Cinta, rasa yang ada dalam hati yang tidak boleh disukat-sukat. Hati yang merasainya, sehingga boleh terhibur atau terseksa kerananya. Datangnya dari dua sumber, iaitu dari nafsu dan dari Allah s.w.t. Cinta yang dialirkan oleh Allah ke dalam hati adalah cinta yang benar, suci dan murni. Cinta ini bukan diukur ikut pandangan mata manusia tapi ikut pandangan Allah s.w.t.
Cinta yang diilhamkan oleh nafsu berlaku bila hati kotor, sering melakukan dosa dan tidak pula bertaubat. Sifat-sifat keji seperti sombong, riak, gila pujian, hasad dengki dan lain-lain sifat jahat bersarang dalam hati tidak terkikis, maka ketika itu nafsulah yang akan menguasai dalam diri sehingga apa saja yang dilakukan mengikut arahan nafsu. Termasuk dalam meletakkan cinta, ukuran yang diberi dan sebab jatuh cinta pun ikut selera nafsu.
Lelaki akan jatuh cinta pada wanita yang mendedahkan kecantikannya hingga tubuh badan wanita itu sudah tidak terlindung lagi untuk mengisi keinginan nafsu seks lelaki kepada wanita itu. Begitu juga wanita jatuh cinta sebab lelaki itu kaya, handsome, bergaya, mempunyai jawatan tinggi dan lain-lain keistimewaan yang disenangi oleh nafsu. Jelasnya, cinta yang datang dari nafsu ditujukan untuk kesenangan nafsu semata-mata.
Bila bertaut dua cinta yang dilahirkan oleh nafsu yang punya kepentingan masing-masing maka berlangsunglah babak-babak melahirkan rasa cinta. Dari telefon. sms, keluar makan-makan, berdua-duaan di tempat sunyi lagi gelap dan sering di dalam keadaan rindu-merindui di antara satu sama lain. Ketika itu tidak ada lain dalam ingatan melainkan orang yang dicintai saja. Sehari tidak berjumpa atau tidak telefon @ sms, rasa macam berpisah setahun. Sudah tidak malu pada orang sekeliling, apa lagi tidak takut pada Allah yang Maha Melihat. Lantaran itu sanggup buat apa saja untuk membuktikan kecintaan pada pasangan masing-masing.
Yang wanita pula sanggup serah maruah diri kononnya untuk buktikan cinta pada lelaki. Yang lelaki pula rela bergolok bergadai untuk memberikan kemewahan pada wanita sebagai bukti cintanya itu. Akhirnya bila yang wanita telah berbadan dua, lelaki serta merta hilang cinta. Habis manis sepah dibuang. Kalau pada lelaki pula, ada duit abang sayang. Tidak ada duit abang melayang. Kalau pada isteri pula, isteri seorang yang paling disayangi dan apabila hidup sudah bermadu, kasih pada suami akan hilang.
Itulah falsafah cinta nafsu yang melulu. Cintanya hanya selagi nafsu ada kepentingan. Cinta inilah yang banyak melanda orang muda yang dilambung asmara.. Hingga sanggup buat apa saja, sekalipun bunuh diri, jika kecewa dalam bercinta. Walhal sedap dan indahnya hanya untuk seketika waktu saja. Sakitnya yang paling lama. Cinta nafsu kalaupun boleh bersambung sampai membina rumahtangga ia tetap akan menyeksa. Kerana suami hanya akan cinta pada isteri selagi isteri masih muda , seksi dan manja. Yakni selagi nafsu dapat disenangkan. Begitu juga dengan siisteri. Cintakan suami selagi suami boleh membahagiakan dan menunaikan segala keinginan nafsu. selagi suami kasih dan sayang padanya. Andainya suami hilang kuasa, jatuh miskin, kahwin baru atau masuk penjara serta merta hilang cinta dan selera pada suami. Berbakul-bakullah perasaan benci pada suami yang pada suatu masa dulunya amat dipuji tinggi melangit.
Begitu mudah cinta bertukar cinta bertukar jadi benci. Akibatnya berlakulah pergaduhan, masam muka, kata-mengata, ungkit-mengungkit, suami pula tidak pedulikan isteri dan isteri pun hilang hormat pada suami. Rumahtangga panas dan menunggu saat untuk ditalqinkan ke kubur penceraian. Ketika itu tidak ada lagi pujuk rayu, cumbuan mesra sebagaimana waktu mula cinta tengah membara. Itulah gara-gara cinta nafsu yang amat menyesatkan manusia di muka bumi ini.
" Jika kau berikan hatimu ataupun cintamu pada manusia nescaya dia akan merobek-robekkannya. Tetapi kalau hati yang pecah itu diberikan kepada Allah nescaya dicantum-cantumkanNya. Ertinya cinta dengan Allah pasti berbalas. Dan Allah tidak akan membiarkan orang yang dicintaiNya menderita di akhirat."
Salam!! Salam perkenalan... topik bagus dbincangkan..apa-apa pun sebelum ambil tindakan tepuk dada tanya IMAN.. InsyAllah tak jadi yang bukan-bukan. Wassalam.
ReplyDelete