Tuesday, January 12, 2010

Kalimah " Allah ".




Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik, Herald - The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya sememangnya mencetuskan polemik. Jika tidak ditangani dengan segera dan berhikmah, pasti akan mendatangkan 'huru-hara' dalam negara. Jangan sekali-kali mempolitikkan isu ini, kerana ia boleh mencetuskan keadaan atau suasana yang lebih teruk dan buruk terutama kepada umat Islam. Berfikirlah secara rasional dan penuh hikmah. Pepatah Melayu jelas menyatakan : " Ikut rasa binasa, ikut hati mati ".

Hakim mahkamah berkenaan, Datuk Lau Bee Lan membuat keputusan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam terbitan akhbar berkenaan atas alasan ia berdasarkan hak di dalam perlembagaan. Sedangkan termaktub antara larangan dikeluarkan kerajaan Malaysia menerusi keputusan Kabinet bertarikh 16 Mei 1986 bagi mana-mana agama selain Islam menggunakan empat perkataan iaitu Allah, solat, Baitullah dan Kaabah.

Di Sarawak, penggunaan kalimah 'Allah' oleh agama Kristian sudah agak lama. Namun tidak 'mencetuskan' kontroversi seperti hari ini.  Persoalannya, kenapa perlu ditukar kepada kalimah 'Allah'? Maknanya agama Islam adalah 'agama' yang benar dan lebih baik, sehinggakan penggunaan kalimah 'Allah' diguna pakai (Cuma hati yang menidak). Atau ada agenda di sebaliknya.? Situasi ini menimbulkan kesangsian kerana agama Kristian di negara ini sejak awal lagi tidak pernah menggunakan kalimah Allah sebagai merujuk kepada tuhan mereka.

Konsep tauhid yang dipegang teguh umat Islam pasti tercalar kerana terdapat perbezaan nyata antara Allah yang dipercayai Islam dan Kristian. "Konsep syirik Yahudi dan Kristian jauh berbeza dengan pengertian akidah tauhid. Ini akan mengelirukan umat Islam kerana konsep yang diyakini hanya Allah sahaja "Yang Maha Esa", iaitu  tidak mempunyai anak dan tidak pula diperanakkan.

Dalam al-Quran, tuhan adalah nama am. Sementara Allah adalah nama khas. Dalam syahadah, kita menyebut 'Tiada Tuhan melainkan Allah' dan tidak pula kita menyebut 'Tiada Tuhan melainkan Tuhan'. "Bagi penganut Kristian, mereka tidak ada nama khusus bagi tuhan mereka, lalu mereka beranggapan orang Islam juga sama seperti mereka iaitu tiada nama khusus bagi tuhan. Jadi, jangan pula terperangkap, kerana bimbang nanti kita beranggapan Tuhan tidak mempunyai nama.

Kita harus  peka terhadap isu ini. Ia boleh memberikan kita kesedaran terutama kepada semangat perpaduan umat Islam yang kian luntur. Elok rasanya semua pihak kembali bersatu dan bangkit semula daripada kelemahan lalu. Sebelum ini, umat Islam bertelagah dalam hal politik yang tidak memberikan keuntungan kepada umat sehinggakan lupa kepada soal perpaduan.


Dalam mendepani isu seumpama ini, amat mustahak kita tanamkan akidah Islamiah bermula dari awal. Justeru, ia berbalik kepada faktor penghayatan berkenaan konsep akidah kita sebagai umat Islam iaitu percaya dengan sebenar-benarnya akan keesaan Allah,"

No comments:

Post a Comment