusaha mencapai segala yang diimpikan.

Jika dirasakan kerja yang dilakukan berbaloi, bermakna gaji yang diberikan harus berbaloi.

Pekerja Aquarius (20 Januari – 18 Februari)

Sukar untuk bertolak ansur dengan mereka.

Asyik ingin lakukan yang terbaik.

Gembira jika diberi peluang untuk meluaskan pengetahuan dan kemahiran (skill) kerja.

►Pekerja Pisces (19 Februari – 20 Mac )

Pekerja yang taat dan kerja kuat.

Sekiranya ada yang tak kena, pasti merekalah yang mula2.

....Sumber fauzynn

Geleng Kepala

Seorang wanita yang sangat gemuk mengunjungi sebuah klinik untuk bertemu doktor.
Wanita : Doktor, ubat apa yang perlu saya makan untuk kurus?
Doktor : Puan tak perlu makan ubat. Puan cuma perlu amalkan teknik geleng kepala saja.
Wanita : Geleng kepala? Bila agaknya saya kena gelengkan kepala tu doktor? Pagi, tengahari, petang atau malam?
Doktor : Bila ada orang suakan makanan atau ajak puan makan, puan bolehlah gelengkan kepala ye. Itu saja, senangkan?
Wanita : ?????

Monday, June 29, 2009

Ponteng

Masalah disiplin berkaitan ponteng sekolah mungkin isu basi dan barangkali ramai yang muak untuk membincangkannya. Ponteng kelas atau ponteng sekolah bukan perkara baru kerana fenomena ini berlaku sejak sekian lama atas pelbagai faktor pendorong dan amat sukar dibendung walaupun bukan sedikit usaha yang dilaksanakan. Hakikatnya, masalah ini tidak pernah selesai. Ponteng sekolah berada di tangga ke dua daripada 8 jenis salah laku yang disenaraikan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Masalah ponteng berlaku di sekolah seluruh negara, kawasan bandar dan luar bandar. Justeru itu, semua pihak kadangkala saling menuding jari ke arah satu sama lain apabila kadar pelajar sekolah tidak berjaya dikurangkan pada jumlah besar.
Persoalannya, adakah ponteng sekolah dan masalah disiplin pelajar sekolah yang saling berangkai ini akan berjaya ditangani???...Bagi saya masalah disiplin dan ponteng hanya akan dapat ditangani, jika semua pihak bekerjasama, guru, ibu bapa, masyarakat dan kerajaan. Masalah ponteng sekolah perlu dibendung dengan giat, kerana ponteng adalah pembuka jalan kepada pelbagai unsur negatif seperti merokok, seks bebas, dadah, gengsterisme dan vandalisme.
Bagi saya, semua pihak perlu dilibatkan dan diberi kesedaran dalam usaha menangani masalah pelajar ponteng. Semua pihak juga perlu bekerjasama dan sama-sama menggemblengkan tenaga, membenteras gejala ponteng di kalangan pelajar atau membantu menggalas tanggungjawab membenteras ponteng.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan pihak sekolah memainkan peranan yang amat besar untuk memberi galakan kepada pelajarnya supaya berminat terus menghadiri sesi persekolahan hingga ia tamat sepenuhnya sebelum cuti panjang. Sekolah perlu kreatif untuk merangka program yang boleh menarik minat penyertaan pelajarnya apabila sesi peperiksaan tamat. Mengadakan program yang menarik minat perlu diadakan supaya mereka akan tetap datang ke sekolah untuk memenuhi masa, sebelum sesi sekolah benar-benar tamat.
Selain pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat juga boleh memainkan peranan masing-masing untuk membendung masalah ini. Peranan yang boleh dimainkan oleh ibu bapa dan masyarakat di antaranya ialah;
# Ibu bapa perlu memastikan walau dengan apa cara sekalipun, anak-anak selamat dalam perjalanan ke sekolah atau tiba di sekolah dan tidak melencong ke tempat lain.
# Peranan ibu bapa untuk menyemak buku anak setiap hari dan bandingkan dengan jadual waktu harian. Ibu bapa perlu curiga apabila tiada nota langsung di setiap buku dan ada pakaian dalam beg anak. Kandungan dalam beg anak boleh memberi jawapan sama ada anak ke sekolah atau tidak pada hari berkenaan.
# Ibu bapa perlu lebih prihatin dan memerhatikan gerak-geri anak mereka dengan kerap berhubung dengan pihak sekolah atau bertanya rakan anak atau pemandu bas sekolah.
Pihak sekolah boleh mengambil tindakan disiplin tanpa alasan dan makluman. Pihak sekolah akan menghantar Surat pemberitahuan kepada ibu bapa jika pelajar tidak hadir ke sekolah 3 hari berturut-turut tanpa alasan kukuh. Manakala pelajar boleh dikenakan tindakan diberhentikan sekolah jika, ponteng 30 hari berturut-turut tanpa sebab atau ponteng 60 hari berselang seli tanpa sebab.
# Guru mesti mempunyai insiatif untuk memanipulasi potensi insan yang dididik untuk mencapai pendidikan.
# Sebenarnya ibu bapa juga sebagai pencetus masalah ini. Ada ibu bapa yang mungkin sudah merancang untuk membawa anak bercuti, jadi mereka juga tidak kisah jika anak mereka ponteng sekolah terutama apabila beranggapan tiada apa lagi yang penting perlu dibuat di sekolah.

Sombong...

Ingatkah lagi kisah keengganan Iblis untuk tunduk sujud pada makhluk bernama Adam kerana merasakan penciptaan dan statusnya lebih baik? Allah melihat tingkah dan sikap Iblis ini dengan firmanNya : " Hai Iblis, apakah yang menghalang kamu untuk sujud kepada yang telah Kuciptakan?. Apakah kamu menyombongkan diri (takbur) atau kamu merasa termasuk orang-orang yang lebih tinggi?...
Iblis terus menjawab " Ya Allah, aku (memang) lebih baik jika dibandingkan dengan Adam. Engkau cipta aku dari api, sedangkan Adam, Engkau ciptakan dari tanah. Mendengar jawapan iIblis yang sombong, Allah berfirman: "Keluarlah kamu dari syurga. Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang diusir".
SOMBONG!....Drama atau sandiwara kehidupan yang sering kita saksikan dalam masyarakat. Rasa sombong tercetus daripada sikap yang mengganggap diri sudah baik atau lebih pandai, lebih kaya, lebih cantik, mulalah rasa meninggi diri. Terlupa, diri hanya tidak lebih hanya ciptaan Allah yang tidak memiliki apa-apa di sisi Allah.
Sesungguhnya kita manusia memang tidak punya kehebatan apa-apapun jika dibandingkan dengan kebesaran Allah. Kesombongan, walaupun hanya 'sekecil batu krikil atau sehalus biji sawi tetap akan menghitamkan hati, itulah yang diperingatkan Rasullah s.a.w daripada Abadullah bin Mas'ud, bahawa Rasullah bersabda bermaksud : "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi dari kesombongan dan tidak akan masuk neraka orang yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi dari iman. (Riwayat Muslim Dan Ibnu Majah)
Individu yang mementingkan diri sendiri dan sombong akan dipinggirkan masyarakat. Individu seperti ini boleh diumpamakan seperti ranting pokok kering yang tidak berguna, kualiti manusianya, dirinya dan sokongannya mati sekiranya tiada hubungan dengan manusia lain.
...Kita hanya menumpang di bumi Allah ini. Sedarlah dengan kedudukan kita di sisi Allah dan sentiasalah muhasabah diri.

Friday, June 26, 2009

Wasiat : Hal-hal Wanita.

Kaum wanita khususnya diciptakan oleh Allah s.w.t sebagai pasangan hidup kepada kaum lelaki, untuk melahirkan zuriat bagi melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi. Kaum wanita yang bersifat lemah perlu sekali mendapat bimbingan dan nasihat daripada kaum lelaki. Justeru itu, menjadi kewajipan bagi kaum lelaki untuk menghormati dan memberi hak-hak mereka dengan adil.
Firman Allah Taala dalam surah An-Nisa' : ayat 19 yang maksudnya : “….Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Manakala firman Allah dalam surah An-Nisa’: ayat 129 yang maksudnya : “…..Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya). Oleh itu, jangan kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri-isteri yang kamu sayangi). Sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (diawang-awangan). Jika kamu memperbaiki (keadaan pincang itu) dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah itu amat pengampun lagi Maha Mengasihi.
Maksud hadis : “ Daripada Abu Hurairah r.a. katanya : Rasullah s.a.w bersabda : “Hendaklah kamu menasihati tentang perkara-perkara kebaikan kepada kaum wanita kerana sesungguhnya kaum wanita dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkuk-bengkuk tulang rusuk ialah yang paling atas. Jika kamu membetulkannya dengan kekerasan nescaya ia akan patah, jika ditinggalkan (dibiarkan tanpa nasihat) nescaya kekal ia dalam keadaan bengkuk maka nasihatilah mereka dengan penuh kesabaran dan berlemah lembut. ( Al-Bukhari dan Muslim).

INFO : Hadis

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda : “ Solat yang 5, begitu pula solat Jumaat ke Jumaat berikutnya, dapat menghapuskan dosa-dosa yang terjadi antara semuanya, selama tidak diperbuat dosa-dosa besar”. ( Sahih Muslim ).

Dari Abu Hurairah r.a katanya Nabi s.a.w. bersabda : “ Allah Ta’ala sangat gembira menerima taubat seseorang kamu, melebihi kegembiraan seseorang yang menemukan kembali barangnya yang hilang….” ( Sahih Muslim ).

Diberitakan oleh Abdullah bin Umar r.a, bahawa Nabi s.a.w. bersabda : “ Apabila kamu hendak solat Jumaat, mandilah lebih dahulu “. ( Sahih Bukhari ).

Abdullah bin Mas’ud r.a. mengkhabarkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda : “ Jangan berasa iri hati, kecuali kepada dua orang, iaitu orang yang diberi Allah harta, kemudian dipergunakannya untuk yang hak, dan orang yang diberi Allah hikmah (ilmu yang hak), kemudian dipergunakannya (untuk yang hak) serta diajarkannya”. ( Sahih Muslim ).

Dari Abu Hurairah r.a. katanya nabi s.a.w. bersabda : “Menengoklah kepada orang yang lebih rendah darimu, dan jangan menengok orang yang lebih tinggi. Itulah tembok yang kukuh supaya kamu tidak menghina pemberian Allah kepadamu”. ( Sahih Muslim ).

Thursday, June 25, 2009

INFO : Berapa banyak harus makan?

Ramai yang tidak tahu sebenarnya dalam sehari berapa banyak makanan yang harus anda ambil untuk seimbangkan keperluan tubuh. Saranan pakar diet, makanlah mengikut keperluan fizikal anda.

Jika anda sangat aktif dalam sukan dan permainan, anda harus makan lebih banyak bagi menggantikan tenaga yang hilang. Jika anda tidak begitu aktif, anda harus kurangkan makan.

Bagi yang berdiet, kurangkan kuantiti makanan namun memenuhi zat. Keperluan ini cukup untuk kekuatan fizikal dan member tenaga.

#.....Makanan perlu seimbang .

Wednesday, June 24, 2009

Taman Malihah...

Taman Malihah…..umumnya penduduk Sarawak maklum. Ia terletak di Bandaraya Kuching. Namun bagaimana nama itu wujud, kenapa dinamakan dengan Taman Malihah?. Saya yakin ramai yang tidak mengetahui sebabnya. Sedangkan umumpun maklum, nama jalan atau bangunan selalunya dinamakan dengan nama-nama pemimpin atau mereka yang telah banyak sumbangan dan jasanya sebagai cara untuk menghargai segala jasa mereka kepada negari atau Negara.. Sehingga ke hari ini, kita tidak tahu siapakah ‘Malihah’ itu? Apakah sumbangan dan jasanya kepada Negeri Sarawak? Atau ada sebab lain?

Perasaan ingin tahu telah lama bersarang dalam hati dan fikiran saya. Setiap kali berkunjung ke Kuching dan melintas di hadapan Taman Malihah, rasa ingin tahu saya membuak-buak. Apakah nama itu diabadikan bersumberkan nama saya (perasaanlah tu).Tiada sebab lain kerana nama itu serupa dengan saya yang sebenar. Apatah lagi Taman Malihah tidak berapa jauh dari sekolah saya bersekolah dahulu. Sehingga ke hari ini juga, saya tidak pernah lagi berjumpa dengan insan yang serupa nama saya (teringin juga nak jumpa, jika ada …) di alam realiti, di dada-dada akhbar atau di media elektronik.

Sebenarnya saya agak pelik dengan nama saya. Cerita ibu saya, nama saya dinamakan oleh seorang ‘kiyai’ yang datang dari Indonesia. Beliau sering bermalam di rumah datok saya yang kebetulan seorang ‘imam’ di kampung saya. Perkara biasa, rumah seorang imam pasti akan menjadi tempat persinggahan insan-insan yang giat dalam pendakwahan. Cerita ibu saya lagi, Malihah dalam bahasa arab bermaksud “ Orang yang cantik manis”. Mungkin disebabkan ibu saya mengimpikan anak yang cantik, beliau dan ayah saya bersetuju menamakan saya dengan nama ‘Malihah’. Walaupun tak cantik, namun saya bersyukur atas segala ciptaan dan kurniaan Allah, di samping membenarkan saya menghirup dan menikmati segala keajaiban ciptaanNya.

Disebabkan keunikan nama Malihah juga agaknya saya sering menjadi ‘mangsa’ apabila menghadiri sebarang kursus. Asyik muka inilah yang akan membentang hasil bengkel (nama cepat diingat) . Dah nasib badan. Tapi saya berfikiran positif tentang itu, boleh meningkat keyakinan diri dan menambahkan ilmu. Sementara orang masih suka dan memerlukan kita, apa salahnyakan..? Kepada insan di luar sana yang mengetahui maklumatnya, bolehlah menghubungi saya melalui email : Adzma66@yahoo.com.

☺ Teringat lagu ‘Muslihah’, lagu yang cukup popular di era 80an nyanyian Othman Hamzah. Di sekolah saya, asrama Lelaki berdekatan dengan kantin sekolah, apabila saya pergi ke kantin untuk membeli makanan atau minuman, pasti lagu ‘Muslihah’ akan berkumandang di asrama pelajar lelaki yang dinyanyikan oleh segelintir pelajar lelaki yang prihatin dan sedar kehadiran saya. Bila mengimbau kembali kenangan di alam persekolahan, pasti tersenyum sendiri ( Popular juga rupanya saya…he…he (perasan lagi).

Tuesday, June 23, 2009

100 Markah..

Setiba saja di rumah, seorang anak dengan bangganya telah menunjukkan buku laporan kepada ayahnya.
Anak : Ayah, hari ni saya dapat 100 markah.
Ayah : Iye? Pandainya anak ayah ni...
Anak : Tengoklah ni, yah. Matematik saya dapat 20 markah, Bahasa Melayu 30 markah, Sains 40 markah, pastu Pendidikan Seni 10 markah. Campur semua sekali 100 markah, yah!.
Ayah : Bijak...bijak........

Tip Sebumbung dengan Mentua..

Semalam saya berbicara tentang Mentua, hari ini saya ingin memberi beberapa tip tinggal sebumbung dengan mentua. Saya sudah tinggal sebumbung dengan mentua selama 13 tahun sejak saya berkahwin lagi. Ini bukan bermakna saya pakar dalam hal ini, tapi hanya ingin berkongsi pengalaman. Tinggal dengan mentua bukannya mudah, apatah lagi mereka baru kita kenali, sudah pasti pelbagai masalah yang mungkin akan timbul. Yakinlah setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Mentuapun sebenarnya mempunyai tanggapan yang sama terhadap menantu.

Sekiranya anda antara pasangan yang duduk sebumbung dengan mentua, perkara berikut boleh dijadikan panduan untuk membantu mengelakkan masalah daripada berlaku:-

¥ Fahami perbezaan antara anda dengan ibu mentua. Kehidupan berumahtangga tidak hanya memerlukan cinta, tapi juga bagaimana keduanya mampu membiasakan diri dan bergaul dengan orang tua masing-masing. Setiap keluarga memiliki kebiasaan berbeza-beza, perbezaan inilah yang harus difahami dan disesuaikan oleh pasangan yang tinggal serumah dengan mentua.

¥ Hentikan kritikan antara anda dan ibu mentua. Bila mentua atau menantu kerap mengkritik bila salah seorang melakukan kesalahan. Walaupun kesalahannya kecil tapi kritikan mampu menjadi satu masalah yang cukup besar dalam perhubungan terutama jika kritikan tersebut disampaikan pula kepada orang lain. Berhentilah daripada mengkritik dan tidak lagi berkomentar mengenal keburukan masing-masing. Nilaikan apa sesungguhnya sumber permasalahan.

¥ Untuk mengelakkan konflik dengan ibu mentua, hadapilah semua perbuatan dengan santai dan respondlah dengan dengan senyuman serta jaga emosi agar tidak mudah ‘meletup’. Namun jika kelakuan itu sudah melampau batas, cubalah membicarakan sebaik-baiknya. Tegurlah dalam gurauan atau luahkannya dengan cara yang berhemah agar tiada pihak yang terasa.

¥ Komunikasi yang baik dan lancar adalah kunci utama dalam membangunkan hubungan antara mentua dan menantu. Cubalah untuk saling memahami dan menjaga sikap agar konflik boleh dihindari. Selain itu, utamakan acara bersama keluarga, baik keluarga sendiri mahupun pasangan. Selain dapat mengenali mereka, kehadiran anda juga akan meminimumkan pandangan negatif orang lain terhadap anda.

Monday, June 22, 2009

Mentua...

Imej ibu mentua yang garang dan banyak komen seakan ‘ bercetak’ di dalam minda wanita. Justeru itu tidak hairanlah ramai yang takut menghadapi ibu mentua sekali gus menjarakkan hubungan antara keduanya.

Bertemu seminggu sekalipun sudah muncul pelbagai masalah apatah lagi kalau tinggal sebumbung dengan mentua, terpaksa bertemu setiap hari, walaupun ramai yang cuba menghindarkannya namun ada pasangan suami isteri yang terpaksa menghadapi keadaan ini kerana sebab tertentu.

Sebenarnya jurang yang terbina ini mampu menjejaskan keharmonian keluarga malah juga hubungan suami dan ibunya sendiri. Bagi memastikan hubungan dengan ibu mentua beres tanpa sebarang masalah beberapa tip boleh dijadikan panduan.

۞ Mulakan perbualan dengan ibu mentua walaupun jarang bertemu dengan ibu mentua. Mulakan dengan perbualan ringan, bertanya perkembangan atau sengaja meminta resipi kesukaan anaknya walaupun sebenarnya anda sudah tahu. Tak perlu setiap hari ke rumah ibu mentua, boleh saja sebulan sekali asalkan anda meluangkan masa menghubunginya seminggu sekali. Selain itu, tunjukkan minat anda untuk mempelajari apa juga yang dia suka lakukan atau hobinya. Pasti ibu mentua akan terkesima dengan perhatian anda.

۞ Setiap pasangan pasti akan menghadapi masalah dalam rumah tangga. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isterikan. Dalam hal ini pasti ibu mentua suka campur tangan. Sudah tentu anda akan berasa geram dan tidak puas hati. Tapi….jangan melenting. Mungkin niat ibu mentua anda baik, tidak mahu melihat rumah tangga anak-anaknya berantakan, lalu mahu menghulurkan bantuan. Ingat…ibu mentua punya pengalaman dalam menangani masalah rumah tangga. Jadi janganlah memberi tanggapan negatif bila ibu mentua bertanya atau memberi nasihat ketika anda dan suami berkonflik.

۞ Salah satu sifat wanita adalah lebih berorientasikan hubungan. Bandingkan posisi ibu mentua dengan status anda sebagai isteri. Intinya sama iaitu ingin mencurahkan segenap kasih saying pada lelaki yang samakan?. Hanya caranya saja yang mungkin berbeza. Ibu mentua memiliki hubungan sebagai ibu dan anak. Sedangkan anda berhak atas cinta suami, kerana anda berdua sudah dipersatukan dalam satu ikatan. Kewujudan cinta kasih ini sering menjadi punca kekecohan. Ibu mentua tampak cerewet, kerana rasa saying yang begitu besar pada anaknya, apatah lagi menurut pandangannya si menantu kurang membahagiakan anaknya. Jika anda memahami perkara in sudah tentu anda akan dapat memahami ibu mentua anda.

۞ Ibu mentua bagaikan ibu kandung anda sendiri. Jadi janganlah terus berasa hati jika anda dileteri oleh ibu mentua anda. Santai saja. Bukankah anda juga selalu dileteri oleh ibu kandung anda sendiri dulu?. Anda juga sudah tentu punya sebab untuk berleter jika anda juga seorang ibu, begitu juga ibu mentua anda. Sebenarnya tak sukar untuk memahami kemahuan ibu mentua, sebab anda dan ibu mentua sama-sama perempuan bukan?. Dalam ikatan perkahwinan, anda bukan sahaja berkahwin dengan suami anda tapi seluruh keluarga suami anda. Begitu juga sebaliknya.

Cantik di hati.....

Ambillah waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan.

Ambilah waktu untuk bermain, itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi.

Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan.

Ambillah waktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan.

Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikan Tuhan.

Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah muzik yang menggetarkan hati.

Ambilah waktu untuk memberi, itu adalah membuat hidup terasa bererti.

Ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan.

Ambillah waktu untuk beramal, itu adalah kunci menuju syurga.

» Gunakan masa dengan optimum dan berkualiti

Friday, June 19, 2009

Selamat Hari Bapa

Hari Bapa bakal disambut pada 21 Jun 2009. Selamat Hari Bapa saya ucapkan kepada semua insan yang sudah bergelar bapa di seluruh Malaysia. Dengan kesempatan ini saya ingin mengucapkan rasa penghargaan saya kepada bapa saya yang telah mendidik saya dengan baik sehingga saya berjaya di hari ini. Terima kasih atas segala kasih sayang dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada saya. Pengorbanan bapa tidak dapat saya balas, doa saya moga bapa sentiasa dipanjangkan umur dan diberi kesihatan yang sihat. Juga kepada suami saya: "Selamat Hari Bapa saya ucapkan". Moga menjadi bapa yang bertanggungjawab kepada keluarga.

Tazkirah : Melalui 10 pintu..

Jangan biarkan syaitan manja dalam diri. Oleh itu, peliharalah hati, jangan sampai hati dikuasai syaitan hingga kita terjerumus ke lembah maksiat. Beruntung manusia yang berupaya menangkis godaan syaitan. Kata Ulama', syaitan menguasai tubuh badan manusia melalui 10 pintu.

# sifat sombong dan angkuh

# bakhil dan kedekut

# takbur dan bongkak

# sifat khianat

# tidak suka menerima ilmu dan nasihat

# hasad dengki

# meremehkan orang lain

# sifat ujub atau bangga diri

# suka berangan-angan

# buruk sangka

Allah berfirman bermaksud : " Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka walhal syaitan itu tidak manjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya" ( Surah An-Nisa' : ayat 120-121)

.....sentiasalah bermuhasabah diri dan dekati diri kepadaNya, mudah-mudahan kita dijauhi daripada segala dogaan syaitan.

Wednesday, June 17, 2009

Selamat Hari Jadi Muhd Adib Darwish.

Selamat Hari Jadi untuk abang. Tak sangka abang dah besar. Dah berusia 11 tahun hari ini. Abang 'permata hati' mak dan ayah. Abang yang menyedarkan mak bagaimana rasa menjadi seorang ibu. Harapan mak untuk abang, belajar rajin-rajin dan jadilah anak yang baik. Doa mak semoga abang berjaya dan sukses dalam apa jua yang abang ceburi. Jangan lupa mengaji. Jadilah model dan teladan yang baik untuk adik-adik. Mak dan ayah sayang abang.

LOVE U SO MUCH.........

Rasuah @ Makan Suap

" Tiga pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS), telah didakwa di Mahkamah Seksyen di sini semalam atas tindakan melakukan penyelewengan dan pecah amanah dana awam". (sumber Berita Harian).

Sejak akhir-akhir ini kita sering disajikan dengan berita-berita berkaitan dengan rasuah atau makan suap di dada-dada akhbar. Tertanya dalam hati, adalah rakyat Malaysia telah hilang nilai dalam diri. Demi kemewahan hidup maruah digadaikan.

Saya secara peribadi bangga dengan kesungguhan Kerajaan dalam usaha menbendung dan menghapuskan gejala rasuah yang sudah lama menular dalam masyarakat. Malah usaha murni ini selari dengan firman Allah yang bermaksud : " Andai kata kebenaran itu menurut hawa nafsu mereka, maka pasti binasalah langit dan bumi dan segala yang ada di dalamnya". (Surah al-Mukminun : ayat 71).

Dalam perkembangan ekonomi sesebuah negara, rasuah menjadi ancaman yang cukup berbahaya. Perbuatan rasuah akan mengancam seluruh sistem pembangunan negara yang bakal melahirkan sebuah masyarakat kucar-kacir dan menjadi penyumbang kepada keutuhan sesebuah bangsa. Rasullah s.a.w mengutuk sesiapa sahaja yang memperoleh harta dan wang ringgit melalui amalan rasuah. Sabda Rasullah s.a.w yang bermaksud: " Sesiapa yang kami tunjukkan (lantik) untuk memegang sesuatu jawatan yang sudah kami tetapkan pendapatannya, jika dia mengambil lebih daripada itu, maka sebenarnya dia sudah mencuri".

Mengapa berlakunya rasuah atau makan suap? Biarpun ramai menyedari perbuatan makan suap atau rasuah adalah haram, dibenci Allah dan undang-undang dunia, namun gejala rasuah terus berkembang di kalangan masyarakat, sama ada di peringkat atasan atau bawahan.

Di antara kemungkinan yang membawa kepada gejala rasuah dengan terus berleluasa di kalangan masyarakat adalah kerana ketidakfahaman terhadap istilah rasuah itu sendiri dan kuatnya perasaan tamak dan haloba untuk memiliki kekayaan atau kemewahan dengan cepat. Kekeliruan dan kejahilan seseorang individu mengenai rasuah mungkin berpunca daripada pemahaman yang cetek terhadap kalimah rasuah yang disangka hanya membabitkan wang semata-mata. Sebenarnya rasuah bukan sahaja membabitkan penggunaan wang, turut merangkumi aspek kehidupan lain seperti tidak menjalankan tanggungjawab mengikut tempoh masa ditetapkan atau berlaku tidak jujur dan menyeleweng dalam melakukan tindakan dan perbuatan.

Pengamal rasuah biasanya akan lebih kuat menjalankan tugasnya apabila ditawarkan dengan pelbagai bentuk hamper, hadiah, cenderamata atau apa sahaja yang dianggap sebagai perantara dan pemangkin kepada tercapainya sesuatu keinginan seseorang. Mereka lupa bahawa segala amalan dan tindak tanduk mereka seharian bakal dihisab oleh Allah di hari akhirat kelak.

Larangan terhadap perbuatan rasuah dijelaskan Rasullah s.a.w dalam sabdanya yang bermaksud: "Allah melaknat orang yang menyogok dan minta disogok".(Riwayat Ahmad, Tarmizi dan Ibu Hibban). Laknat Allah bukan sahaja kepada pemberi, malah penerima rasuah kerana jelas kedua-duanya melakukan kezaliman.

Sebagai insan yang cintakan kemurnian hidup, marilah kita bersama-sama berganding bahu membendung dan membanteras gejala rasuah daripada terus merebak di kalangan masyarakat atau Umat Islam. Melalui tugasan, amanah dan tanggungjawab yang dipikul, kita sebenarnya boleh memainkan peranan bagi membasmi penyakit sosial yang amat dikutuk Allah ini.

....namun ada juga kes yang disabitkan rasuah bukan kerana berniat untuk melakukan rasuah tetapi teraniaya.( Jadi berhati-hati apabila menandatangani apa-apa dokumen, takut ada yang ambil kesempatan).

Tuesday, June 16, 2009

Syukur Menambah Kekayaan.

Islam amat menggalakkan umatnya mencari kekayaan, kerana dengan kekayaan itu mereka dapat melancarkan lagi amal ibadat dan melaksanakan tuntutan syarak. Rasulllah s.a.w sendiri walaupun bukan kaya harta benda tetapi tidak pernah mengabaikan aspek mencari rezeki. Menjadi miskin dibimbangkan akan menjebakkan seseorang ke dalam kekufuran. Sabda Rasullah s.a.w yang diriwayatkan Abu Naim daripada Anas yang bermaksud;

“ Hampir-hampir kefakiran itu menjadi kufur”, bagaimanapun orang yang berharta yang paling baik sudah tentulah daripada kalangan orang yang juga beramal dan berbuat kebaikan. Firman Allah dalam surah al-Kahfi 46 yang bermaksud;

“Harta benda dan anak pinak adalah perhiasan dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik di sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan”.

Bagaimanapun dalam Islam, kekayaan mestilah diperoleh dengan cara halal dan matlamatnya juga harus betul iaitu untuk laksanakan tuntutan syarak. Apabila kaya, jangan lupa bersyukur, jangan berbelanja secara boros atau jangan terlalu kedekut.

☼ bersyukurlah dengan kekayaan itu kerana dalam setiap kekayaan yang kita peroleh…ada hak yang perlu ditunaikan.

Bilik No. 27..

Seorang lelaki menelefon sebuah rumah sakit jiwa dan menanyakan kepada penyambut tetamu apakah bilik no. 27 ada pesakitnya. Penyambut tetamu tersebut lalu memeriksa bilik tersebut, dan segera kembali menyambung panggilan telefon dan memberitahu lelaki tersebut bahawa bilik no. 27 itu kosong. “Bagus sekali!” kata lelaki tersebut. “Ini bererti aku sudah betul-betul berhasil melarikan diri!

Monday, June 15, 2009

Mentafsir Bahagia...

Tahun ini merupakan tahun ke 13 perkahwinan saya. Satu jangka masa yang agak panjang. Sepanjang 13 tahun hidup bersama suami, tidak dinafikan pelbagai cabaran, onak dan ranjau dihadapi dan ditempuhi. Pelbagai rencam. Tatkala mengecap manisnya kebahagiaan tiba-tiba terasa akan kepahitannya. Tatkala ketawa, tiba-tiba terasa ada sendunya.

Perkahwinan umpama atau laksana sebuah kapal yang sedang berlayar. Satu destinasi perjalanannya jauh. Kadangkala, laut tenang dan kadangkala bergelora atau bergelombang. Justeru itu, disebabkan ketidaktentuan ini, kebijaksanaan dari nakhoda (Suami) dan anak kapal (Isteri) amat diperlukan, perlu saling membantu dan bekerjasama untuk memastikan pelayaran menuju destinasi gemilang.

Setiap pasangan mendambakan kebahagiaan dan pasti apa yang digambarkan difikiran yang indah-indah saja.Apa yang diharapkan oleh setiap wanita tatkala dia membuat keputusan untuk bersedia menerima kehadiran lelaki sebagai suami dalam hidupnya? Sudah pasti dia mengharapkan agar suaminya itu seorang yang penyayang dan bertanggungjawab serta kebahagiaan itu berkekalan hingga ke akhir hayat. Namun, perkahwinan bukan seperti yang kita gambarkan. Perbezaan-perbezaan dan perselisihan-perselisihan pendapat dan tingkahlaku ternyata begitu merengsakan. Terlintas difikiran, terasa perkahwinan sebenarnya hanya menyakitkan dan melemaskan.

...Ya Allah, Ya Rabbi....Anugerahkan kami perkahwinan yang bahagia dan kekal hingga ke akhir hayat... Hindari kami daripada segala bencana dan dugaan. Amin...

Selamat kembali ke sekolah..

Dah dua minggu berlalu, cuti dah berakhir. Jadi, selamat kembali bertugas kepada warga sekolah. Harapan takde le yang mendemamkan diri, takut dijangkiti H1N1. Bahaya 2....... Tugas kita belum berakhir 'Cikgu'. Dibahu kita beban yang amat berat untuk 'Membangunkan Modal Insan'. Membangunkan modal insan bukan lagi satu kemewahan tapi satu kemestian. Apatah lagi dalam era globalisasi ini menuntut kita menggandakan lagi usaha kita dalam tanggungjawab kita membangunkan modal insan kelas pertama. Jadi, para guru perlu berubah selaras dengan dunia tanpa sempadan.

..Guru sekalian....teruskan usaha kita dalam melahirkan 'Modal Insan' yang seimbang dari sudut 'JERI'.

Tip Keluarga Bahagia..

Setiap pasangan inginkan kebahagiaan dalam melayari kapal perkahwinan. Namun, kadangkala 'ribut' dan badai melanda. Walau bagaimanapun , setiap pasangan harus berusaha, tekad untuk terus melayari bahtera perkahwinan ke dsetinasi 'kebahagiaan'. Berikut 6 tip yang boleh dijadikan panduan:

# berniat rezeki adalah untuk dikongsi dengan orang lain.

# sentiasa berfikir apa kita boleh beri dan jangan fikir apa yang kita boleh dapat.

# apabila kita sibuk dengan kebaikan, Insya Allah kita akan sihat.

# perancangan masa itu adalah rancangan diri sebenarnya.

# pentingkan kesihatan, mental, rohani, emosi dan hubungan manusia.

# bergaul dengan semua lapisan masyarakat.

Wednesday, June 10, 2009

Bengkel Pengacara Majlis [ 8 hingga 10 Jun 2009 ].

Gambar sekitar Bengkel Pengacara Majlis di PPD Dalat.

[ Sesi bergambar di akhir Bengkel ....]

[ Penyampaian cenderahati kepada Tetamu Kehormat dan PPD Dalat ]
[ Orang penting bengkel [kiri]. Peserta bengkel [kanan]
[ Serius nar juak muka ya....senyum cikit...]
[ Upacara berbalas ucapan...En. Mohd Dino {kiri}, En. Sariddin {Kanan} ]
[ Di antara tetamu yang hadir pada Majlis Penutupan bengkel ]
[ Ceria jak muka....part yang paling digemari...mestilah makankan...kan.. ]
[ Aktiviti perbentangan Teks Pengacara Majlis,..macam AFlah pulak, tengok pengkritik kat depan 2 ]
[ Eh..eh...tengok apa tu, seronok je nampak... adalah tu...]
[ Seronoknya ada 'body guard' kat sebelahkan...ada gak teman..]
[ Ai..serius nar juak En.Sariddin...tapi di sebelah tu nampak happy ]
[ Berpossing sakan geng..., sebelah 'Merpati dua sejoli'..jangan kacau...]
[ Macam ragam semasa perbincangan Teks Pengacara Majlis, 4 jejaka di sebelah kanan adalah penyeri bengkel...riuh oleh daknya....]

Siapakah pengacara Majlis? Pengacara Majlis atau ‘ Master of Ceremony’ (lebih dikenali dengan ‘emcee ) merupakan orang penting dalam sesebuah majlis. Pengacara Majlis ialah orang yang memimpin sesuatu acara atau majlis.

Pengacara Majlis, nama yang begitu sinonim dalam apa-apa jua majlis. Tanpa pengacara majlis pasti sesebuah majlis menjadi hambar dan tidak dapat dijalankan dengan lancer. Hal ini kerana tanpa pengacara majlis pasti semua pengumuman berkaitan dengan majlis tidak dapat dibuat. Selain itu, pengacara majlis bertindak sebagai penghidup dan pembentuk suasana sesebuah majlis.

Sebenarnya, hidup atau matinya suasana dalam satu-satu majlis banyak bergantung kepada kebolehan pengacara mengendalikan majlis dan kebijaksanaannya berkordinasi dengan pelbagai pihak. Pengacara yang ceria, riang dan bersemangat akan membawa suasana gembira dan bersemangat dalam kalangan tamu jemputan dan hadirin. Begitu juga sebaliknya. Jadi, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pengacara majlis merupakan ‘nadi’ sesebuah majlis. Walau bagaimanapun, tugas pengacara majlis bukanlah mudah seperti yang kita jangkakan. Hal ini kerana kelancaran, kejayaan, hidup dan matinya sesebuah majlis bergantung sepenuhnya kepada pengacara majlis.

...Moga lepas tok bolehlah jadi 'Emcee' macam dak Mahathir Lokman @ Aznil.. yang penting banyak belajar daripada Pengacara yang dah terkenal.

INFO : Soya, sihat untuk diet...

Mengapa soya paling disarankan sebagai makanan kesihatan dan paling baik untuk diet anda?

# soya mempunyai kadar lemak yang rendah dan kaya dengan protein.

# makanan seimbang yang baik berbanding daging, susu atau telur.

# sebagai makanan diet, soya mengandungi 50% protein bagi setiap 100g kacang, soya dua kali lebih daripada kacang tanah, sebelas kali lebih daripada susu dan tiga kali lebih daripada telur.

# kaya dengan bahan mineral seperti kalsium, sodium, manganese, magnesium, besi dan fosforus.

# kaya dengan vitamin A, B, C, D serta lesitin.

# mampu menggantikan susu bagi bayi mempunyai alahan terhadap susu lembu.

# mudah dicerna dan mengandungi semua asid amino yang diperlukan untuk membina dan membaiki tisu badan yang rosak serta membekalkan tenaga.

........untuk mendapatkan kulit bayi yang halus dan mulus serta putih, semasa mengandung, amalkan meminum air soya yang dibuat sendiri.