Friday, January 22, 2010

Info : Islam, Iman dan Ihsan.




Sekadar percaya akan wujudnya Allah, belum cukup untuk menjadikan seseorang Islam yang sebenar, karena kepercayaan akan wujudnya Allah bukan merupakan suatu prestasi. Lagi pula, kepercayaan ini sudah ada dengan sendirinya tertanam di dalam hati sanubari setiap manusia sejak lahir. Walaupun, kadang-kadang kepercayaan ini seolah-olah tertutup dan tidak digambarkan, namun dalam keadaan tertentu ia muncul dengan tiba-tiba. Misalnya, di dalam keadaan gembira, orang sering melupakan Allah, bahkan sebahagian orang dengan sombong berani mengatakan: “tidak ada Tuhan”, namun dalam keadaan yang kritis, ketika sedang diancam bahaya maut, atau sedang berlayar di tengah lautan yang dilanda badai dan taufan orang ini dengan khusyu’nya lantas berdoa memohon keselamatan kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Sebagai orang Islam, ramai yang memahami mengenai Rukun Islam dan Rukun Iman, namun sering lupa perbuatan ihsan. Ihsan ini secara tidak langsung memperkukuhkan akidah kita terhadap hubungan dengan Allah SWT, manusia serta hamba Allah yang lain. Sebagai umat Islam kita sentiasa sedar dan yakin bahawa ada 'kuasa besar' yang sentiasa memerhati kita.

Ramai yang melaksanakan segala ajaran dalam Rukun Islam dan Iman tetapi lupa dengan tanggungjawab mereka mengenai ihsan.  Ini termasuk hubungan dengan keluarga, saudara-mara, sahabat dan jiran. Adakalanya kita lupa bab hubungan ini sehingga perbuatan kita ini tidak disukai oleh Allah. Oleh itu, untuk menjadi umat Islam sejati, kita perlu melaksanakan ketiga-tiga pokok ajaran Islam ini agar kehidupan kita sentiasa mendapat rahmat dan sejahtera di dunia dan di akhirat.


Dalam ertikata lain, janganlah kita ingat bahawa dengan hanya melaksanakan Rukun Islam dan Iman tanpa mempedulikan Ihsan, kita sudah menjalankan tugas sebagai hamba yang taat kepada penciptanya. Perbaiki hubungan kita dengan manusia lain. Oleh kerana terlupa dengan ihsan, kita dimurkai Allah SWT atau mungkin tidak disenangi sepanjang masa.

Sama-samalah kita muhasabah diri.

No comments:

Post a Comment