Puasa ialah menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang banyak sekali fadilat dan barakahnya. Oleh itu, ambil ruang dan luang pada bulan ramadhan ini untuk meningkatkan lagi keimanan kita kepada Allah serta menambahkan pahala.
Dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Saidina Ali Abi Talib daripada Rasulullah s.a.w. apabila baginda ditanya oleh para sahabat mengenai fadilat dan kelebihan solat Tarawih pada setiap malam di bulan Ramadhan, baginda bersabda;
۞ Malam 1 : Pada awal malam pertama Ramadhan, diampuni dosa-dosa orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.
۞ Malam ke-2 : Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibu bapanya.
۞ Malam ke-3 : Para malaikat di bawah ‘Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.
۞ Malam ke-4 : Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimanan pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
۞ Malam ke-5 : Allah S.W.T akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.
۞ Malam ke-6 : Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.
۞ Malam ke-7 : Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentangkan musuhnya Fir’aun dan Hamman.
۞ Malam ke-8 : Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.
۞ Malam ke-9 : Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambaNya seperti Nabi Muhammad s.a.w.
۞ Malam ke-10 : Allah S.W.T mengurniakan kepada kebaikan dunia dan akhirat.
۞ Malam ke-11 : Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.
۞ malam ke-12 : Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.
۞ Malam ke-13 : Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.
۞ Malam ke-14 : Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T tidak akan menyesatkan mereka.
۞ Malam ke-15 : Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan kursi akan berselawat dan mendoakan supaya Allah mengampunkannya.
۞ Malam ke-16 : Allah S.W.T menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
۞ Malam ke-17 : Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-nabi.
۞ Malam ke-18 : Malaikat akan menyeru : “ Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu ( yang masih hidup atau yang sudah mati ).
۞ Malam ke-19 : Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam syurga firdaus.
۞ Malam ke-20 : Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekalian orang yang mati syahid dan orang-orang yang soleh.
۞ Malam ke-21 : Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.
۞ Malam ke-22 : Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.
۞ Malam ke-23 : Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah Bandar di dalam syurga daripada cahaya.
۞ Malam ke-24 : Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.
۞ Malam ke-25 : Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur daripadanya.
۞ Malam ke-26 : Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.
۞ Malam ke-27 : Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian siraj sepantas kilat
۞ Malam ke-28 : Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.
۞ Malam ke-29 : Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.
۞ Malam ke-30 : Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firmanNya yang bermaksud : “ Wahai hambaKu!..., makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w yang bernama Al-Kautsar.
Selain daripada fadilat-fadilat yang tersebut di atas, terdapat banyak dan pelbagai lagi fadilat dan kelebihan solat Tarawih atau ‘Qiam Ramadhan’ ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w.
No comments:
Post a Comment