Hari ini dah 12 hari kita berpuasa. Alhamdulillah, masih diberi kesempatan oleh Allah untuk menjalani ibadah puasa ini dalam keadaan yang sihat. Di samping itu, diberi kesempatan untuk menunaikan solat tarawih.
Ramadhan, bulan yang mulia dan ditunggu-tunggu ketibaannya oleh semua umat Islam. Bulan ini, tidak lain tidak bukan hanya untuk menduga kekuatan iman dan sejauh mana kita bersabar di atas segala ujian yang diberikan. Selain itu ia juga bulan untuk umat Islam menerima pahala, dan ‘hadiah’ daripada Allah untuk mereka yang sentiasa redha.
Puasa telah menjadi amalan kepercayaan dan adat budaya manusia zaman berzaman, hampir semua tamadun, agama dan tradisi yang diyakini manusia menggunakan amalan puasa bagi mencapai ketenangan jiwa.
Dalam Islam, puasa membawa mesej 3T iaitu tunduk, takut dan taat kepada Allah S.W.T. Umat Islam terpaksa akur dengan perintah dan larangNya semata-mata mahu menjadi hamba yang dikasihi Allah S.W.T. Antara matlamat puasa yang mesti dihayati umat Islam ialah :
۞ Berpuasa untuk mencapai sifar dosa. Allah telah berjanji akan menghapuskan segala dosa dan kejahatan yang lalu dengan berpuasa. Kegembiraan terpancar pada wajah-wajah orang yang berpuasa mengharapkan terhapusnya segala dosa. Kembali bersih dan suci sebagaimana bayi yang baru dilahirkan, memulakan hidup baru ketika Ramadhan tiba.
Sabda Rasulullah s.a.w :
“ Solat lima waktu, solat Jumaat dengan solat Jumaat yang berikutnya, puasa Ramadhan dengan puasa Ramadhan yang berikutnya menjadi penebus dosa-dosa yang dilakukan selagi mana seseorang menghindari dosa besar “. ( Riwayat Imam muslim ).
۞ Berpuasa adalah untuk menghidupkan jiwa. Manusia dihidupkan adalah untuk beribadah kepada Allah. Antara jiwa dan ibadah ini tidak boleh diceraikan sampai bila-bila. Jiwa hidup secara aman dan tenang kerana ibadah, bukan kerana duit dan nafsu.
Seseorang yang menegakkan rukun Islam mengikut cara dan bimbingan Rasulullah s.aw. tanpa ditokok tambah akan merasai jiwanya bahagia, segar, rasa selamat seolah-olah hidupkembali. Sebaliknya, orang yang bermaksiat walaupun hidup mewah tidak akan berasa tenang disebabkan hatinya dihantui dosa dan ketakutan akibat dosa-dosanya.
۞ Dengan berpuasa, kita akan merasai kelaparan sebagaimana si miskin. Dengan berpuasa tiada perbezaan antara orang kaya dan miskin. Mereka sama-sama berlapar demi mengharapkan keredhaan Allah. Allah menguji setiap insan dengan adil, semuanya diuji untuk menaikkan taraf keimanan mereka di sisi Allah.
۞ Berpuasa menjauhkan diri dari neraka. Walaupun tiada seorang pun yang tahu di manakah akan ditempatkan di akhirat nanti. Namun, bagi mereka yang berpuasa, setidak-tidaknya ada satu jaminan yang diberikan Allah untuk diri mereka terhindar dari bahang kepanasan neraka.
Sabda Rasulullah s.a.w:
“ Tidaklah seseorang mengerjakan puasa kerana Allah, melainkan Allah menjauhkan dirinya dari nereka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun kerana puasanya yang sehari itu”. ( Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim )
۞ Sempena bulan ramadhan ini, sama-samalah kita membersihkan hati dan jiwa agar menjadi insan lebih mulia dan prihatin. Banyakkanlah doa kepada Allah di Ramadhan ini agar kita diberikan kekuatan untuk menempuhkan apa juga dugaan. Doa mestilahdiiringi dengan usaha. Doa tanpa usaha,mungkin sukar untuk dimakbulkan.
No comments:
Post a Comment