Lisan atau lidah – anggota tubuh yang terpenting dan salah satu nikmat Allah yang wajib disyukuri. Dengan lidah manusia dapat bertutur dan berhubung sesama manusia, memberi arahan pada haiwan dan menzahirkan sesuatu dalam bentuk perkataan pada Yang Esa. Namun kadangkala manusia terlupa untuk bersyukur, malah dosa manusia banyak berpunca daripada keterlanjuran mulut yang tidak dikawal. Kata orang, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana.
Rasullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “ Aku memberi jaminan sebuah rumah dalam kebun syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan, meskipun dia benar. Aku juga memberi jaminan sebuah rumah di tengah syurga bagi orang yang tidak berbohong walaupun sekadar bergurau. Aku juga memberi jaminan sebuah rumah di tempat paling tinggi di dalam syurga bagi orang mempunyai budi pekerti baik”. ( Riwayat Abu Daud ).
Percakapan juga seperti perbuatan melambangkan tahap keimanan seseorang, kerana besarnya bencana berpunca daripada lidah. Rasullah s.a.w menganjurkan sesiapa yang tidak mampu mengawalnya daripada berkata-kata tidak baik, lebih baik dia mendiamkan diri. Baginda bersabda yang bermaksud : “ Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka bercakaplah perkara yang baik atau mendiamkan diri”. ( Riwayat Muslim & Bukhari ). Berdiam diri adalah cara paling mudah menyelamatkan diri daripada fitnah, mengumpat dan meluahkan perkataan yang tidak perlu seperti peringatan Rasullah yang diriwayatkan Ahmad, “ Sesiapa yang diam, dia akan selamat”.
#...Beruntunglah sesiapa yang mampu menjaga lidahnya sehingga menjadi lambang ketulusan budi dan disenangi orang lain, hidupnya dalam kesejahteraan dan kedamaian.
No comments:
Post a Comment