Thursday, June 17, 2010

Hak Isteri...dapat layanan sebaiknya.


Suatu ketika, ramai isteri datang menemui isteri Rasulullah s.a.w. mengadu mengenai layanan buruk yang diterima daripada suami mereka. Apabila Rasulullah mengetahuinya, Baginda pun bersabda maksudnya : "Sesungguhnya ramai wanita datang menemui isteriku mengadu mengenai suami mereka. Sesungguhnya suami kepada wanita itu bukanlah orang yang terbaik daripada kalangan kamu." (Hadis riwayat Abu Daud).

Tidak dapat dinafikan, sebagai manusia masing-masing ada kelemhan dan kekurangan sama ada isteri mahupun suami. Cara terbaik untuk mengatasinya ialah dengan bersabar dan tidak membesar-besarkan kelemahan itu.

Firman Allah bermaksud : " Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu) dengan cara yang  baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci kepada mereka (kerana tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya) kerna boleh jadi  kamu benci sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu." (Surah An-nisa' : ayat 19).

Diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud :"Mana-mana lelaki yang bersabar di atas keburukan perangai isterinya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Ayyub kerana bersabar di atas  bala yang menimpanya. Dan mana-mana isteri yang bersabar di atas keburukan perangai suaminya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Asiah binti Muzahim, isteri Firaun."

Sebagai kesimpulan, sama-sama kita renungi kisah seorang lelaki yang mengunjungi Umar bin Khattab untuk mengadu mengenai perangai isterinya. Dia berdiri di luar pintu menunggu Umar keluar. Tiba-tiba dia terdengar isteri Umar sedang meleterinya, sedangkan Umar diam tidak menjawab walau sepatah pun.

Lelaki itu beredar sambil berkata kepada dirinya sendiri : "Kalau beginilah keadaan Umar, seorang Amirulmukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana dengan aku?". Sedang itu Umar keluar dari rumahnya dan melihat lelaki tadi beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya.

Lelaki itu berkata : "Wahai Amirulmukminin, aku datang untuk mengadu mengenai perangai isteriku yang buruk dan suka berleter kepadaku. Tadi aku mendengar isteri anda pun begitu juga. Lalu aku berkata kepada diriku : " Kalau begini keadaan Amirulmukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?".

Umar berkata kepadanya : "Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atas aku. "Sesungguhnya dia memasak makanan aku, mengadun roti untuk aku, membasuh pakaian aku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. "Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan karenahnya.

Lelaki itu menjawab : "Wahai Amirulmukminin, demikian jugalah isteriku." Umar pun berkata kepadanya : "Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya karenahnya itu tidak lama, hanya seketika saja."

No comments:

Post a Comment