Sebenarnya tiada satupun Gaya kepimpinan yang lebih baik. Terdapat tiga jenis kepimpinan yang biasa diamalkan sebagai stail pengurusan, iaitu Kepimpinan Autokratik, Demokratik, dan Laissez-faire.
Soal kepemimpinan dalam sesebuah organisasi sering diperkatakan apabila ianya menampakkan kecacatan ataupun kemajuan. Ini terbukti peranan pucuk pimpinan bagi sesebuah organisasi amat penting, kerana ia melibatkan krediabiliti pemimpin dan perlakuan aktiviti dalam organisasi. Kepemimpinan dalam sesebuah organisasi memerlukan Konsep Perkongsian Penyaluran Budaya Pengurusan secara dua hala. Ringkasnya, kepemimpinan adalah proses merancang, mengorganisasi, memimpin dan mengawal daya usaha anggota-anggota organisasi dan menggunakan sumber-sumber lain organisasi bagi mencapai matlamat-matlamat organisasi yang ditetapkan.
1.1 Keperibadian, Pengalaman Lalu, dan Jangkaan Pemimpin:-
Nilai, latar belakang dan pengalaman pemimpin akan mempengaruhi gaya pilihannya. Seseorang pemimpin yang pernah berjaya melakukan penyeliaan sedikit, menghargai keperluan-keperluan pencapaian hasrat diri para subordinatnya mungkin menggunakan gaya kepimpinan berorientasikan pekerja. Sebaliknya seseorang pemimpin yang tidak mempercayai para subordinatnya atau yang sememangnya suka menguruskan semua aktiviti kerja secara langsung mungkin menggunakan peranan yang lebih bersifat autoriti. Keperibadian atau pengalaman lalu seseorang pemimpin membantu dalam membentuk gaya kepimpinannya tidak bererti bahawa gaya itu tidak boleh diubah. Jangkaan seseorang pengurus juga merupakan satu komponen lagi. Situasi selalunya berlaku sebagaimana yang kita jangkakan (dirujuk sebagai telahan tercapai sendiri). Malah para pemimpin baru yang diberitahu bahawa para subordinat mereka adalah prestasi rendah telah bertindak dengan cara lebih berautoritatif berbanding dengan para pemimpin baru yang diberitahu bahawa para subordinat mereka adalah berprestasi tinggi. Jangkaan para pemimpin tentang gaya apakah yang akan diperlukan supaya para subordinat bekerja dengan efektif mempengaruhi gaya pilihan mereka.
1.2 Jangkaan dan Perilaku Ketua :-
Gaya kepimpinan yang dipersetujui oleh ketua amat penting dalam menentukan orientasi yang akan dipilih. Jika seorang ketua yang menyukai gaya berorientasikan tugas ("Kamu benar-benar dapat menguasai keadaan,tahniah") mungkin menyebabkan pengurus menggunakan gaya jenis berkenaan. Sekiranya ketua menyukai gaya berorientasikan pekerja ("Kamu benar-benar dapat memahami para subordinat kamu, Saya rasa ini suatu perkara penting yang sepatutnya dilakukan oleh seseorang pengurus"), menggalakkan pengurus menggunakan orientasi yang lebih bertumpukan pekerja.
1.3 Ciri-ciri dan Perilaku Subordinat :-
Para subordinat memainkan peranan yang kritis dalam mempengaruhi gaya kepimpinan pemimpin, kerana mereka yang akan dipengaruhi oleh gaya itu. Malah gerak balas para subordinat terhadap kepimpinan pemimpin menentukan bagaimana efektifnya pemimpin itu. Ciri-ciri para subordinat mempengaruhi gaya kepimpinan pemimpin dalam beberapa cara. Pertama; kemahiran dan latihan para subordinat mempengaruhi gaya pilihan pemimpin. Para subordinat yang berkebolehan tinggi biasanya kurang memerlukan pendekatan arahan. Kedua; sikap subordinat juga faktor yang berpengaruh. Sesetengah mereka mungkin lebih menyukai pemimpin yang berautoriti, manakala yang lain mungkin lebih suka diberikan tanggungjawab yang sepenuhnya bagi kerja mereka sendiri.
1.4 Keperluan Tugas :-
Keadaan tanggungjawab kerja para subordinat juga akan mempengaruhi jenis gaya kepimpinan yang digunakan oleh seseorang pemimpin.Kerja-kerja yang memerlukan arahan-arahan secara jitu, berkehendakkan gaya berorientasi tugas berbanding dengan kerja-kerja yang mana tatacara-tatacara operasinya sebahagian besarnya boleh diserahkan kepada anggotanya secara individu.
1.5 Kebudayaan dan Polisi Organisasi :-
Kebudayaan sesebuah organisasi boleh membentuk perilaku pemimpin dan jangkaan para subordinat. Polisi-polisi tertera organisasi juga mempengaruhi gaya kepimpinan seseorang pemimpin. Sebagai contoh; dalam organisasi-organisasi, iklim dan polisi-polisi menggalakkan kepertanggungjawapan secara ketat bagi perbelanjaan dan hasil, para pemimpin biasanya menyelia dan mengawal subordinat mereka dengan rapi.
1.6 Jangkaan dan Perilaku Rakan-rakan Sejawat :-
Rakan-rakan sejawat pemimpin juga merupakan kelompok rujukan yang penting. Pemimpin menjalinkan persahabatan dengan rakan-rakan sejawat mereka di dalam organisasi, dan pendapat rakan-rakan sejawat ini penting buat mereka.
Sekadar Renungan:
" Kepemimpinan yang berjiwa besar,
berbicara tentang idea, gagasan dan wawasan,
Kepemimpinan yang berjiwa sederhana, berbicara tentang pelbagai peristiwa demi peristiwa. Kepemimpinan yang berjiwa kecil, berbicara tentang orang lain dengan sejuta karenahnya.
No comments:
Post a Comment