Kenangan Hari Raya Aidil Fitri 2009
Begitu cepat masa berlalu dan tidak lama lagi syawal akan melabuhkan tirainya. Tiba-tiba teringat suasana hari raya ketika remaja dulu. Sambutan Hari Raya Aidil Fitri pasti berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Lebih-lebih lagi bagi kita yang pernah menyambutnya sebagai kanak-kanak, remaja dan dewasa. Kehadiran pasangan dan anak-anak kemudiannya semakin memeriahkan, meskipun ramai yang mengatakan raya sebagai individu dewasa tidak semeriah dulu.
Semoden mana sekalipun pemikiran seseorang, apabila tiba hari raya pasti dipenuhi nostalgia lama. Terutama menyentuh bab makanan. Pada hari rayalah, semua orang mahu kembali ke zaman silam. Mahu menikmati keenakan juadah tradisi peninggalan nenek moyang. Menikmati juadah lama pada pagi raya, itulah keistimewaan hari raya yang tidak boleh dibandingkan dengan hari-hari biasa.
Kini kenangan bermain bunga api digantikan dengan memori menyediakan juadah buat keluarga tercinta. Begitu juga yang menjadikan agenda balik kampung sebagai kemestian, meskipun sudah ada anak dan menantu, serta cucu untuk diraikan.
Mungkinkah ada peristiwa isteri mahupun suami yang merajuk kerana saban tahun terpaksa menghabiskan masa pada hari raya kedua untuk berada di kampung pasangan. Adalah yang menangis..uh..uh...
### Teringat zaman dulu, apabila menjelangnya hari raya, selepas bersahur pastinya tidak dibenarkan lagi untuk tidur. Saya dan kakak 'dipaksa' menumbuk beras untuk dijadikan 'dedak' untuk membuat 'kuih Cina', merupakan kuih tradisional yang wajib disediakan pada hari raya. Di samping itu, 'dipaksa' untuk membuat 'kuih Koyak' dan 'dodol labu' ( Yummy....antara kuih tradisional yang menjadi juadah 'favourite' saya). Tapi hari ini tiada lagi juadah ini disediakan.
No comments:
Post a Comment