Sunday, January 16, 2011

Lepaskan Diri Daripada Kekecewaan.

Cuaca tidak selalunya cerah, ada masanya mendung juga melintasi. Begitu juga dengan pekerjaan, ada hari kerja kita cukup sempurna namun ada juga ketikanya kita gagal memberikan persembahan yang terbaik. Secara sendirinya, timbul rasa kecewa terhadap diri sendiri dan ia akan lebih meningkat apabila mendapat tekanan daripada pihak atasan pula. Namun jangan jadikan kekecewaan ini sebagai alasan berputus  asa. Anggap sahaja ia perkara normal dalam kerjaya dan cuba memperbaiki diri untuk menjadi pekerja yang lebih baik.

Setiap yang terjadi pasti mempunyai punca. Jadi tarik nafas sedalam-dalamnya dan luangkan sedikit masa bagi mengenal pasti bagaimana masalah boleh timbul. Sebelum itu anda harus melapangkan hati dan juga minda agar lebih terbuka menerima kenyataan. Jangan terlalu keras kepala dan ego untuk mengakui kesilapan yang dilakukan. Ambil nota akan kecuaian itu dan cuba elakkan kesilapan sama daripada berulang. Jika lebih kreatif, hasilkan cara lain yang lebih anda yakini agar kesilapan dapat dihindari.

Belajar daripada kesilapan. Ungkapan itu perlu dipraktikkan meskipun tidaklah begitu mudah. Usah terus tenggelam dalam kekecewaan sebaliknya mulakan langkah baru yang lebih positif. Jangan biarkan keyakinan diri anda terhakis dek kekecewaan ini. Fikirkan hari-hari mendatang dan bayangkan secara optimis yang anda mampu melaluinya. Anggap apa jua rintangan sebagai satu ujian untuk menjadikan diri anda seseorang yang lebih baik. Pastikan ada sesuatu yang dapat dipelajari pada ketika ini.

Selain keluarga, teman-teman merupakan tempat kita mengadu nasib. Jadi apabila anda dihantui kekecewaan, luahkanlah kepada mereka. Berbual-bual dan berkongsi rasa dengan mereka pasti dapat mengurangkan kekecewaan yang ditanggung. Kata-kata semangat daripada teman-teman akan membantu anda memulihkan keyakinan diri kepada keadaan asal. Dapatkan juga nasihat daripada mereka yang anda percayai kerana ia boleh menjelaskan lagi tindakan yang perlu anda lakukan. Elakkan diri daripada menyendiri dan kesedihan.Bagi mengatasinya, keluar bersama teman-teman dapat mengisi masa lapang anda.

Pekerjaan ada kalanya membuatkan kita berasa tertekan. Itu belum lagi dikira dengan situasi genting yang terpaksa dilalui. Kita harus bijak mengimbangi dunia kerja dan kesihatan diri. Sebagai langkah menjaga kesihatan diri, lakukan senaman ringan jika berkelapangan. Andai mahu lebih konsisten, peruntukan masa untuk mengunjungi pusat kecergasan berdekatan. Cara lainnya, anda boleh melakukan aktiviti sukan lain seperti berenang, bermain badminton atau apa jua jenis sukan diminati. Amalan positif sebegini bukan sahaja menyihatkan tubuh badan malah menjadikan otak lebih cerdas. Hasilnya anda boleh kembali menunjukkan kehebatan diri setelah mengharungi kekecewaan.

No comments:

Post a Comment