Influenza atau flu adalah penyakit berjangkit disebabkan oleh virus influenza.
Virus Influenza :
Terdapat 3 jenis virus influenza iaitu A, B dan C. Ketiga-tiga ini boleh menjangkiti manusia. Virus influenza A adalah paling berbahaya kerana boleh menjangkiti haiwan dan manusia. Virus influenza A boleh menjalani mutasi (perubahan genetik) dan menghasilkan virus influenza jenis baru yang lebih berbahaya. Ini akan mencetuskan kejadian epidemik dan pandemik influenza.
Virus influenza tersebar melalui titisan cecair dari mulut dan hidung ketika bercakap, bersin atau batuk. Virus ini seterusnya masuk ke dalam badan melalui saluran pernafasan.
Adakah influenza sama dengan Demam selesema?
Tidak.
Walaupun kedua-duanya mempunyai gejala yang hamper sama tetapi influenza menyebabkan gejala dan tanda-tanda yang lebih teruk serta boleh menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa.
Perbandingan antara influenza dan demam selesema.
Tanda Dan Gejala | Influenza (Flu) | Demam Selesema (Common Cold) |
Demam | Tinggi. Biasanya melebihi 38° C | Kurang dari 38° |
Letih lesu | Teruk dan boleh berlarutan Hingga 2 ke 3 minggu | Sangat ringan |
Sakit otot/sakit sendi | Sederhana ke teruk | Ringan |
Batuk | Batuk teruk,tidak berkahak pada peringkat awal | Tiada / ringan |
Hidung berair/Berhingus | Tiada / ringan | Teruk |
Bersin | Kerap | Tidak kerap |
Sakit tekak | Sederhana ke teruk | Tiada / ringan |
Sakit kepala | Sederhana ke teruk | Ringan |
Penyebab | Virus influenza A, B atau C | Adenovirus, Rhinovirus, Parainfluenza virus, Corona virus dll |
C. Apakah rawatan bagi influenza?
Tiada rawatan khusus untuk influenza. Rawatan yang diberikan adalah rawatan simptomatik sahaja.
Anda dinasihatkan untuk mengambil tindakan-tindakan berikut:-
۞ Mengambil ubat demam seperti paracetamol untuk melegakan demam dan sakit kepala.
۞ Minum air atau minuman suam bagi melegakan sakit tekak dan batuk.
۞ Amalkan pemakanan seimbang dan tidur atau rehat yang secukupnya.
۞ Hindarkan stress kerana ini akan melemahkan sistem pertahanan badan.
۞ Jika tanda dan gejala berlarutan atau tambah teruk dapatkan rawatan di klinik atau hospital.
D. Bagaimana jangkitan influenza boleh dielakkan dari merebak?
۞ Tutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan.
۞ Buang tisu yang digunakan ke dalam tong sampah.
۞ Jangan berkongsi sapu tangan.
۞ Basuh tangan dengan sabun selepas batuk dan bersin. Juga basuh tangan dengan bersih setelah menyentuh
bahan mentah, permukaan tercemar, muka, hidung, telunga dan lain-lain anggota badan.
۞ Pakai penutup mulut dan hidung (mask) untuk mengelakkan jangkitan influenza.
۞ Elakkan dari berada di tempat-tempat awam jika anda dijangkiti influenza.
E. Apakah perbezaan antara ubat Antiviral dan Vaksin influenza?
Ubat antiviral adalah ubat bagi merawat pesakit yang dijangkiti virus. Pemberian ubat antiviral pada masa yang betul akan mengurangkan impak gejala dan tanda penyakit serta mengurangkan kemungkinan komplikasi penyakit.
Vaksin diberi sebagai langkah pencegahan. Vaksinasi menggunakan vaksin influenza yang ada di pasaran hanya untuk memberi perlindungan kepada individu dari mendapat jangkitan.
Kementerian Kesihatan menyarankan mereka yang akan melawat Negara yang sedang mengalami musim sejuk dan mereka yang akan mengerjakan haji dan umrah di Mekah agar mendapatkan suntikan vaksin influenza. Suntikan boleh diperolehi dari klinik atau hospital swasta tertentu.
PASTIKAN ANDA DAPAT MEMBEZAKANNYA!
Anda haruslah memahami dan dapat membezakan istilah-istilah yang digunakan berkaitan dengan influenza:
Avian Influenza:
Avian influenza atau selesema burung adalah sejenis penyakit berjangkit yang biasanya berlaku di kalangan ayam, itik dan burung (unggas). Ia juga boleh menjangkiti manusia.
Epidemik Influenza :
Epidemik influenza adalah kejadian wabak influenza yang menyerang sekumpulan penduduk di sesuatu likasi atau Negara.
Pandemik Influenza :
Pandemik influenza adalah kejadian wabak influenza yang menyerang sebahagian besar dari penduduk dunia. Ia berlaku akibat dari kemunculan virus influenza baru yang mana penduduk dunia tidak mempunyai daya ketahanan badan bagi melawan virus tersebut. Vaksin influenza yang sedia ada tidak dapat melindungi serangan virus pandemic influenza.
No comments:
Post a Comment