Pada hakikatnya kehidupan manusia di dunia adalah cabaran dasn ujian, maknanya kehidupan manusia di dunia ini memang untuk menghadapi ujian dan cabaran. Tiada manusia yang tidak diuji dengan tekanan sama ada di rumah, pejabat atau keluarga, tekanan tetap ada malah tekanan dianggap sebagai lumrah dalam perjuangan dan hidup manusia.
Ujian dan cabaran ini membezakan siapakah di antara mereka yang mempunyai amalan baik dan buruk. Firman Allah dalam surah Al-Mulk, ayat 2 bermaksud: " Dialah yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalannya dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun". Ujian Allah tidak terhad kepada manusia biasa malah para Nabi dan Rasul pun menerima ujian, malah mereka diuji dengan ujian yang lebih hebat daripada manusia biasa. Nabi Ibrahim umpamanya, diuji dengan dicampak ke dalam api, tetapi Nabi Ibrahim tetap yakin serta berserah diri kepada Allah, api yang panas itu Allah jadikan sejuk dan sejahtera untuknya.
Dalam kehidupan masa kin, kita diuji dengan kepelbagaian fahaman dalam agama, harta, pangkat, kuasa, keturunan dan sebagainya. Kini kita mengenalinya sebagai sifat individualistik, materialistik, fahaman liberal, pragmatik dan sebagainya. Dalam kehidupan nyata, ujian yang kita hadapi berbentuk pekerjaan, pangkat, kuasa, kedudukan, gelaran, harta benda, anak pinak, rumah, kereta, makanan, hiburan, keseronokan dan lain-lain. Semuanya adalah ujian. Jika kita berjaya menghadapi ujian ini, segalanya akan menjadi nikmat dan rahmat tetapi sebaliknya jika kita gagal, ia akan menjadi bencana dan bala.
Ingatlah bahawa ujian selalu seiring dengan perjuangan. Oleh itu, ia tetap memerlukan bekalan iman, sabar dan istiqamah. Ujian dijadikan Allah untuk mengukur tahap keimanan seseorang itu kepada Allah dan seluruh ajaranNya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan atau hanya setakat di mulut sahaja. Justeru itu, kita dilarang mengeluh kerana mengeluh akan melemahkan semangat dan menerbitkan keciwa serta putus asa. Firman Allah bermaksud : " Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan ". { surah al-Insyirah:6}.
Yang penting, sering sematkan dalam hati, tanpa masalah atau ujian, tidak akan lahir kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kejayaan dalam hidup. Justeru itu, dekati diri kepada Allah dan mohonlah kebaikan daripadaNya.
No comments:
Post a Comment