Thursday, February 23, 2012

Tidak Perlu Malu Akui Kekurangan Diri

Bismillahirrahmanirrahim.............

Memasuki bulam Mac ini bermakna hampir suku tahun kita berada dalam tahun 2012. Betapa masa bergerak begitu cepat hingga tidak terasa bagai baru semalam kita meraikan tahun baru-Masihi dan Hijrah. Namun, kita tidak pula dapat merangkulnya kembali kerana yang berlalu akan terus berlalu dan kita perlu melangkah ke hadapan.

Barangkali, kita senang terbawa-bawa oleh emosi dan dijentik nostalgia lalu. Manisnya kenangan masa silam tetap kekal dalam memori, jelas terbayang di mata. Sayang sekali, kita hanya mampu mengenangnya namun tidak pula dapat diulang kembali. Begitu juga, pasti ada kekesalan atau kesilapan yang ingin kita tebus dek kealpaan masa lalu. Sementara sisa umur masih terbaki, kita diberi kesempatan untuk memperbaiki atau menampung kekurangan yang melingkari diri.

Misalnya ada yang sanggup belajar semula kerana dahulu sewaktu masih muda tidak berkesempatan lantaran kekangan waktu dan kesibukan. Bukan sahaja kembali mendalami ilmu dunia tetapi juga ilmu sebagai bekalan untuk dibawa apabila menuju ke dunia yang kekal abadi nanti.

Peluang dan ruang untuk belajar sentiasa terbuka dalam zaman teknologi maklumat hari ini. Mencari pengetahuan tidak sesukar dahulu kerana akses  terhadap ilmu begitu mudah, cepat, dan dapat dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Mencari guru yang bertauliah juga bukan masalah besar. Pokok pangkalnya kemahuan diri sendiri.

Semoga kita menjadi insan yang sentiasa dahaga akan ilmu dan berlumba-lumba untuk meningkatkan pengetahuan serta maklumat. Faktor usaia dan kemampuan fizikal bukan alasan. Tidak perlu berasa malu walaupun terpaksa duduk sekelas belajar dengan golongan yang lebih muda.

Mudah-mudahan sedikit ilmu yang dapat dimanfaatkan akan menjadi aset berharga yang akan kita tinggalkan setelah kita tiada nanti.

Salam manis......

No comments:

Post a Comment