Semalam saya berbicara tentang Mentua, hari ini saya ingin memberi beberapa tip tinggal sebumbung dengan mentua. Saya sudah tinggal sebumbung dengan mentua selama 13 tahun sejak saya berkahwin lagi. Ini bukan bermakna saya pakar dalam hal ini, tapi hanya ingin berkongsi pengalaman. Tinggal dengan mentua bukannya mudah, apatah lagi mereka baru kita kenali, sudah pasti pelbagai masalah yang mungkin akan timbul. Yakinlah setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Mentuapun sebenarnya mempunyai tanggapan yang sama terhadap menantu.
Sekiranya anda antara pasangan yang duduk sebumbung dengan mentua, perkara berikut boleh dijadikan panduan untuk membantu mengelakkan masalah daripada berlaku:-
¥ Fahami perbezaan antara anda dengan ibu mentua. Kehidupan berumahtangga tidak hanya memerlukan cinta, tapi juga bagaimana keduanya mampu membiasakan diri dan bergaul dengan orang tua masing-masing. Setiap keluarga memiliki kebiasaan berbeza-beza, perbezaan inilah yang harus difahami dan disesuaikan oleh pasangan yang tinggal serumah dengan mentua.
¥ Hentikan kritikan antara anda dan ibu mentua. Bila mentua atau menantu kerap mengkritik bila salah seorang melakukan kesalahan. Walaupun kesalahannya kecil tapi kritikan mampu menjadi satu masalah yang cukup besar dalam perhubungan terutama jika kritikan tersebut disampaikan pula kepada orang lain. Berhentilah daripada mengkritik dan tidak lagi berkomentar mengenal keburukan masing-masing. Nilaikan apa sesungguhnya sumber permasalahan.
¥ Untuk mengelakkan konflik dengan ibu mentua, hadapilah semua perbuatan dengan santai dan respondlah dengan dengan senyuman serta jaga emosi agar tidak mudah ‘meletup’. Namun jika kelakuan itu sudah melampau batas, cubalah membicarakan sebaik-baiknya. Tegurlah dalam gurauan atau luahkannya dengan cara yang berhemah agar tiada pihak yang terasa.
¥ Komunikasi yang baik dan lancar adalah kunci utama dalam membangunkan hubungan antara mentua dan menantu. Cubalah untuk saling memahami dan menjaga sikap agar konflik boleh dihindari. Selain itu, utamakan acara bersama keluarga, baik keluarga sendiri mahupun pasangan. Selain dapat mengenali mereka, kehadiran anda juga akan meminimumkan pandangan negatif orang lain terhadap anda.
No comments:
Post a Comment