Kalaulah
hidup ini semudah mengira satu, dua, tiga, mungkin tidak ramai orang yang akan
terluka. Sepintas lalu, kalimat ini pasti ada Cuma dalam kisah novel atau drama
telenovela tapi percayalah dalam hubungan kita sesama manusia, kalimat ini
memang terbukti kebenarannya.
Mungkin ada
yang protes mengatakan belajar mengira memang mudah kerana faktanya ada. Tetapi
hakikat kehidupan, tidak begitu. Kalau dalamnya laut boleh diukur, sebaliknya
dalamnya hati siapa yang tahu. Kita tidak tahu apa yang ada dalam fikiran orang
lain. Sebab itu, dikatakan belajar mengira lebih mudah.
Tidak kira
berapa usia kita sekalipun, perasaan cinta dan mencintai tetap wujud dalam
diri. Malah kita patut berfikir beberapa kali, agar cinta yang kita rasa itu
memberi makna. Kalau kita jatuh cinta kepada suami atau isteri, Cuma bermodalkan
perasaan dan hawa nafsu, ditakdirkan terjadi sesuatu yang buruk dalam hubungan,
rasanya seperti badan dihempaskan ke lantai. Sakit……dan pasti akan merana.
Sebenarnya,
cinta itu memang misteri, dan mungkin selamanya akan terus menjadi misteri.
Orang tentu tidak pernah menemukan alasan logik, kenapa jatuh cinta boleh
mengubah sikap orang 180%. Ada orang yang sangat realistik tetapi tiba-tiba
menjadi begitu melankolis ketika jatuh cinta, memandang senja dengan tatapan
rindu, tersenyum-senyum sendiri dalam perjalanan, dan rajin singgah ke kedai
bunga. Tetapi, apabila orang yang kita cintai dan sayangi mengecewakan kita,
aduh sakitnya pasti akan membekas sampai bila-bila. Kita terhibur kerana cinta,
namun sebaliknya rasa sangat disakiti oleh cinta. Malah ramai yang mengalami
trauma dalam cinta dan berjanji tidak akan jatuh cinta lagi. Apa yang boleh
dikatakan, tanpa cinta pun hidup kita sudah bingung. Tetapi tidak ada masalah
dalam hidup, asalkan kita boleh mengendalikannya.
Cinta tidak pernah
bersalah. Baik buruknya kualiti cinta bergantung kepada bagaimana kita
menjalaninya. Cinta juga tidak boleh saling menyakiti, menekan, apalagi
memaksa. Ini berlaku untuk kedua-dua pihak. Cinta itu tetap ada batasnya. Cinta
itu ada kekurangan dan kelebihan. Berbahagialah kalau cinta itu subur mekar.
Malah cinta membuat hidup kita lebih berharga, walaupun sedikit yang diberikan
oleh orang yang kita cintai terasa berharga. Hidup benar-benar indah kerana
cinta. Tapi yang indah itu tidak selamanya. Ketika cinta terluka, hati sepi dan
sedih. Fikiran kacau pun gara-gara cinta. Justeru itu, banyakkan berdoa kepada
Tuhan agar hati kita sentiasa disuburkan oleh cinta.
Begitulah
cinta, yang datang dalam hati insan tanpa di undang, tanpa izin dan tanpa
diduga. Begitulah, saat cinta berlalu, serasa begitu cepat dengan meninggalkan
luka dan berjuta kenangan. Namanya juga cinta. Seindah apapun menyakitkan. Dan
sesakit apa pun hati kita kerana cinta, tetap dipuja-puja juga.
Cinta memang
mungkin selamanya tidak akan lebih mudah daripada belajar mengira. Tetapi
apabila kita boleh mengendalikannya dengan bijaksana, cinta pasti akan jauh
lebih menyenangkan berbanding belajar mengira. Tentu anda setuju bukan?...
No comments:
Post a Comment