Saat bergelar ibu 11 tahun lalu merupakan detik bahagia dan bermakna dalam hidup saya. Walau telah bertahun lamanya, namum, terasa bagai semalam dilalui. Sehingga kini, rasa syukur terhadap kurniaan Allah s.w.t tidak pernah surut. Walaupun di awal perkahwinan dulu, tiada tanda untuk saya hamil, saya sering menerima kata-kata sindiran yang menyakitkan oleh jiran sekeliling dan juga anak murid saya, “ Cikgu mandul”. Saya hanya mampu untuk memekakkan telinga. Namun saya pasrah dan redha dengan ketentuan Allah. Alhamdulillah, saya telah dikurniakan dengan 3 putera dan seorang puteri, penyeri hidup saya dan suami. Dengan nama indah yang diberi, Muhd Adib Darwish, Muhd Adam Zarif, Muhd Adli Rusyaidi dan puteri bongsu saya Nur Adila Hanis (Semuanya ada maksud ‘Adab & berilmu’). Doa saya agar mereka menjadi orang yang berilmu dan mampu memimpin diri serta keluarga mereka kelak demi menegakkan ajaran Allah.
Kehamilan, perkataan yang cukup besar ertinya bagi seorang beergelar wanita. Itulah istimewanya wanita yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Walau lemah lembut sifatnya, walau diuji dengan pelbagai cabaran, tetapi semangatnya tetap kental, kekuatannya melebihi jangkaan dalam melalui pahit manis tempoh Sembilan bulan kehamilan.
Setiap wanita pastinya akan menempoh pelbagai pengalaman berbeza semasa hamil. Ada yang diuji seawal mengetahui diri mengandung. Saya juga tidak terkecuali, di awal kehamilan saya mengalami alahan atau ‘morning sickness” yang teruk selama enam bulan. Saya pasti akan muntah ( alah ) bila duduk berdekatan dengan suami, berus gigi, sabun, minyak wangi, mencium bau masakan ( time masak mesti akan mengunci diri dalam bilik, tak tahan). Sepanjang enam bulan saya hanya minum air suam dan roti “osborn’ saja. Air liur sentiasa keluar, sebab itu sentiasa duduk berdekatan dengan tingkap. Walaupun demikian, Allah Maha Adil, alhamdulillah saya mudah bersalin. Anak sulung saya, saya hanya merasa sakit 1 jam lebih, anak yang ke 2 di hantar ke hospital 20 minit selepas itu melahirkan anak. Manakala anak ke 3, 15 minit dan anak yang bongsu lebih kurang 30 minit saja merasa sakit.
Hanya kesabaran dan kecekalan jiwa yang mampu menguatkan semangat untuk melalui semua itu.Janganlah sekali-kali mengeluh kerana ia memberi kesan kepada bayi yang dikandung. Yakinlah bahawa anak itu rezeki daripada Allah sebagai pelengkap rumahtangga. Doa anak yang soleh, bekal kita saat menemui Tuhan di kemudian hari. Bagi anda yang dipermudahkan Allah s.w.t sehingga selamat melahirkan, berterima kasihlah pada Yang Maha Esa di setiap masa. Walau apa pun yang anda rasai semasa hamil, laluilah ia dengan hati yang bahagia, kesihatan yang diperlihara dan kehidupan yang ceria. Semoga kandungan akan terasa selamat dan dilahirkan cukup sifat dan sempurna.
#...Untuk yang bakal bergelar ibu, syabas dan tahniah saya ucapakan. Sempurna sudah kehidupan anda sebagai seorang wanita.
No comments:
Post a Comment