Perasaan ingin tahu telah lama bersarang dalam hati dan fikiran saya. Setiap kali berkunjung ke Kuching dan melintas di hadapan Taman Malihah, rasa ingin tahu saya membuak-buak. Apakah nama itu diabadikan bersumberkan nama saya (perasaanlah tu).Tiada sebab lain kerana nama itu serupa dengan saya yang sebenar. Apatah lagi Taman Malihah tidak berapa jauh dari sekolah saya bersekolah dahulu. Sehingga ke hari ini juga, saya tidak pernah lagi berjumpa dengan insan yang serupa nama saya (teringin juga nak jumpa, jika ada …) di alam realiti, di dada-dada akhbar atau di media elektronik.
Sebenarnya saya agak pelik dengan nama saya. Cerita ibu saya, nama saya dinamakan oleh seorang ‘kiyai’ yang datang dari Indonesia. Beliau sering bermalam di rumah datok saya yang kebetulan seorang ‘imam’ di kampung saya. Perkara biasa, rumah seorang imam pasti akan menjadi tempat persinggahan insan-insan yang giat dalam pendakwahan. Cerita ibu saya lagi, Malihah dalam bahasa arab bermaksud “ Orang yang cantik manis”. Mungkin disebabkan ibu saya mengimpikan anak yang cantik, beliau dan ayah saya bersetuju menamakan saya dengan nama ‘Malihah’. Walaupun tak cantik, namun saya bersyukur atas segala ciptaan dan kurniaan Allah, di samping membenarkan saya menghirup dan menikmati segala keajaiban ciptaanNya.
Disebabkan keunikan nama Malihah juga agaknya saya sering menjadi ‘mangsa’ apabila menghadiri sebarang kursus. Asyik muka inilah yang akan membentang hasil bengkel (nama cepat diingat) . Dah nasib badan. Tapi saya berfikiran positif tentang itu, boleh meningkat keyakinan diri dan menambahkan ilmu. Sementara orang masih suka dan memerlukan kita, apa salahnyakan..? Kepada insan di luar sana yang mengetahui maklumatnya, bolehlah menghubungi saya melalui email : Adzma66@yahoo.com.
☺ Teringat lagu ‘Muslihah’, lagu yang cukup popular di era 80an nyanyian Othman Hamzah. Di sekolah saya, asrama Lelaki berdekatan dengan kantin sekolah, apabila saya pergi ke kantin untuk membeli makanan atau minuman, pasti lagu ‘Muslihah’ akan berkumandang di asrama pelajar lelaki yang dinyanyikan oleh segelintir pelajar lelaki yang prihatin dan sedar kehadiran saya. Bila mengimbau kembali kenangan di alam persekolahan, pasti tersenyum sendiri ( Popular juga rupanya saya…he…he (perasan lagi).
No comments:
Post a Comment