Sebahagian faedah yang kita peroleh, yang harus kita fikirkan bersama-sama. Betul atau tidak, kita boleh tentukan sendiri:
☼ Tidak dapat dinafikan, faedah utama daripada bekerja adalah wang. Kewangan juga menjadi faktor utama mengapa kita bekerja, untuk beroleh rezeki yang halal, jadi perlu bekerja secara halal juga. Islam melarang kita meminta-minta daripada orang lain. Jika mahukan sesuatu ( wang ), maka hendaklah berusaha bekerja.
☼ Bekerja dapat mematangkan diri, kerana sepanjang bekerja, berdepan dengan pelbagai karenah manusia dan melihat pelbagai peristiwa. Peristiwa yang berlaku bukan sahaja akan mencerdaskan diri, malah menjadikan diri lebih dewasa.
☼ Dengan bekerja, secara tidak langsung dapat mengajar diri kita lebih bertanggungjawab. Apabila bekerja bermakna kita mengikat diri dengan komitmen. Jika selama ini kita suka melakukan apa sahaja sesuka hati, apabila terikat, kita tidak berani lagi untuk sambil lewa.
☼ Bekerja merupakan satu bentuk ibadah kepada Allah. Jika kita berminat bekerja kerana Allah, ia akan menjadi ibadah yang akan mengganjarkan pahala kepada diri sendiri.
☼ Dengan bekerja, kita mampu untuk membantu keluarga dan masyarakat secara umum, bukan untuk diri sendiri sahaja. Jika ini kita niatkan, pasti kita akan rasa diri kita lebih berguna dan berharga.
☼ Dengan bekerja kita boleh manfaatkan ilmu yang telah kita pelajari selama bertahun-tahun untuk beroleh segulung ijazah. Walaupun kita belajar bidang yang lain tetapi bekerja dalam bidang lain, itu semua masih boleh dimanfaatkan.
☼ Bila kita bekerja, kita boleh menambah ramai rakan. Semakin ramai rakan yang kita miliki, mungkin bermakna kita adalah orang yang disukai ramai. Bermakna semakin besarlah rangkaian kenalan dan sahabat kita. Namun, pilihlah rakan-rakan yang baik dan seronok.
☼ Bekerja merupakan cara terbaik untuk kita menghabiskan waktu luang. Tentu membosankan jika hari-hari kita tanpa melakukan kerja yang berfaedah, malah tidak timbul masalah masa terbuang.
☼ Sempurna itu mungkin subjektif sifatnya. Namun, tidak dinafikan setiap kita mahu menuju ke arah kesempurnaan termasuklah dengan bekerja. Sebenarnya terdapat banyak lagi faedah yang bakal kita peroleh dengan bekerja. Sekaligus boleh menjadi suatu bentuk motivasi untuk kita berusaha keras dalam kerjaya.
♫ Satu kesilapan yang sering dilakukan oleh anak muda yang baru tamat belajar, tidak membetulkan niat untuk bekerja. Yang difikirkan, dapat gaji dan dapat membeli apa saja yang mereka mahu.
No comments:
Post a Comment