Wednesday, September 16, 2009

Kematian...

Firman Allah yang bermaksud : "Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat ( pula ) mempercepatkannya" ( Surah Al'Araf ayat 34 ).

Semalam saya telah menziarahi sepupu yang kematian isteri. Ketika melihat sebujur tubuh yang telah kaku, hadir perasaan takut dalam diri. Apatah lagi bila membayangkan diri sendiri disaat itu, sedangkan amalan masih sedikit. Aku berdoa ; Ya Allah Ya Tuhanku, engkau panjangkan umurku, murahkan rezekiku dan matikan aku dalam iman dan Islam...amin.."

Bagaimanapun ada ketikanya Allah S.W.T jadikan berbagai-bagai sebab bagi kematian, yang demikian itu ada hikmah disebaliknya. Misalnya sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan menjadi rahmat bagi orang yang beriman dan sabar, malah akan menyedarkan manusia agar mengingati mati. Untuk itu dia akan menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu, membetulkan dan bertaubat daripada dosa dan kesilapan serta membaiki amalan untuk bekalan ke akhirat.

Orang soleh menganggap sakit yang ditimpakan sebagai tanda Allah S.W.t masih menyayangi. Betapa malangnaya jika Allah S.W.T mengambil roh dengan tiba-tiba tanpa sebarang amaran terlebih dahulu, seolah-olah Allah S.w.T sedang murka terhadap diri, sebab itulah Allah S.W.T tidak memberi amaran terlebih dahulu.

Namun hakikatnya bahawa ajal itu ketetapan Allah yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata dalam takdir Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Adalah menjadi hak Allah untuk menentukan kematian seseorang itu sama ada bersebab ataupun tidak. Hal ini membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal sama ada seseorang itu sedang sakit ataupun ketika sihat dan segar bugar.

Tahukah anda bahawa Malaikat maut melihat dan merenung wajah seseorang , iaitu dalam masa 24 jam sebanyak 70 kali. Andainya manusia sedar Malaikat tersebut, nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi oleh sebab Malaikat maut ialah makhluk ghaib, manusia tidak melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa-apa yang dilakukan oleh malaikat maut.

Manusia sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti akan mati. Namun manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhatikan oleh Malaikat maut, kecuali orang-orang yang sentiasa mengingati mati.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Bahawa Malaikat Maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang menernung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak ketawa. Maka berkata Izrail : " Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Ta'ala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa" ( Riwayat Abdullah bin Abbas r.a.).

No comments:

Post a Comment