Monday, August 9, 2010

Raikan kedatangan Ramadhan Al-Mubarak.


Assalamualaikum....
Ramadhan dijangka akan bermula pada 11 Ogos iaitu pada hari rabu ini. Bagi umat Islam, kedatangan bulan Ramadhan sememangnya dinantikan. Bulan yang penuh keberkatan dan cukup istimewa. Bagi yang mengetahui akan fadilatnya, tentu berlumba-lumba untuk memperbanyakkan amalan-amalan demi merebut pahala yang berlipat kali ganda. Kata orang, rugi kalau tak merebut peluang yang datang cuma setahun sekali ini.

Bagi golongan wanita dan ibu-ibu, tentunya aktiviti harian tetap berjalan seperti biasa, cuma ada sedikit perubahan, tak perlulah nak siapkan makan pagi dan tengahari (jika tak ada anak yang tak puasa). Namun, rutin lain masih berjalan seperti biasa. Masih perlu ke pasar pada waktu pagi  untuk membeli barang basah untuk menyediakan juadah untuk berbuka. Biasalah, bulan puasa mestilah nak menyediakan menu yang lebih istimewa sedikit buat santapan keluarga. Apatah lagi apabila anak-anak baru sahaja hendak belajar berpuasa. Antara bentuk sokongan moral yang diberikan adalah dengan menyediakan juadah yang mereka gemari. Kalau berpuasa, minta apa saja, pasti akan dipenuhi!.

Bagi yang bekerja, kesempatan balik lebih awal pada bulan Ramadhan, pasti digunakan sepenuhnya untuk bergegas pulang untuk membolehkan menyediakan juadah berbuka untuk keluarga. Puas rasanya bila dapat menyediakan hidangan dari hasil tangan sendiri. Bukan tak boleh beli saja di Bazaar Ramadhan yang tumbuh bak cendawan di musim hujan, namun bak kata orang : tak puas dan tak sama dengan masakan di rumah!. Jadi, walaupun penat digagahi juga memasak walau sekadar satu lauk atau dua jenis lauk saja.

Bagi yang mempunyai penyakit, berhati-hati dalam memilih hidangan berbuka dan bersahur supaya tidak memudaratkan. Jangan lupa juga untuk makan ubat, supaya dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna. Semoga pada tahun ini, kita dapat melaksanakan ibadah puasa dengan sesempurna mungkin. Dan semoga kita dapat bersembahyang terawih penuh!. Insya Allah , amin....

Salam Ramadhan buat semua.

No comments:

Post a Comment