Monday, June 15, 2009

Mentafsir Bahagia...

Tahun ini merupakan tahun ke 13 perkahwinan saya. Satu jangka masa yang agak panjang. Sepanjang 13 tahun hidup bersama suami, tidak dinafikan pelbagai cabaran, onak dan ranjau dihadapi dan ditempuhi. Pelbagai rencam. Tatkala mengecap manisnya kebahagiaan tiba-tiba terasa akan kepahitannya. Tatkala ketawa, tiba-tiba terasa ada sendunya.

Perkahwinan umpama atau laksana sebuah kapal yang sedang berlayar. Satu destinasi perjalanannya jauh. Kadangkala, laut tenang dan kadangkala bergelora atau bergelombang. Justeru itu, disebabkan ketidaktentuan ini, kebijaksanaan dari nakhoda (Suami) dan anak kapal (Isteri) amat diperlukan, perlu saling membantu dan bekerjasama untuk memastikan pelayaran menuju destinasi gemilang.

Setiap pasangan mendambakan kebahagiaan dan pasti apa yang digambarkan difikiran yang indah-indah saja.Apa yang diharapkan oleh setiap wanita tatkala dia membuat keputusan untuk bersedia menerima kehadiran lelaki sebagai suami dalam hidupnya? Sudah pasti dia mengharapkan agar suaminya itu seorang yang penyayang dan bertanggungjawab serta kebahagiaan itu berkekalan hingga ke akhir hayat. Namun, perkahwinan bukan seperti yang kita gambarkan. Perbezaan-perbezaan dan perselisihan-perselisihan pendapat dan tingkahlaku ternyata begitu merengsakan. Terlintas difikiran, terasa perkahwinan sebenarnya hanya menyakitkan dan melemaskan.

...Ya Allah, Ya Rabbi....Anugerahkan kami perkahwinan yang bahagia dan kekal hingga ke akhir hayat... Hindari kami daripada segala bencana dan dugaan. Amin...

No comments:

Post a Comment