Monday, May 11, 2009

Hak menghormati Ibu bapa

....bulan Mei ini banyak keistimewaannya: ada hari guru, hari ibu, hari bapa, juga hari jadi saya ( jgn mare ) dll. Coretan ini sempena hari ibu dan bapa....buat renungan bersama;

Ayah dan ibu adalah permulaan kita di dunia ini. Hak menghormati dan mentaati ibu bapa adalah satu ibadah yang mesti dilakukan demi mentauhidkan Allah. Namun pelbagai kisah didengar berkenaan ibu bapa yang dipinggirkan anak-anak. Ada antaranya dihantar ke rumah orang tua, tidak kurang juga yang hidup sendiri dan melarat. Di samping itu, anak-anak jarang, malah ada yang langsung tidak datang menjenguk. Membelakang ibu bapa termasuk dalam hal-hal berkaitan wali perkahwinan, menjadikan ibu bapa sebagai 'hamba' mereka dan sebagainya.

Kita dituntut untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa kita, di antaranya;

# berbakti kepada mereka.

# melaksanakan hak mereka dengan ikhlas.

# mentaati perintah mereka.

# menjauhi perkara yang boleh menyakiti hati mereka.

# melakukan amalan yang diredhainya.

Berbakti kepada ibu bapa adalah wajib selagi mereka tidak mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Oleh itu, mentaati ibu bapa adalah wajib dan seutama-utama jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Menderhakai mereka adalah sebesar-besar dosa. Hak mereka berlipat ganda dibandingkan dengan orang lain. Oleh itu, tanggungjawab memelihara mereka sangat besar. Pendapatnya mesti dihormati. Siapa lagi yang berhak berbakti kepada mereka kalau bukan anaknya.

Sabda Rasullah S.A.W yang bermaksud:

" Anak itu belum dapat lagi membalas ( jasa ) orang tuanya sehinggalah dia mendapatnya sebagai hamba lalu dibelinya dan dimerdekakannya ( Riwayat Muslim & Abu Daud )

...setiap hari adalah hari ibu dan bapa. Sebab itu kita dituntut untuk berdoa untuk kedua ibu bapa kita setiap hari.

Gila Kerja

Asyik kerja...., kerja......, kerja......... Rungutan yang sering diluahkan oleh pasangan, terutama jika pasangan memegang jawatan tinggi. Komitmen lebih diberi sepenuhnya kepada kerja sehingga mengabaikan pasangan dan keluarga.

Tanda-tanda 'gila kerja':

# Bekerja lebih daripada 40 jam seminggu.

# Tetap bekerja walaupun hari cuti.

# Kerap membawa kerja di pejabat ke rumah.

# Sukar tidur.

# Jarang ketawa.

# Tidak lagi merasai kepuasan seks bersama dengan pasangan.

# Mudah marah.

# Tidak punya waktu bersantai, bersenam atau melakukan hobi.

# Pola makan tidak teratur.

# Terasing dari rakan-rakan luar pejabat.

# Lupa ulang tahun pasangan atau anak.

# Tubuh di rumah tapi fikiran di tempat kerja.

# Terasa jauh dari kesenangan hidup seperti jarang menikmati makanan enak, kurang melakukan seks, hubungan anak-anak menjauh dan tiada sahabat.

*** muhasabah diri adakah kita tergolong dalam golongan 'gila kerja'. Jika ia, berubahlah demi kebahagiaan bersama.

Friday, May 8, 2009

Reaksi bila ditanya tentang UMUR..

Umur mungkin menjadi satu perkara yang peribadi atau sensitif bila ditanya. Ada yang sudi berkongsi, namun ada juga yang tidak. Ada pula yang berpendapat ia sesuatu yang lumrah dan tidak perlu diselindungi. Lagipun soal berapa umur kita bukanlah sesuatu yang terlalu peribadi dan bukanlah rahsia untuk dikongsikan.

Secara peribadi saya tidak kisah berterus terang tentang umur sebab saya bangga dengan umur. Apabila berterus terang, kita lebih berkeyakinan dan tanda bersyukur kerana dipanjangkan usia. Umur bukanlah persoalannya tetapi bagaimana kita bijak ‘membawa diri’.

……Alhamdulillah, saya masih dipanjangkan Allah usia dan masih berkesempatan menikmati hidup ini serta masih diberi peluang untuk menghirup udaraNya yang segar.

….Hari ini, genap usiaku ’43 tahun’. So Happy Birthday to me’. Terima kasih di atas ucapan dan ingatan daripada teman-teman yang saya terima melalui ‘ sms ‘. Untuk adikku ( labu ) tqvm atas hadiah 2. Kak hargainya.

“Ya Allah,Ya Tuhanku, panjangkan umurku, murahkan rezekiku, dan matikan aku dalam iman dan Islam. Amin……..

Thursday, May 7, 2009

Lelaki perlu tahu..........?

Sihat asas 'kebahagiaan', namun kesakitan boleh merapatkan hubungan dengan pasangan. Saya ingin berkongsi beberapa info mengenal kesihatan lelaki. Jadikanya panduan untuk menjana kehidupan yang bahagia bersama keluarga tersayang.

Labu elak mandul:

Beta karotena yang dikatakan dapat bertindak sebagai agen antioksidan yang penting dalam memperlahankan proses penuaan serta membaiki sel badan yang rosak. Biji labu kaya dengan galian besi dan magnesium yang sangat diperlukan untuk kesihatan lelaki, terutama melibatkan pembesaran pada kalenjar prostat.Malah dikatakan boleh menyebabkan kemandulan.

#...banyakkan memakan buah labu.

Khasiat bawang putih untuk lelaki:

Bawang putih bukan sahaja boleh memanaskan tubuh dan mencairkan kahak, ia juga amat elok dimakan oleh kaum lelaki kerana rasa panasnya dapat menggalakkan sperma.

#...boleh le cuba......baru tau.

Strok juga serang lelaki muda:

Secara teorinya, strok boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Strok terjadi apabila aliran darah ke otak terhenti disebabkan oleh pembuluh darah yang tersumbat ( iskemik ) serta pembuluh darah pecah ( hemoragik ). Pembuluh darah ii tersumbat akibat pengumpulan lemak yang mengandungi kolestrol yang dipanggil plak. Tekanan darah tinggi adalah faktor utama golongan muda diserang strok.

#......amalkan hidup sihat.

Tidur dan diabetes:

Satu kajian menunjukkan lelaki yang tidur lebih 8 jam sehari akan berdepan risiko untuk mendapatkan diabetes 3 kali ganda berbanding dengan mereka yang hanya tidur 6 hingga 8 jam sehari.

#......amalkan tidur berkualiti.

Coklat pahit baik untuk jantung:

Coklat dikatakan mengandungi fitokimia yang meningkatkan peredaran darah dan kandungan endorphin iaitu bahan kimia yang meningkatkan perasaan gembira dan daya rangsangan seks dan mencegah penyakit jantung yang rata-ratanya adalah lelaki.

#...apa kata tukarkan rokok kepada coklat pahit kerana ia lebih berkhasiat.

Lelaki lebih awet muda:

Ada fakta menyatakan lelaki lebih awet muda kerana kulit mereka lebih tebal berbanding wanita. Kulit wanita nipis mudah terdedah kepada matahari dan menyebabkan ia mudah berkedut dan nampak tua. Malah darah lelaki dikatakan lebih pekat bermakna kandungan oksigen dan tenaga mereka juga lebih tinggi.

#.....amalkan membaca 'selawat Nabi' semasa mencuci muka selepas bangun dari tidur dan sebelum tidur pada waktu malam. Insya Allah wajah akan tampak muda.

Tip tingkatkan Daya Ingatan.

'Janji pukul 0900 pagi, tapi datang pukul 1100 pagi', ' sori terlupa banyak sangat kerja tadi'. Asyik terlupa? Lupa merupakan masalah yang biasa dihadapi oleh semua orang tidak kira muda ataupun tua, terutamanya individu yang sibuk. Terdapat banyak faktor yang menjadi punca manusia lupa, di antaranya faktor pemahaman, persekitaran dan tekanan. Amalkan tip ini, insya Allah mungkin dapat membantu:-

1. Baca al-Quran sekurang-kurangnya selembar sehari. Ia boleh menenangkan jiwa, perasaan dan menajamkan minda.

2. Tidur yang cukup , penting untuk menjana tenaga. Jika badan letih, akan mengganggu maklumat dan data yang disimpan oleh otak serta menjelaskan kemampuan untuk mempelajari perkara baru.

3. Kawal tekanan dengan membaca al-Quran, meditasi, rawatan aroma terapi, yoga dan sebagainya.

4. Hati-hati dengan vitamin atau makanan tambahan kerana mungkin ada yang tidak sesuai untuk kita.

5. Bersenam untuk menggerakkan otot dan melancarkan peredaran darah ke otak.

6. Elakkan kemurungan, ubati kemurungan dengan berjumpa pakar psikiatri atau terapi yang lain.

7. Awasi pengambilan ubat kerana ada ubat tertentu yang boleh menjejaskan daya ingatan.

8. Belajar benda baru seperti kemahiran atau bahasa.

9. Cergaskan minda dengan permainan yang mencabar.

10. Jadikan amalan membaca menjadi amalan wajib seharian.

11. Katakan dengan kuat dan berulangkali sehingga maklumat lekat di kepala untuk tingkatkan daya ingatan mengenai sesuatu maklumat atau fakta.

12. Belajar untuk fokus pada sesuatu perkara.

13. Asah minda dengan bermain angka seperti mengingati nombor telefon atau hubungkaitkan angka dengan sesuatu.

### Anda mungkin akan berasa keciwa sekiranya anda gagal, tetapi anda pasti binasa sekiranya tidak mencuba untuk melakukannya.

Wednesday, May 6, 2009

Konsep 5 " S "

Sekadar ingin berkongsi maklumat berkaitan konsep yang diamalkan oleh pekerja di Jepun yang nyata memberikan kesan kepada kecemerlangan mereka dalam melaksanakan tugas.

1. SEIRI ( Sisih ) :

Memilih keluar benda-benda yang diperlukan dan dibuangkan.

# Tentukan benda-benda yang hendak dilupuskan, disimpan atau diperbaiki.

# Dapatkan kebenaran dari pihak atasan sebelum membuat pelupusan.

2. SEITON ( Susun ) :

Menyusun segala benda yang diperlukan supaya mudah dicapai untuk digunakan.

# Mengetahui atau menganalisa masalah yang dihadapi apabila mengatur barang.

# Menetapkan peraturan penyimpanan katalog.

# Pamerkan barang dengan terang dan jelas untuk elakkan kekeliruan.

3. SEISO ( Sapu ) :

Membersihkan tempat kerja dan peralatan.

# Mengambil daya usaha untuk mengekalkan kebersihan tempat kerja anda.

# Menghalang sesiapa sahaja yang membuat tempat anda kotor.

# Pantang melihat tempat kerja kotor.

4. SEIKETSU ( Seragam ) :

Sentiasa mengekalkan mutu pencapaian yang tinggi dalam " House Keeping " dan organisasi tempat kerja anda.

# Pastikan seiri, seiso dipraktikkan dengan sewajarnya.

# Elakkan arahan-arahan yang mengelirukan.

# Utamakan keseragaman dalam mempraktikkan seiri, seiso dan seiton.

5. SHITSUKE ( Sentiasa Amalkan ) :

Melatih pekerja untuk mengekalkan tahap disiplin dan etika kerja yang tinggi.

# Sentiasa menyemak dan memeriksa tempat kerja.

# Melatih diri mematuhi peraturan dan undang-undang organisasi.

# Tunjukkan teladan yang baik.

*** Semoga ia boleh dijadikan panduan bersama ke arah menjadi pekerja yang cemerlang dan bertanggungjawab.

10 peranan untuk jadi guru cemerlang.

Kecemerlangan sebenar seorang guru tidak boleh diukur pada keupayaan dan kemampuan mengajar semata-mata kerana fungsi sebenar guru bukan setakat melahirkan pelajar yang mempunyai pencapaian terbaik dan cemerlang dari segi inteleknya, tetapi juga merangkumi segenap aspek kehidupan insan iaitu jasmani, emosi, dan rohaninya dan berakhlak cemerlang ( Hasrat yang tersirat di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ). Berikut 10 peranan yang perlu dilaksanakan guru untuk menjadi orang yang cemerlang :-

1.Guru sebagai PENDAKWAH :

Guru bertanggungjawab bukan saja mengajar dan menyampaikan ilmu kepada pelajarnya, tetapi juga membentuk mereka menjadi insan sehingga boleh berperanan mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah manusia melakukan perkara yang tidak baik.

2.Guru sebagai PENDIDIK :

Guru perlu melaksanakan tugas asasinya untuk membentuk pelajar menjadi insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani an intelek seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebenarnya mendidik bukanlah tugas guru semata-mata, sebaliknya setiap orang mesti menjadi pendidik.

3.Guru sebagai PEMIMPIN :

Setiap guru bertanggungjawab memberi bimbingan dan pimpinan kepada anak didiknya. Guru adalah pemimpin sekurang-kurangnya pada peringkat kelasnya. Jika pengetua adalah pemimpin di sekolah. Guru yang akan melahirkan pemimpin. Oleh itu, guru yang tidak boleh menjadi pemimpin yang baik, tidak boleh menjadi guru yang baik.

4.Guru sebagai PEKERJA :

Guru perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya seperti diamanahkan oleh majikannya. Dengan itu, guru mesti patuh pada arahan yang diberikan kepadanya.

5.Guru sebagai PENGUSAHA :

Sama seperti seorang pengusaha, guru juga perlu memiliki sifat inovatif dan kreatif supaya hasil usahanya mengajar dan mendidik pelajar mencapai keuntungan yang diharapkan. Keuntungan di sini bukan keuntungan dalam bentuk kebendaan, sebaliknya kejayaannya melahirkan modal insan yang mempunyai nilai tambah. Dengan itu,pelajar berkenaan akan menjadi modal insan yang berguna untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Untuk mencapai matlamat ini, guru mestilah bersedia dan sanggup memberikan kepada pelajarnya ilmu dan kemahiran lebih daripada apa yang ada dalam sukatan pelajaran.

6.Guru sebagai PROFESIONAL :

Guru mestilah melaksanakan tugasnya dengan secara profesional dengan mengamalkan sifat seperti berdisiplin, menepati waktu dan tidak pilih kasih terhadap pelajarnya.

7.Guru sebagai PENGIKUT :

Setiap guru bukan saja perlu menjadi pemimpin tetapi juga pengikut yang baik. Malah ada cerdik pandai yang menyatakan bahawa mereka yang tidak boleh menjadi pengikut, tidak boleh menjadi pemimpin yang baik. Sebagai pengikut, guru mesti menerima dan melaksanakan arahan ketuanya ( Pengetua ).

8.Guru sebagai PEJUANG :

Guru mesti bekerja dan melaksanakan tugas serta tanggungjawabnya dengan bersungguh-sungguh, bukan bersikap sambil lewa serta melepaskan batuk di tangga. Malah guru mesti mempunyai agenda yang jelas dalam melaksanakan tugas, tetapi bukan agenda peribadi, sebaliknya sentiasa meletakkan keutamaan bertugas untuk mendidik anak bangsanya menjadi orang yang berilmu serta berguna kepada masyarakat dan negara.

9.Guru sebagai PENYOKONG :

Guru mesti memberi sokongan kepada perkara yang mendatangkan faedah dan manfaat kepada pelajarnya. Bagaimanapun, sokongan itu mestilah berdasarkan kebenaran dan berprinsip, bukan sokongan secara membuta-tuli.

10.Guru sebagai orang yang PRODUKTIF :

Guru perlu sentiasa menggunakan masa dan tenaganya dengan cara yang berkesan sama ada sewaktu di sekolah mahupun selepas waktu persekolahan. Sehubungan itu, guru tidak boleh beranggapan tugasnya pergi dan balik dari sekolah sebagai rutin harian yang tidak mempunyai sebarang makna atau sekadar untuk memenuhi arahan dan tanggungjawab yang diberikan, sebaliknya ia perlu sentiasa berusaha menggunakan masa dan tenaganya bagi kebaikan pelajar, sekolah dan masyarakatnya. Tiga perkara asas yang perlu dimiliki oleh guru untuk membolehkan mereka memahami dan melaksanakan 10 peranan di atas:-

1. Memiliki ilmu : Guru mesti menguasai ilmu dalam bidang dan subjek yang diajarnya. Malah guru perlu sentiasa meningkatkan ilmunya dalam bidang dan subjek berkenaan supaya ilmu dan pengetahuannya seiring dengan perkembangan semasa.

2. Memiliki kemahiran : Untuk menjadi orang yang cekap dan berkesan, guru perlu memiliki kemahiran yang diperlukan seperti kemahiran menyampai dan kemahiran berkomunikasi.

3. Memiliki sikap yang betul : Guru perlu memiliki sikap dan kefahaman yang betul mengenai tugas dan tanggungjawabnya serta melaksanakannya dengan sepenuh hati, bukan bersikap sambil lewa. Ia termasuk membuat persediaan dan persiapan untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar di dalam kelas.

***Dalam konteks guru , guru yang cemerlang adalah yang memperlihatkan kemahiran, pengetahuan, kesungguhan dan keghairahan terhadap pelajar, sekolah dan masyarakat melebihi standard semasa yang ada. Guru yang berupaya menghasilkan pelajar yang luar biasa.

# Sekadar renungan sempena Hari Guru yang bakal tiba.