Lazimnya, manusia lebih cenderung menilai manusia lain dengan cara-cara negatif. Manakala menilai diri sendiri dengan cara yang positif. Gejala ini menyebabkan mereka sukar melihat kelebihan-kelebihan orang lain, manakala mereka banyak melihat kelebihan-kelebihan mereka sendiri. Hasilnya, manusia lebih banyak menghasilkan kritikan berbanding pujian terhadap orang lain.
Penilaian negatif menyebabkan kita selalu mendengar orang merendah-rendahkan bakat dan keupayaan orang lain. Malah kita sendiri banyak melakukan perbuatan yang begini. Apabila kita merendah-rendahkan orang lain, itu bermakna kita mengganggap diri kita lebih tinggi daripada orang yang kita rendah-rendahkan. Apakah faktor yang mendorong tingkah laku begini?. Menurut kajian, apabila manusia mengukur bakat dan keupayaan dirinya sendiri, mereka melakukannya dengan membandingkan dirinya dengan orang lain yang mereka kenal. Mereka akan cenderung melebihkan penilaian yang dibuatnya terhadap dirinya sendiri, manakala mereka akan merendah-rendahkan penilaiannya terhadap orang yang dijadikan perbandingan. Kebanyakkan orang mengganggap diri mereka lebih baik daripada purata manusia.
Tabiat suka ‘membesar-besarkan’ diri sendiri ini lebih ketara apabila kita membandingkan diri kita secara am dengan kebanyakan orang lain. Tetapi kurang ketara perbandingan dibuat apabila membandingkan diri dengan individu tertentu seperti kawan baik kita atau orang yang lebih berjaya daripada kita.
Satu lagi cirri-ciri membesar-besarkan diri ialah apabila perbandingan itu berkenaan dengan perkara-perkara subjektif. Contoh : kita akan menilai diri kita sebagai lebih penyabar, ataupun lebih rajin, pemaaf, lebih alim, lebih bertanggungjawab daripada kebanyakkan orang lain, dan begitulah seterusnya.
Mengapakah hal ini berlaku?. Hal ini disebabkan dalam hal-hal subjektif, kita semua boleh membuat definisi dan tafsiran kita masing-masing. Contoh :
☼ Bila kita mengukur kepintaran diri sendiri, kita teringat akan kejadian-kejadian semasa kita pintar, bukan ketika kita bodoh. Sebaliknya apabila kita mengukur kepintaran orang lain, kita teringat kejadian-kejadian ketika orang itu berbuat bodoh, bukan semasa orang itu pintar.
☼ Bila kita mengukur bakat kepimpinan kita, kita teringat tokoh-tokoh pemimpin lain yang gaya kepimpinannya serupa dengan gaya kita, bukan gaya kepimpinan orang yang gagal memimpin. Jadi kita mengganggapkan bahawa kita mempunyai bakat kepimpinan seperti tokoh yang kita ingat.
☼ Bila kita mengukur kesabaran kita, kita hanya teringat kepada peristiwa-peristiwa ketika kita telah banyak bersabar. Akibatnya, kira berasa kita selalu sahaja bersabar. Kita tidak teringat peristiwa semasa kita hilang sabar.
Oleh kerana kita semua bebas membuat ukuran kita sendiri, justeru itu, kita semua boleh menyimpulkan bahawa kita adalah orang yang lebih hebat daripada kebanyakan orang lain. Malah kita cenderung menjaga maruah kita dengan cara memberi nilai yang tinggi kepada perkara-perkara ketika kita mempunyai bakat dan kelebihan.
Pemikiran seperti ini sangat tidak logik, tidak rasional, dan tidak masuk akal. Tetapi inilah cara kita berfikir. Inilah faktor yang menyebabkan kita asyik nampak kelemahan atau kebodohan orang dan asyik nampak kehebatan diri sendiri.
No comments:
Post a Comment