Tuesday, May 12, 2009

Menjana Potensi Otak Kanan dan Kiri...

Pelbagai faktor yang menyumbang ke arah kejayaan pelajar dalam peperiksaan. Di antara faktornya ialah strategi pembelajaran yang melibatkan penggunaan keseluruhan otak anugerah Allah. Penggabungan strategi pembelajaran dengan menggunakan otak kanan dan kiri ini dapat mencemerlangkan pelajar. Pelajar-pelajar yang bijak dan mampu menggunakan potensi otak kanan dan kiri berpeluang untuk meraih kecemerlangan yang lebih baik.

Para pengkaji telah mengemukakan pelbagai teknik dan pendekatan sistematik bagi membolehkan kedua-dua bahagian otak ini dimanfaatkan sepenuhnya secara bersama. Tiap belahan otak memiliki kemampuan yang kursus dan berbeza. Menggunakan kedua-dua belahan otak bererti menggunakan seluruh potensi yang ada. Pendidikan yang baik harus dapat mengoptimumkan penggunaan kedua-dua belahan otak.

Secara umumnya, cara kerja otak kiri melibatkan kegiatan analisis dan fakta. Otak kiri menekan logik, kemahiran bahasa, matematik dan sains. Otak kiri mementingkan rasional dan bekerja secara berurutan serta sangat mementingkan hal-hal konkrit dan bersifat realistik. Ia juga mampu menyimpan maklumat atau informasi dalam bentuk huruf.

Manakala otak kanan menekankan kreativiti kegiatan yang berhubung dengan kesenian, puisi dan lukisan, termasuk yang berkaitan aspek-aspek intuisi ( daya atau kebolehan memahami, mengetahui atau merasai sesuatu tanpa berfikir atau disebut gerak hati ). Ia berkemampuan menyimpan maklumat dalam bentuk gambar. Ia juga penting untuk penyembuhan, kreativiti, pemecahan masalah dan menikmati hubungan yang bermakna.

Untuk menjadi pintar, otak kanan harus diberikan 'pekerjaan' sebagaimana yang biasa diberikan kepada otak kiri. Dalam proses belajar, sebaik-baiknya otak harus diberikan pekerjaan secara bersama supaya tidak mengganggu antara satu sama lain. Gabungan ini dapat menjana keseluruhan potensi otak iaitu otak kiri yang dikaitkan dengan subjek-subjek sains dan matematik, dan otak kanan yang dilakukan dengan subjek-subjek sastera, kesenian dan lukisan.

Penggunaan otak kanan dan otak kiri secara bersama membantu mengaktifkan tenaga elektromagnetik secara secara serentak sehingga terhasil keseimbangan aliran tenaga elektromagnetik otak. Keseimbangan ini menyerlahkan lagi potensi IQ, EQ, dan SQ, akan menimbulkan kesedaran dalaman untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai target yang diimpikan. IQ pelajar ini adalah tinggi, EQ positif membina daya tahan dalam menempuh apa jua cabaran dan halangan dalam proses pembelajaran. Manakala SQ yang dijanakan secara istiqamah memperkukuhkan hala tuju dan matlamat yang mereka impikan. Ia lebih terserlah apabila semangat belajar lahir daripada kemahuan pelajar itu sendiri. Kesedaran dalaman diri pelajar-pelajar ini merupakan kunci kejayaan mereka.

Penggunaan istilah 'kanan' dan 'kiri' dalam aktiviti kehidupan mempunyai makna dan maksud yang tertentu. Dalam Islam mendahulukan yang kanan merupakan ajaran dasar dalam tingkah laku kehidupan seharian. Anjuran melakukan sesuatu dari sebelah kanan merupakan salah satu sunnah Rasullah S.A.W. Rasullah akan melakukan dan memulakan dari sebelah kanan daripada sekecil-kecilnya sehingga pekerjaan amal yang besar-besar seperti sembahyang.

Otak dan akal merupakan anugerah terbesar yang Allah S.W.T berikan dalam penciptaan manusia sebagai sebaik-baik kejadian. Oleh itu, gunakan struktur otak secara maksimum ke arah kualiti kehidupan yang lebih berharga. Semua mengharapkan kejayaan dan kecemerlangan demi masa depan. Hasrat ini boleh dicapai dengan belajar dan berfikir menggunakan kedua-dua bahagian otak iaitu otak kanan dan otak kiri secara menyeluruh.

...sumber Dr. Muhammad Jantan.

3 comments:

  1. Satu idea yang bagus. Teruskan usaha anda.

    ReplyDelete
  2. sy setuju,
    dgn memaksimumkan otak kiri dan kanan,
    insyaAllah,
    kita dapat melahirkan anak2 yg seimbang..
    bukan shj pandai ilmu sains dan kira2, malah berjiwa halus dan mempunyai sensitiviti yg tinggi terhadap kehidupan y berteraskan kebaikan..

    ReplyDelete