Monday, September 28, 2009

Majlis ' Berlanggar Meja'.

Majlis ' Berlanggar Meja ' di Kampung Igan merupakan tradisi yang telah diwarisi daripada nenek moyang sejak berzaman. Setiap kali tibanya Hari Raya Aidil Fitri, tradisi ' Berlanggar Meja ' pasti dinanti-nanti.  Majlis ' Berlanggar Meja ' hanya akan diadakan pada hari ketiga Raya. Majlis ini akan diadakan secara bergilir-gilir antara kampung. Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah ' Berlanggar Meja '? Majlis ini diadakan dengan tujuan @ bermatlamat untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara penduduk kampung yang terdapat di Kampung Igan, di samping bermaafan. Majlis ini adalah aktiviti kunjung mengunjung dalam kumpulan yang besar dari kampung lain dan diadakan di satu kawasan yang luas.

Pada 23 September 2009 yang lepas, giliran Kampung Tengah Igan ( kampung saya ) mengadakan Majlis ' Berlanggar Meja '. Pada hari tersebut setiap rumah di Kampung Tengah Igan akan menyediakan juadah makanan ( paling sedikit untuk 8 orang tetamu ) untuk dihidangkan kepada tetamu jemputan dari kampung lain. Makanan yang disediakan memang enak-enak belaka seperti ketam masak kicap, umai, masak asam udang galah, ikan terubuk kukus dan lain-lain lagi ( yummy ...). Setiap rumah akan cuba untuk menghidangkan makanan yang sedap dan enak.

Aturcara yang wajib diadakan semasa majlis ini berlangsung ialah bacaan ayat suci Al-Quran, tahlil dan doa untuk ahli keluarga yang sudah meninggal dunia, ucapan pengerusi dan pelbagai persembahan yang dipersembahkan oleh penduduk kampung yang menjadi tuan rumah.

Berikut adalah gambar yang telah dirakam sempena Majlis 'Berlanggar Meja'  yang telah diadakan di Padang Sekolah Lama Kampung Igan;



Mengalu-alukan ketibaan para tetamu dari kampung lain.......

 











Persembahan daripada murid-murid SK Kampung Igan

 
Persembahan 'Karaoke Raya'



Mudah-mudahan Tradisi ' Berlanggar Meja ' ini akan terus diamalkan oleh generasi akan datang. Ia merupakan satu usaha yang murni untuk mengeratkan  lagi silaturrahim antara penduduk di Kampung Igan di samping aktiviti ' Kunjung Mengunjung ' .

2 comments: