Sunday, February 6, 2011

Teruskan bekerja.

Teruskan bekerja, agar kedudukan kita mulia...!

Zaman memang sedang susah. Harga barangan keperluan terus melambung tinggi setiap hari. Sementara gaji tidak juga bertambah setiap bulan. Ribuan  penuntut universiti bertambah setiap tahun, namun sebahagian besar syarikat 'kurang ramah' dengan penuntut yang baru lepas pengajian. Diperlukan pekerja berpengalaman atau sekurang-kurangnya pernah bekerja selama dua tahun.

Kita terasa dizalimi oleh situasi. Mana yang hidup susah terus menghadapi kegetiran sedangkan ada orang bermewah-mewah untuk perkara yang tiada bermanfaat. Ada orang sanggup berbelanja besar untuk majlis  kahwin gilang gemilang, ada pula yang berhabis duit untuk berkempen bagi mencapai hasrat tidak kira dalam perniagaan atau politik.  Lebih menyedihkan bila ada yang rela menaja puluhan ribu ringgit hanya untuk biaya pertunjukan bunga api.

Ini memang zamam susah. Namun semua kesusahan itu hendaklah terus menjadikan kita bersemangat berusaha dan tidak mudah menyerah. Kegigihan mencari nafkah hendaklah tetap terjaga, jangan sampai kendur. Ketidakadilan sosial atau politik, jangan menyebabkan kita buta dan gelap mata.

Kerana itu marilah kita terus bekerja selagi peluang pekerjaan itu ada dan kita masih kuat melakukannya. Kerana dalam agama, bekerja bukan semata-mata kepentingan memenuhi keperluan, lebih daripada itu, ia mengangkat darjat kita di mata manusia mahupun di sisi-Nya. Dalam Islam, orang yang bekerja adalah orang yang memiliki harga diri dan  kemuliaan.

Dalam salah satu hadis, baginda Rasululllah s.a.w. menjelaskan, "Seorang yang membawa tambang lalu pergi memcari dan mengumpulkan kayu bakar lantas di bawanya ke pasar untuk dijual dan wangnya digunakan untuk mencukupi keperluan dan nafkah dirinya maka lebih baik daripada seorang yang meminta-minta kepada orang-orang yang terkadang diberi dan kadang ditolak."

Semua bentuk usaha yang dilakukan dengan membanting tulang dan pantang menyerah mendorong semangat berkontraksi dengan otot tubuh hingga kesihatan kita pun terjaga dan kekuatan semakin bertambah. Secara fizikal, orang yang kuat bekerja menjadi peribadi yang berkuasa, jiwa penuh rasa percaya diri dan sifat mandiri. Orang bekerja tidak bergantung dengan orang lain.

Mari kita asah iman agar lebih dinamis dan produktif. Sempurnakan kecintaan kita kepada Allah dengan semangat kuat untuk menjemput fadilah atau rezeki-Nya yang dihamparkan begitu luas di penjuru bumi. Singsingkan lengan baju, setelah kita bertakarrub kepada-Nya. Beginilah yang dikatakan iman yang potensi, aktif lagi produktif.

Marilah kita terus bekerja, bekerja dan bekerja. Tidak kira apa bentuk pekerjaannya, selagi dalam batas syariat atau tidak diharamkan-Nya, lakukanlah dengan kesungguhan. Jika itu kita lakukan, Insya Allah hidup kita menjadi lebih mulia dan dihormati.

No comments:

Post a Comment