Thursday, April 30, 2009

Isteri Ketua Menteri Sarawak

**Petikan berita BERNAMA ( pada 29 April 2009 - Rabu )

KUCHING: Puan Sri Laila Taib, isteri Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud meninggal dunia pada 3.45 petang ini akibat kanser di kediaman mereka, Demak Jaya di sini. Laila, 68, meninggalkan suami, empat orang anak, termasuk Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman, dan 15 cucu.

Mengesahkan berita itu, setiausaha akhbar Taib, Amin Sahmat berkata, upacara pengkebumian akan diadakan di perkuburan Islam Demak di sini pagi esok. Antara kenamaan yang berkunjung awal memberi penghormatan terakhir di Demak Jaya petang ini ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sedang melakukan lawatan rasmi dua hari ke Sarawak, dan isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Laila, kelahiran Poland, dan Taib, berkahwin di Adelaide, Australia pada 13 Januari 1959 ketika Taib sedang mengikuti pengajian untuk ijazah undang-undang. Laila tiba di Sarawak pada 1962. Nama remajanya ialah Lejla Chaleck. Sebagai menghargai jasa dan bakti Laila, semasa sambutan ulang tahun ke 50 perkahwinan mereka di sini 13 Januari lepas, Taib berkata, Laila adalah tunggak kekuatan dan sumber inspirasinya. "Saya akui bahawa bukan mudah untuk seseorang wanita menjadi isteri kepada orang politik. "Laila telah memainkan peranan utama hingga menyebabkan saya mampu mengemudi kehidupan saya," kata beliau.

Seorang penulis tempatan, Christina Mamora, yang ditauliahkan menulis biografi Laila "A Story of Love and Compassion" yang akan diterbitkan, menyifatkan Laila sebagai seorang yang "baik hati dan mengambil berat tentang orang lain". "Setelah meluangkan banyak masa menginterbiu beliau (Laila) dalam kira-kira setahun lalu, saya cukup sedih mengingati betapa beliau begitu baik dan menyokong saya, khususnya dalam usaha untuk mendokumentasi kisahkisah mengenai wanita, bila saya dapat tahu beliau sakit," katanya kepada Bernama di sini.

Sebagai mengiktiraf penglibatan aktif beliau dalam kerjakerja kemasyarakatan, termasuk sebagai presiden Badan Amal dan Tenaga Sarawak (SABATI), beliau dianugerahi Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang, yang membawa gelaran "Datuk Amar" pada 1988. Beliau adalah juga naib presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) (Pengerusi Jawatankuasa Wanita). Penubuhan Tabung Amal Kanser Laila Taib adalah satu daripada beberapa bukti tentang minatnya untuk membantu pesakit yang memerlukan dan menentukan aktiviti penyelidikan dapat dijalankan demi faedah rakyat.

*** Salam takziah buat Allahyarhamah. Marilah kita berdoa bersama-sama, moga roh beliau dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama orang yang beriman. Amin.......

2 comments:

  1. Takziah diucapkan. Moga dicucuri rahmat.

    ReplyDelete
  2. Takziah kpd YAB Pehin Sri.

    ReplyDelete